Kemajuan teknologi memberi kemudahan kepada masyarakat untuk mengetahui dan menyebarkan berita dalam dan luar negara dengan mudah, cepat dan terkini. Walaupun begitu, pihak tidak bertanggungjawab juga me­ngambil peluang dengan kecanggihan teknologi untuk menyebarkan kepentingan mereka.

Pihak yang mempunyai agenda ini sanggup menyebarkan fitnah, cerita palsu, serangan peri­badi terhadap sasaran mereka. Propaganda mereka akan menjadi tular dalam masa yang singkat. Kesannya sudah tentu membawa persepsi yang pelbagai kepada masyarakat.

Jika isu yang tular menyentuh keburukan peribadi individu tertentu, sudah tentu ia menarik persepsi buruk dalam kalangan masyarakat terhadap individu berkenaan.

Bukan setakat itu, ia boleh men­jejaskan kehidupan indivi­du tersebut seperti terganggu sum­ber pencarian rezeki, nama baik, hubungan dengan keluarga, masyarakat dan pelbagai lagi.

Jika yang tular itu fitnah menyentuh sesuatu kelompok ma­syarakat, bangsa, agama, maka ia akan menimbulkan kemarahan da­ripada kelompok yang terpalit de­ngan fitnah berkenaan. Ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam ka­langan mereka yang akhirnya membawa kepada perpe­cahan dalam ma­syarakat se­hingga me­nggugat perpa­duan dan ke­­rukunan hidup.

Dalam konteks ini, penyebaran berita palsu akan mengancam aspek keselamatan khasnya an­tara kelompok manusia da­lam masyarakat dan me­robohkan perpaduan dalam kalangan mereka.

Untuk memanfaatkan berita yang diterima, perlu dipastikan berita itu ada kebenarannya. Kebenaran ini dapat dilakukan de­ngan tabayyun iaitu menyelidik dengan teliti, tidak tergesa-gesa, merujuk maklumat berkaitan sehingga kita dapat memastikan kesahihan sesuatu perkara yang disampaikan. Da­lam erti kata lain tabayyun ialah mencari hakikat sesuatu maklumat de­ngan teliti, saksama dan berhati-hati.

Ini bertepatan dengan suruhan Islam melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenaran­nya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.”

Islam sebagai agama yang mencakupi segala aspek kehidupan manusia telah pun menyediakan platform tabayyun yang tepat untuk mengelak gejala penularan berita tidak sahih.

Ini bermaksud kita sebagai orang mukalaf bertanggungja­wab terhadap setiap perbuatan yang kita lakukan oleh anggota pancaindera termasuk perbuatan hati. Kita tidak boleh berburuk sangka yang datang da­ripada hati. Apatah lagi menyebarkan berita tidak ada kepastiannya oleh tangan-tangan kita yang sudah tentu ada balasan buruknya.

Apabila berita diterima ter­utamanya yang negatif, tidak pasti kesahihannya, maka sudah tentu ia perlu dihentikan setakat kita sahaja demi memenuhi tuntutan agama. Islam memandang jelek kepada kaum yang memperolok-olokkan kaum lain, atau kejian golongan wanita kepada golongan wanita lain, panggil memanggil dengan gelaran buruk, suka berprasangka kepada orang lain, begitu mudah menyebarkan setiap berita, mencuri dengar perbi­caraan orang lain, mencari kesalahan orang, bersaing secara tidak sihat, saling dengki-mendengki, benci-membenci bahkan sehingga merendahkan diri dengan aib dan celaan hasil perbuatan sendiri.

Islam meminta mereka yang bergelumang de­­ngan perkara-per­kara yang dilarang ini agar segera bertaubat. Ini ke­rana golongan yang suka melakukan per­buatan buruk adalah tergolong dalam kalangan orang zalim, seolah-olah mereka makan da­ging saudara mereka yang telah mati, yang sudah tentu sangat jijik.

Di sinilah peranan ta­bayyun dapat menge­lak­kan penularan beri­ta yang tidak sahih se­­te­rusnya mengelakkan fit­nah, buruk sangka dan risiko men­jatuhkan ma­ruah diri serta mengelakkan da­ripada tergolong dalam kala­ngan orang zalim pada pandangan agama.

Sebenarnya melalui proses tabayyun, kita dapat menambah maklumat tentang sesuatu be­rita yang diterima. Ini kerana kita perlu meneliti dan memban­ding maklumat dengan maklumat yang lain dan membuat rujukan ber­kaitan sehingga dapat membuat kesimpulan tentang kesahihan berita berkenaan.

Pada hakikatnya, Islam meminta kita melakukan tabayyun da­lam semua perkara khasnya da­lam berita yang diterima. Pihak Ulul Amri atau pemerintah bo­leh menguatkuasakan undang-undang takzir dalam isu ini atas dasar maslahah umat. Islam mahu masyarakat manusia hidup bersaudara, rukun damai sete­rusnya membentuk perpaduan ummah.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).