Maksudnya setiap reaksi yang kita berikan kepada orang lain adalah lahir daripada apa yang ada dalam diri kita, yang menjadi sikap, tabiat dan keperibadian kita. Dan kita akan mendapat hasil kehidupan sama ada baik/ positif atau tidak baik/negatif, bergantung kepada apa yang kita berikan kepada orang di sekeliling kita berdasarkan tabiat hidup kita. Contohnya, kerana dalam diri kita ada kasih sayang, maka kita suka membahagiakan orang, dengan cara membantu orang, mempermudah urusan orang dengan kita, dan hidup  sentiasa dengan niat hendak memberikan manfaat. Oleh sebab itu, kalau hendak tahu nilai diri dan hati kita sama ada kita  seorang yang berpemikiran negatif atau positif, lihat macam mana niat kita apabila melakukan sesuatu perkara? Adakah kita melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mendapat perhatian manusia atau untuk mendapat keredaan Allah? Adakah kita akan berkata tentang kebaikan orang sahaja atau kita suka mencari dan mencanangkan keburukan orang? Auditlah diri kita. Kita boleh menukarkan tabiat negatif kepada tabiat positif dengan cara mengawal fikiran dan emosi kita. Kawal tabiat kita menonton rancangan televisyen, stesen radio yang kita dengar, buku yang kita baca, orang yang kita berdamping, dengan memilih yang boleh memberikan kesan positif. Audit diri kita. Pertama, lihat kesihatan kita. Kalau kesihatan kita bagus bermakna kita telah memilih tabiat pemakanan yang sihat. Kalau kita tidak sihat perbetulkan pemilihan pemakanan kita. Untuk kita sedar sama ada kita memiliki tabiat yang positif atau negatif, kita mesti sentiasa tanya kepada diri kita enam perkara. Pertama, “mengapakah kita lakukan sesuatu perkara dan apakah kesannya kepada hidup kita. Kedua, “kenapa kita buat apa yang kita buat?” Ketiga, “mengapakah kita fikir apa yang kita fikir”. Keempat, “mengapakah kita rasa apa yang kita rasa.” Kelima, “apakah yang kita lakukan memberikan kesan yang positif atau negatif kepada diri kita?” Keenam, “apakah yang kita buat ini memberikan ketenangan kepada kita?” Kalau kita rasa tidak tenang, tidak bahagia, sakit, risau, kewangan kurang, ditimpa kesusahan dan sentiasa berasa hidup dirundung malang, maka kita mesti ubah cara kita menjalani kehidupan. Muhasabah diri dan perbetulkan kesilapan daripada segi tabiat hidup kita, dengan cara meninggalkan tabiat negatif dan laksanakan segera tabiat positif. Tip untuk mengubah tabiat diri adalah dengan membuat jurnal kehidupan yang melibatkan empat perkara iaitu, kebahagiaan, ketenangan, kesihatan, dan kewangan kita. Kaedah penulisan jurnal adalah seperti berikut. Buatkan dua kolum. Kolum di sebelah kiri tulis tentang keadaan kesihatan kita yang ada sekarang dan di ruang sebelah kanan, tulis kesihatan yang kita mahu. Seterusnya tulis dengan kaedah yang sama untuk tabiat kita dari segi ketenangan, kebahagiaan dan kewangan. Seterusnya buatkan kolum ketiga, untuk kita tuliskan tabiat kesihatan kita, (tabiat pergerakan, senaman, pemakanan dan fikiran kita). Contohnya daripada segi fikiran. Adakah kita seorang yang berfikiran negatif tentang sakit dan penyakit? Iaitu contohnya, kalau kita berada dalam kalangan orang yang demam selesema, adakah terfikir atau terdetik di hati kita, akan berjangkitlah penyakit tersebut kepada kita. Percayalah apa yang kita jangkakan itu yang kita akan dapat, sebab dunia dan kehidupan kita sebenarnya berada dominan dalam minda kita.

 

Amal tabiat positif
Daripada segi saintifik minda ada dua lapis, iaitu minda sedar dan minda bawah sedar/minda segar (hati/roh/jiwa). Janganlah kita melihat sesuatu hanya di ‘mata fizikal’ sahaja, tetapi melihat lebih daripada itu, iaitu daripada segi roh kita. Hakikatnya, kekuatan manusia sebenarnya terletak pada roh, bukan terletak pada fizikal. Sebab itu kalau roh kita sihat, semangat kita menjadi kuat, maka fizikal kita akan sihat. Begitu juga, kalau roh kita tenang, fizikal kita juga akan tenang. Untuk kesihatan kita, lihat juga tabiat tidur dan tabiat makan kita. Daripada kajian didapati 90 peratus daripada hormon milatonin yang berfungsi membolehkan atau menyebabkan kita tidur, sebenarnya berada di usus atau berhampiran perut kita. Maknanya apa-apa yang kita makan dan kondisi usus kita menentukan tidur kita. Sebab itu perlu kita menjaga apa yang kita makan kerana ia menentukan kualiti tidur kita. Di usus kita ada bakteria baik dan bakteria jahat. Kalau kita makan makanan yang diproses banyak mengguna minyak akan menyebabkan bakteria jahat menguasai sistem penghadaman dalam tubuh kita. Kita perlu mengamalkan tabiat positif, memakan makanan natural serta minum jus sayur dan buah. Hormon leptin yang menyebabkan kita kenyang dan membakar lemak akan bertambah kalau kita memakan protein ketika bersarapan. Oleh sebab itu amalkan tabiat positif untuk kesihatan diri dengan kurangkan pengambilan makanan berkarbohidrat. Selain pemilihan pemakanan, tabiat cara pengambilan pemakanan menentukan kualiti hidup kita positif atau negatif. Memadailah makan tiga kali sehari dan makan dalam jumlah yang sedikitsedikit, bukan makan sekali banyak. Berhenti sebelum kenyang dan banyak minum air. Tabiat tidur juga mempengaruhi kesihatan kita. Tabiat tidur yang positif, adalah tidur awal pukul 10 malam dan bangun awal pukul 4 pagi untuk bersolat tahajud. Bersunyi-sunyilah dengan Allah, mengadu dan bergantung harap sepenuhnya kepada Allah SWT. Seterusnya lihat pula tabiat kita daripada segi sasaran mendapatkan ketenangan. Jika kita tidak tenang, jadikan berzikir sebagai tabiat positif kita, dengan bergantung dan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT. Ingat, untuk tenang dan berjaya, kita perlu banyak zikir bukan banyak berfikir sahaja, kerana setiap fikir membawa zikir kepada Allah. Kita juga perlu banyak berdoa, bukan banyak ikhtiar sahaja. Sangat penting kita menyeimbangkan antara doa dengan ikhtiar. Dalam konteks mengecap kebahagiaan hidup, tengok apakah tabiat kita yang membuatkan kita tidak bahagia. Kalau kita berjumpa orang, kita asyik fikirkan, apakah faedah yang kita boleh dapat daripadanya, bukan apakah manfaat yang boleh kita beri dan kongsikan dengannya, pasti kita tidak akan bahagia. Ubah tabiat kita, daripada sikap suka menerima kepada sikap suka memberi, daripada suka melihat kejahatan orang kepada suka melihat kebaikan orang. Daripada melihat susah suasana kepada senang suasana. Sebab, dari segi kewangan banyak orang fikir, kita akan tenang jika kita banyak wang simpanan dalam bank, hingga hati kita berat hendak bersedekah. Tanggapan demikian terjadi, tanda yang menunjukkan banyak orang bergantung hidupnya kepada apa yang dia nampak daripada segi fizikal atau luaran seseorang. Tetapi, mereka tidak nampak apakah rezeki yang kita akan dapat daripada hasil sedekah kita. Pahala sedekah itulah yang menjadi harta kita yang kekal semasa hidup kita di akhirat kelak.