Mereka mengikuti secara dekat cara Tabung Haji menguruskan jemaah sama ada melalui media arus perdana mahupun media sosial. Apa yang pasti, ini bukan kali pertama Tabung Haji melakukannya namun untuk menyelia sejumlah besar jemaah haji bukan tugas mudah. Apatah lagi pada tahun ini jumlahnya meningkat kepada 30,200 orang berbanding 22,300 tahun lalu.

Namun demi menunaikan amanah, tentulah menjadi impian besar Tabung Haji untuk berada pada kedudukan terbaik dalam menguruskan jemaah haji. Dan ternyata tidak boleh dinafikan lagi, Tabung Haji membuktikannya sehinggakan sering dijadikan contoh serta rujukan oleh negara-negara lain yang mahu belajar menguruskan jemaah haji masing-masing.

Keupayaan jemaah haji Malaysia mengikuti setiap arahan, petunjuk dan program yang diaturkan oleh Tabung Haji dengan penuh disiplin sepanjang berada di Madinah dan Mekah telah meningkatkan lagi keyakinan Kerajaan Arab Saudi dan negara-negara lain.

Bagaimanapun, semuanya ini bukan kerja sehari dua tetapi adalah hasil kerja berpasukan yang tinggi dan usaha gigih Tabung Haji untuk memastikan setiap urusan dilakukan sebaik mungkin.

Ketika pelbagai negara lain sedang berusaha memperbaiki kelemahan menguruskan jemaah haji mereka, Tabung Haji terus ke hadapan dalam membuat pelbagai penambahbaikan di semua maktab kendalian di 24 bangunan penginapan di tanah haram ini untuk musim haji 1438 Hijrah.

Daripada lanyard (penyandang tali pengenalan diri jemaah haji) yang berwarna-warni, tukang masak, soal dobi sehinggalah kepada perkara yang lebih serius seperti penyediaan pusat perkhidmatan, rawatan, farmasi, pengangkutan, kaunseling, peronda, perkhidmatan kafeteria, pengeposan bagasi, telekomunikasi dan banyak lagi - menjadikan jemaah haji Malaysia seolah-olah mendiami ‘wilayah Tabung Haji’ di kota Mekah ini.

Penambahbaikan itu sebenarnya dilakukan dari masa ke semasa, selaras dengan fakta sejarah pada masa kewujudan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji pada November 1962 dan mula beroperasi pada 30 September 1963. Perbadanan ini dilahirkan hasil penerimaan kertas kerja Profesor Diraja Ungku Aziz bertajuk, Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji pada 1959.

Pada 1969, perbadanan ter­sebut dicantumkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang sejak 1951. Dengan penggabungan tersebut lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau ringkasnya Tabung Haji yang ditubuhkan di bawah Akta 8, Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969.

Maka dengan kewujudan Ta­bung Haji itu, ia menjadi tunggak dan contoh sebagai organisasi Islam cemerlang terutama dalam menjaga kebajikan jemaah haji negara setiap tahun.

Apa yang pasti, pengurusan haji yang dikendalikan oleh Tabung Haji begitu komprehensif, efisien dan tersusun serta sentiasa mendapat pujian dari negara-negara luar.

Ketahuilah bahawa menguruskan ribuan jemaah haji daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang di sebuah negara asing (Arab Saudi) pastinya tidak dapat dilaksanakan tanpa perancangan teliti dan komitmen yang tinggi oleh Tabung Haji selain kerjasama baik dan disiplin ditunjukkan oleh jemaah haji sendiri.

Pada 1 Jun 1995, akta baharu Tabung Haji iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995 mula dikuatkuasakan dengan memansuhkan akta lama dan nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji digantikan dengan Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997.

Serentak dengan itu huruf ‘TH’ diperkenalkan sebagai singkatan nama menggantikan perkataan Tabung Haji. Penubuhan Lembaga Tabung Haji ada dinyatakan dalam Seksyen 3, Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Berdasarkan sejarah penubuhan Tabung Haji lebih lima dekad lalu institusi itu telah memainkan peranannya yang cukup besar. Hakikatnya, Tabung Haji telah menjadi sebahagian daripada kehidupan umat Islam negara ini.

Di samping menjadi pemudah jalan bagi kewajipan menunaikan rukun Islam kelima itu, institusi ini juga adalah badan kewangan yang menjadi salah satu tunggak ekonomi ummah. Dalam pada itu sebanyak 24 bangunan penginapan di Mekah sudah bersiap-sedia menanti jemaah haji.

Maktab kediaman di hotel Abraj Al-Janadriyah, Qasr Al-Janadriyah, Alfajer Albadee(3), M. Saf Al Yamani, Masat Al-Badaya (Zon A); hotel Rawabi Al-Qouds, Azhar Al-Safa, Awitad Makkah (Zon B); hotel Jauharat Al-Bait, Al-Manarah, Zwar Al-Bit, Amjad Al-Bit, Taima Al-Barakah (Zon C); hotel Abraj Alfadhilah, Al-Fajr Albadee (5), Alfajar Albadie (1), Al-Fajer Al Badia (4), Al-Wafideen, Dar Al Wafideen (Zon D) dan hotel Rehab Al-Janadriyah, Al-Bisyarah Mawaddah (Zon E) akan menjadi ‘perkampungan Malaysia’ sepanjang Musim Haji 1438 Hijrah di Mekah.

Duduklah dalam satu keluarga yang besar dan carilah Petugas Tabung Haji untuk mendapatkan maklumat serta bantuan.

Diharapkan juga 30,200 jemaah Malaysia dapat menunjukkan tahap disiplin yang tinggi. Seperkara lagi jangan jadikan Tabung Haji sebagai ‘dinding yang dilontarkan batu’, kerana telah terbukti bahawa badan ini telah berjaya menguruskan jemaah haji Malaysia sejak berdekad lama­nya. – UTUSAN