RADHI MAT DIN

Sebagai seseorang yang pernah bergelar role model, mereka masih mempunyai kelebihan tertentu berban­ding sebilangan ahli politik lebih senior untuk memancing undi rakyat dalam PRU.

Bola sering dikatakan bulat sehingga ‘apa sahaja boleh berlaku’ apabila pasukan yang lemah pun mampu mengejutkan si handalan, begitulah juga senario politik yang menjanjikan ‘sesuatu luar dugaan’.

SOH CHIN AUN
SOH CHIN AUN

Namun bak kata orang tua-tua - lain padang, lain belalangnya. ‘Sepak terajang’ politik memang jauh lebih berisiko daripada bola sepak terutama apabila sekutu boleh jadi seteru manakala kawan sanggup ‘makan’ kawan atau cah ke­ting.

Pengumuman bekas per­antara bola sepak Kedah dan Malaysia, Radhi Mat Din sebagai calon Pas di kawasan Parlimen Pokok Sena dalam saingan PRU 9 Mei ini mele­barkan lagi sejarah penyertaan penggiat sukan dalam politik tanah air sejak Datuk Soh Chin Aun merintisnya pada 1986.

Chin Aun, bekas kapten Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980 pernah bertan­ding atas tiket Barisan Nasional (BN) namun tewas kepada Lim Guan Eng (DAP) di kawasan Parlimen Kota Melaka.

‘Tauke’ (gelaran glamornya) yang turut membantu Melaka men­juarai liga Piala Malaysia 1983 namun lebih banyak mencipta nama dengan Selangor, hanya meraih 16,967 undi manakala Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendapat 34,573 undi.

Radhi, 53, tidak kurang hebatnya. Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 ini turut pernah membantu Kedah menjulang Piala Malaysia 1990 dan 1993 serta Piala FA 1996 sebelum beralih sebagai penolong jurulatih.

Bekas rakan sepasukan ‘tauke’, Datuk Jamal Nasir Ismail lebih menyerlah sebagai calon BN dalam PRU apabila bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang kawasan Beserah selama sepenggal pada 1995 setelah menewaskan calon Pas, Raja Puji Tengku Abdul Hamid dengan majoriti 3,960 undi.

Selain membantu negara layak ke Moscow walaupun diarahkan kerajaan supaya memboikot Sukan Olimpik 1980, bek kanan itu juga menyumbangkan dua pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1977 dan Jakarta 1979 serta memimpin Pahang menjulang Piala Malaysia buat kali pertama pada 1983.

Para peminat olahraga tanah air masih ingat tak lagi pelari negara yang pernah beraksi di sam­ping pemenang emas 100 meter Sukan Asia New Delhi 1982, Datuk Rabuan Pit?

Menyandang kerusi DUN Sook, Sabah selama dua penggal pada 2008 dan 2013 atas tiket BN, beliau ialah Datuk Ellron Alfred Angin yang turut berpengalaman beraksi dalam Sukan SEA Jakarta 1979 dan Manila 1981.

ELLRON ALFRED Angin
ELLRON ALFRED Angin

Ellron memenangi persaingan empat penjuru dalam PRU 2008 dengan kelebihan 2,131 undi dan mempertahankannya lima tahun kemudian menerusi majoriti lebih besar, 4,395 undi apabila menewaskan empat pesaing daripada PKR, SAPP, STAR dan Bebas.

Agak berbeza dengan Khairy Jamaluddin yang ‘menongkah arus’ menganggotai skuad polo pemenang emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah membina nama dan karier politiknya sebagai Ketua Pemuda UMNO, seterusnya Ahli Parlimen Rembau dan Menteri Belia dan Sukan sejak 2013.

Mengulas penglibatan bintang-bintang silam sukan dalam arena politik, kata bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong: “Latar belakang sukan itu hanyalah satu faktor tambahan.

“Yang lebih penting ialah mereka kena ada ciri-ciri seperti berpengetahuan, kemampuan memimpin, pendidikan, penampilan, kebolehan berucap dan penampilan selain nilai-nilai murni.”

Dalam pada itu Jamal mengakui bekas atlet mudah dikenali, justeru menaruh keyakinan bahawa Radhi berpeluang cerah mengalahkan Datuk Mahfuz Omar (pe­nyandang kerusi Parlimen Pokok Sena).

JAMAL NASIR ISMAIL
JAMAL NASIR ISMAIL

“Jasanya banyak membawa kejayaan kepada Kedah selaku pemain dan penolong jurulatih, jadi markah bonus dan faktor populariti akan menjadi penentu. Satu lagi faktor Radhi ialah pemilihannya diputuskan oleh parti. Mahfuz menang di situ dulu pun atas tiket Pas.

“Namun ilmu politik pun kita kena ada. Saya pun sebelum masuk bertanding dulu, tiga empat tahun kena rajin turun padang buat aktiviti untuk rakyat sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuantan. Ketika itu saya berusia 38 tahun,” katanya.

Mengenai trend pengundi sekarang, Jamal sempat menitipkan pesanan:

“Jangan kita mudah terpedaya dengan andaian dan penyebaran fitnah sehingga tolak kebenaran. Nanti bila sudah ‘terkena’ akibat salah pilih wakil rakyat, terpaksa pula tunggu lima tahun lagi untuk menukarnya.”