Seperti diduga sekali lagi, Tabung Haji berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan umat Islam di negara kita mampu menunaikan ibadah dengan berilmu dan tertib.

Walaupun berhadapan dengan jemaah haji yang mempunyai pelbagai latar belakang dan ragam, namun bukanlah halangan untuk Tabung Haji meneruskan kecemerlangan dalam perkhidmatannya.

Seperti tahun-tahun sebe­lumnya, Tabung Haji sentiasa melakukan penambahbaikan dan memperbaiki kelemahan yang ada demi kebaikan jemaah haji.

Begitulah juga tahun ini apabila Tabung Haji meningkatkan kualiti perkhidmatannya dalam beberapa perkara. Ini terma­suklah memperkenalkan ‘Safari Wukuf’ yang bertujuan memastikan kesemua jemaah haji yang dirawat di pusat rawatan Tabung Haji di Mekah dapat berwukuf di Arafah - salah satu rukun penting dalam ibadah haji.

Walaupun terdapat lima orang jemaah tidak dapat berbuat demikian kerana berada dalam kategori yang dianggap kritikal namun ini sama sekali tidak menjejaskan matlamat program tersebut.

Keprihatinan Tabung Haji berterusan apabila 60 warga emas dipilih mengikuti program kebajikan ‘satu petugas satu jemaah’. Melalui program itu, mereka akan dibantu melaksanakan ibadah dalam operasi masyair melibatkan wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina.

Apa yang menarik melalui Tabung Haji, Malaysia antara beberapa negara yang mematuhi sepenuhnya beberapa syarat baharu dari segi pemantauan jemaah haji yang lebih efisien khususnya dalam aspek keselamatan yang diperkenalkan oleh Arab Saudi.

Hakikatnya, penulis tidak perlu menghuraikan secara mendalam apa lagi yang dilakukan oleh Tabung Haji dalam menguruskan jemaah kita tetapi apa yang pasti umat Islam Malaysia beruntung kerana mempunyai agensi seperti Tabung Haji.

Sepanjang hampir 56 hari membuat liputan pelaksanaan ibadah haji musim ini bermula dari Madinah dan kemudian Mekah, penulis melihat sendiri bagaimana gigihnya Tabung Haji melalui para petugasnya melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

Walaupun ada segelintir jemaah masih tidak berpuas hati dengan khidmat yang diberikan namun ini perkara biasa. Bak kata orang, kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak.

Tetapi apa yang pasti pengurusan Tabung Haji bukan kelompok yang memekak telinga atau membutakan mata dalam usaha me­lakukan penambahbaikan dalam perkhidmatannya.

Sebab itulah setiap kali musim haji berakhir Tabung Haji akan mengadakan post mortem bagi membincangkan sebarang permasalahan dari segi operasi. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana muzakarah haji peringkat kebangsaan turut diadakan setiap tahun.

Muzakarah itu yang disertai oleh alim ulama dan pakar rujuk Tabung Haji bertujuan mengenal pasti permasalahan atau persoalan berkaitan hukum ketika pelaksanaan ibadah tersebut.

Apa yang dilakukan oleh Tabung Haji itu bagi memastikan jemaah haji Malaysia bukan sahaja mendapat kemudahan selesa di tanah suci tetapi juga mempunyai ilmu.

Atas matlamat yang sama juga bakal jemaah diberikan pelbagai kursus bagi membolehkan mereka melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.

Oleh itu mana-mana pihak tidak perlu terganggu dengan pemikiran songsang sesetengah kelompok yang sengaja mencari isu untuk memburuk-burukkan Tabung Haji. Ini termasuklah membangkitkan isu dangkal kekurangan lif di hotel-hotel yang menjadi maktab penginapan jemaah haji.

Begitu juga apabila ada media propembangkang yang seolah-olah mempersoalkan kenapakah jemaah haji yang melakukan nafar awal selepas melontar di Mina tidak disediakan bas.

Sekali imbas mungkin ada pihak yang mempercayai kea­daan ini berlaku tetapi hakikatnya jemaah haji yang terlibat bukan daripada kelompok jemaah yang layak melakukan atau nafar awal.

Bagi jemaah haji yang ditetapkan oleh Tabung Haji perlu melakukan nafar awal memandangkan mereka perlu membuat persiapan untuk pulang ke tanah air, bas disediakan, oleh itu mana-mana jemaah haji yang tidak termasuk dalam kategori ini, mereka perlu tanggung sendiri terhadap apa yang mereka lakukan, ini bukanlah salah Tabung Haji.

Kesimpulannya, musim haji kali ini sekali lagi membuktikan kemampuan Tabung Haji menguruskan jemaah haji Malaysia, kalaulah ada kelompok yang masih mahu mempertikaikan kewibawaan agensi itu, biarlah mereka terjun dengan labu-labunya.