DR . HILMI YAHAYA

Contohnya, hendak tunjuk kehebatan kerajaan negeri sekitar 2008 dan 2009, pada peringkat awal selepas mengambil alih daripada Barisan Nasional (BN), kerajaan negeri DAP me­mindahkan aset di bawah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) ke kerajaan Pusat bernilai RM650 juta. Sekali gus memaparkan akaun aset itu ‘cantik’, sudah berbayar. Tetapi yang tidak di­sebutkan adalah - kerajaan negeri DAP terpaksa membayar RM14.5 juta setiap tahun selama 40 tahun kepada Pusat.

Tindak tanduk kerajaan ne­geri DAP ini didedahkan oleh Ahli ­Parlimen Balik Pulau yang sebelum ini Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang (1999 hingga 2004), Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Kata Hilmi, dahulu semasa kerajaan BN melakukan tebus guna tanah di Batu Kawan melibatkan 6,000 ekar untuk industri, harapan BN supaya tanah ini akan bertahan selama puluhan tahun. Demi masa depan generasi muda.

“Apabila hendak jual tanah pun, kita akan tanya berapa ba­nyak diperuntukkan untuk industri. Kalau lima ekar, lima ekarlah, tiada lebih. Tetapi sekarang kerajaan negeri DAP jual tanah sehingga beratus-ratus ekar. Sekarang tanah di Batu Kawan pun sudah habis dijual.

“Bila sudah habis, kini hendak tebus guna tanah di selatan Pulau Pinang pula melibatkan Balik Pulau dan sebahagian Bayan Baru, hendak bentuk tiga pulau. Kawasan ini menjalar dari Permatang Damar Laut ke Sungai Batu, Teluk Kumbar ke Gertak Sanggul. Tujuannya untuk mewujudkan satu kawasan tanah luas untuk industri dan perumahan,” kata­nya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengapa kawasan ini perlu dilindungi dan dipertahankan? Kata Hilmi, kawasan baharu yang mahu ditebus guna itu adalah kawasan penting yang memiliki kekayaan hasil laut lumayan seperti udang, ketam dan siput. Dengan kedudukannya terlindung dari arus angin musim tengkujuh yang berupa teluk, aktiviti pe­nangkapan ikan boleh dilakukan sepanjang tahun.

“Apabila tiba musim ikan kembung, keadaannya di situ macam pesta. Benih kerang di kawasan utara tanah air ini cuma ada di Balik Pulau yang membiak secara semula jadi. Baru-baru ini saya balik kawasan, ada nelayan maklumkan dia memperoleh RM2,000 hasil jualan udang 40 kilogram. Siput boleh diperoleh setiap hari, bila hujung minggu, ramai orang luar datang ke situ,” katanya.

Cuma masalahnya hari ini terdapat enam persatuan nelayan di selatan Pulau Pinang. Jumlah nelayan yang berdaftar ialah 4,344 orang tidak termasuk lebih 5,000 nelayan di seluruh negeri itu. Apabila musim udang dan ikan, nelayan dari Kuala Kedah pun datang ke situ. “Kalau kawasan ini ditebus guna, di mana nelayan hendak cari rezeki?,” soalnya.

Sekiranya beri pampasan RM1 juta pun tidak memadai. Jika isi rumah satu keluarga nelayan itu enam orang tak cukup. Duit habis begitu. Cuba lihat apa yang berlaku akibat projek tambakan laut di Tanjung Tokong. Janjikan pampasan untuk tekong sejumlah RM15,000 pun sekadar tinggal janji.

Menurut Hilmi, tujuan kerajaan DAP menebus guna 4,500 ekar tanah di Balik Pulau dan sebahagian Bayan Baru itu untuk menjana pendapatan membiayai projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

Kata Hilmi: “Saya nak bertanya kepada kerajaan negeri, berapakah pendapatan akan diperoleh dari 4,500 ekar yang akan ditebus guna ini? Katakan kerajaan negeri hanya dapat 10 peratus iaitu 450 dari 4,500 ekar itu dengan harga RM300 untuk sekaki persegi, maka jumlahnya baru RM6 bilion. Itu sahaja pendapatannya yang tak cukup untuk menampung kos projek RM46 bilion. ”

Malah, kata Hilmi, jika ikut perancangan PTMP, menerusi pelan itu akan dipersiapkan LRT dan MRT di bahagian pulau.

“Bahagian pulau ini hanya ada 700,000 penduduk. Setiap rumah di Pulau Pinang ada motosikal dan kereta. Bila hari panas, mereka naik motor, apabila hujan berkereta. Agak-agaknya berapa peratus penduduk Pulau Pinang akan tukar naik LRT? Mungkin tidak sampai lima peratus, yang ke kilang dan pejabat masih akan tunggang motosikal dan pandu kereta.

“Akhirnya yang naik LRT atau MRT nanti orang Bangladesh dan Nepal. Kos pembinaan RM46 bi­lion pula hendak kekalkan berapa? Adakah sudah kenal pasti kos penyelenggaraan, berapa pula kos operasinya? Jelas, ini cada­ngan (PTMP) tidak masuk akal,” tegasnya.

Sebelum DAP berkuasa, kata Hilmi, BN merancang membina projek Jalan Raya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR). Laluannya pun sudah tersedia iaitu dari Batu Ferringghi tanpa memasuki bandar dan melalui kaki bukit ­terus ke kawasan perindustrian.

“PORR ini tidak masuk bandar, projek ini lebih berharga tidak menelan kos pembinaan tinggi berbanding PTMP,” katanya.

Hilmi menarik perhatian, apa yang berlaku hari ini adalah kerajaan negeri melantik sebuah syarikat yang telah turun padang berjumpa dengan sekumpulan kecil nelayan.

“Janji kepada nelayan sampai ke langit. Kononnya 4,500 ekar ini akan didirikan kilang, perumahan serta nak masukkan sehingga 300,000 penduduk baharu. Bukankah nilai tanah di bahagian pulau ini mahal? Bolehkah kerajaan negeri bina rumah murah atau kos sederhana di tanah yang ditebus guna itu? Projek ini kalau dikaji betul-betul, memang tidak viable (berdaya maju),” ujarnya.

Kata Hilmi lagi: “Barangkali apa yang diharapkan Guan Eng nanti akhirnya kerajaan Pusat akan tolak PTMP atas alasan isu alam sekitar…kemudian dia akan tuduh Pusat tolak projek yang kerajaan negeri hendak buat. Sedangkan saya fikir cadangan ini hanya untuk political-mileage DAP. Kalau diteruskan tebus guna tanah ini akan rosaklah ekosistem di Balik Pulau.”