Biarpun di sebalik kecaman beberapa jemaah haji Malaysia terhadap penginapan di khemah Arafah dan Mina, ada ramai lagi yang memuji perkhidmatan Tabung Haji dalam menguruskan mereka di Tanah Suci ini.

Dengan jumlah jemaah haji Malaysia yang meningkat daripada angka rasmi yang diumumkan sebelum ini, 30,200 kepada 42,200 yang dinyatakan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim semasa hari wukuf tempoh hari, pastinya banyak ragam dan kejayaan dalam perkhidmatan dapat disaksikan.

Jangan kita bandingkan negara lain menguruskan jemaah haji mereka, yang kita lihat hebat dan baik pada pandangan mata kasar sedangkan, jika diperhalusi besar kemungkinan mereka turut berhadapan ujian terutama di Arafah mahupun Mina, atau mungkin juga di hotel penginapan yang jaraknya lebih jauh dari maktab jemaah haji Malaysia ke Masjidilharam mahupun Masjid Nabawi di Madinah.

Tabung Haji sebagai sebuah organisasi dipertanggungjawabkan tentang perjalanan haji telah dapat mengurus jemaah haji dengan baik sehingga mendapat pujian dari negara luar malah Kerajaan Arab Saudi menganggap pengurusan negara kita adalah yang terbaik.

Kata Ketua Muasasah Tewafah Asia Tenggara, Sheikh Muhammed Amin Hassan Andarqiri, jemaah haji dunia wajar mencontohi cara pengurusan dan pentadbiran, kebajikan dan persediaan jemaah haji, sistem operasi dan sebagainya yang dilakukan Malaysia.

“Alhamdullilah, jemaah haji Malaysia, kita belajar dari mereka. Pada mesyuarat bersama menteri dan wakil menteri, kita sentiasa diberitahu, bahawa adalah elok jika semua jemaah haji adalah seperti jemaah haji Malaysia.

“Kita merasa amat berbangga bekerjasama dengan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) kerana mereka sudah mempunyai banyak pengalaman mengurus jemaah,” katanya di Mekah sebelum ini.

Maka dalam konteks ini, dapat dirumuskan bahawa, salah satu sebab yang menjadikan pengurusan haji terbaik kerana tadbir urusnya cekap dan efisien.

Tersusun

Contohnya, semasa pelepasan jemaah haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya dan kemudian tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah, kemudian dibawa dengan bas ke maktab penginapan di Mekah mahupun Madinah, semuanya tersusun dan dipantau dengan sistem Bravo dan Hajj-Mobility.

Jemaah tiba dengan selamat, duduk bilik yang selesa dan dibekalkan sacet minuman, punyai pelbagai jadual kuliah dan sebagainya.

Semua itu berlaku kerana Tabung Haji mempunyai carta pengurusan tersusun yang diketuai oleh Ketua Rombongan Haji dan Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) dan Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan).

Ini diikuti oleh Pengarah Operasi yang terlibat iaitu Pengarah Operasi (Mekah), Pengarah Operasi (Masyair), Pengarah Operasi (Bimbingan), Pengarah Operasi (Jeddah), Pengarah Operasi (Maktab), Pengarah Operasi (Media), Pengarah Operasi (Teknologi Maklumat), Pengarah Operasi (Pengelola Jemaah Haji), Pengarah Operasi (Kewangan) dan Pengarah Operasi (Madinah).

Jemaah haji Malaysia di Tanah Suci ini wajar melihat peranan mereka seperti 'menteri Kabinet’ dalam menguruskan sebuah negara.

Ini kerana setiap Pengarah Operasi memainkan peranan yang penting ke arah keberkesanan setiap pengurusan jemaah haji.

Kelancaran pergerakan jemaah haji bergantung kepada kecekapan Pengarah Operasi dalam mengurus bahagian di bawah pentadbirannya supaya dapat berjalan lancar.

Begitu juga peranan Ketua Rombongan Haji, di mana telah mewujudkan kerjasama yang baik dengan agensi-agensi di tanah air lebih-lebih lagi di Arab Saudi bermula dengan Kementerian Haji, Muasasah Asia Tenggara (organisasi Kementerian Haji yang menguruskan haji bagi Asia Tenggara).

Timbalan Ketua Rombongan (Kebajikan) pula berperanan untuk menentukan segala urusan pentadbiran dapat berjalan sebagaimana yang dirancangkan bermula di Mekah, Masyair (Arafah, Mudzalifah dan Mina) di Jeddah dan Madinah.

Pencapaian kecekapan Tabung Haji untuk mengurus bukan sahaja bergantung kepada perancangan dan pengurusan agensi ini sahaja, ia juga berkait rapat dengan kerjasama jemaah haji Malaysia.

Tabung Haji merancang dan jemaah haji Malaysia perlu memberi kerjasama dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Maka dalam konteks ini, jemaah haji Malaysia telah bersikap terbuka, mematuhi setiap nasihat dan arahan, walaupun wujud sebahagian kecil jemaah yang mengikut peraturan dan kehendak sendiri.

Benar setiap manusia ada perasaan dan kemahuan, tetapi dalam waktu singkat menghadapi ujian di Tanah Suci ini, kembalikan kepada fitrah manusia yang dituntut untuk sentiasa bersabar dan hendaklah jemaah haji akur dengan nasihat dan arahan yang dikeluarkan Tabung Haji di Tanah Suci ini.

Banyak penambahbaikan dan perkhidmatan yang telah dirasai oleh jemaah haji, seperti rawatan perubatan, Safari Wukuf, penjagaan warga emas dan paling ketara perkhidmatan disediakan di setiap maktab, pusat perkhidmatan pelanggan serta bantuan Unit Peronda Tabung Haji yang kelibatnya ada di lokasi strategik sekitar Masjidilharam, Masjid Nabawi dan kawasan melontar Jamrah.

Kata jemaah haji, mereka menghargai pengorbanan petugas Tabung Haji dan satu majlis khas telah diadakan untuk mereka yang berjasa ini.

Wakil jemaah haji, Izzar Kadir berkata, majlis untuk menolak tanggapan salah orang ramai yang mengatakan maktab penginapan tidak sempurna dan petugas tidak ambil tahu hal jemaah haji.

“Sebelum kami hadir ke Tanah Suci ini, banyak desas desus yang mengatakan maktab tidak sempurna dan Petugas Tabung Haji tidak ambik berat soal jemaah haji.

“Tetapi sebaik sahaja kami turun dari kapal terbang di Jeddah sehinggalah ke Mekah dan tiba di maktab penginapan ini, kami lihat tidak ada langsung halangan. Kami disambut dengan baik oleh Petugas Tabung Haji, penginapan kami selesa, makan minum kami terjaga, kebajikan kami diberi perhatian, hal kesihatan dan rawatan semuanya baik.

“Perkhidmatan yang diberikan tidak ada masalah pun. Jemaah haji merasa amat terharu kerana mereka begitu mesra dan baik. Petugas Tabung Haji sentiasa di lokasi masing-masing,” katanya.

Apa pun, 'yang mencarik kain yang siap dijahit mungkin tidak ramai’ kerana bilangan yang besar memuji dan menghargai Tabung Haji dan masih mensyukuri nikmat berada di Tanah Suci dan telah mengerjakan ibadah haji dengan sebaik-baiknya.