Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Tahaluf, ta'awun dan silat politik

Pas cuba mengambil pendirian melakukan tahaluf siyasi (muafakat politik) dengan pembangkang dan hanya melakukan ta'awun (kerjasama demi kepentingan Islam) dengan UMNO. Yang terkini Pas mengadakan perbincangan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tetapi meletakkan syarat PPBM mesti menolak PAN dan DAP.

Syarat Pas itu sama seperti menolak Pakatan Harapan kerana PPBM mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan. Dalam bahasa politik Pas ingin melakukan tahaluf siyasi secara berdalih melalui satu syarat yang sukar di­terima oleh PPBM. Ini kerana Pas bertekad bertanding bersendirian dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

DAP, PKR dan PAN berpendirian sekiranya Pas bersendirian dan bertanding tiga penjuru, pembangkang tidak akan berjaya ke Putrajaya. Ta’awun yang terjadi dengan UMNO dalam isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau (RUU 355) dan bantuan kemanusiaan terhadap Rohingya pula tidak menyebabkan Pas mahu berbincang dengan UMNO ke arah tahaluf siyasi. Kenyataan yang dibuat oleh setengah pemimpin Pas, UMNO tetap ditentang pada PRU-14 akan datang.

Silat politik ini pada hemat penulis tidak membawa kebijaksanaan malah tidak menepati maksud politik matang dan sejahtera. Politik matang dan sejahtera mengambil asas strategi dan maslahah bijaksana supaya kearifan membaca senario politik terkini berlaku dan keupayaan mengimbangkan idealisme perjuangan dan realiti Malaysia boleh terjadi.

Realiti politik Malaysia kini menuntut umat Melayu menjalinkan tahaluf dengan jiwa besar dan berani. Pas telah wujud sekian lama dan parti itu bukannya badan dakwah atau kebajikan yang tidak memerlukan kuasa.

Jika Pas bersendirian belum tentu parti itu mempu­nyai kuasa secukupnya dan tanpa kuasa, perubahan tidak boleh berlaku dan pembangunan tidak akan terjadi. Di sudut lain sekiranya Pas boleh berunding dengan PPBM dan pemimpinnya berasal daripada UMNO mengapa Pas sukar sangat berunding dengan kepimpinan UMNO.

Kalau Pas boleh menerima semangat keislaman UMNO yang menyokong RUU 355 dan perjuangan rakyat Ro­hingya mengapa permulaan ini tidak dijadikan landasan dalam usaha merealisasikan satu proses tahaluf.

Umat Melayu sebagai umat teras di Malaysia memerlukan satu kekuatan politik penyatuan agar berubahan boleh berlaku dan pembangunan dapat terjadi. RUU 355 tidak akan lulus di Parlimen sekiranya kuasa politik umat Melayu tidak berada pada tahap yang secukupnya.

Banyak faedahnya jika tahaluf siyasi Pas-UMNO benar-benar berlaku. Pertama, Pakatan Harapan bakal hilang kekuatan untuk memenangi PRU-14 kerana mereka melihat Pas sebagai komponen penting untuk memungkinkan mereka sampai ke Putrajaya.

Idealisme yang ada pada Pas dan pengalaman UMNO mengurus negara sebenarnya dapat disinergikan dalam membentuk asas kepada perubahan dan pembangunan yang lebih terarah serta menyeluruh demi kelangsungan politik umat Melayu sebagai umat teras di Malaysia.

Faktor ini sangat penting kerana umat Melayu memerlukan kuasa politik yang agak selesa bagi mengimbangi kedudukan politik Malaysia yang dinamik. Namun itu bukan bermakna umat Melayu menafikan kewujudan masyarakat majmuk tetapi perimbangan kuasa politik adalah terlalu penting sebagai prasyarat perubahan dan pembangunan.

Justeru, UMNO dan Pas harus mempunyai tekad politik ke arah itu dengan melihat senario utama dalam landskap politik dunia yang tidak menentu serta ditambahkan lagi faktor keruntuhan negara-negara umat Islam yang semakin ketara.

Dalam ketidaktentuan ini Malaysia seharusnya menjadi model dalam usaha mengembalikan keyakinan umat manusia bahawa etika dan adab yang baik serta budi menyantuni boleh menyumbang ke arah kesatuan umat Islam dan umat manusia.

Hasrat besar ini hanya boleh terjadi sekiranya wujud kepekaan terhadap apa yang berlaku di Timur Tengah dan keinsafan kita dengan menjadikan segala perbezaan yang wujud itu dibincangkan secara tahaluf.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain