Selepas itu dipesan juga supaya dibelikan set hidangan daging wagyu terbaik di restoran makanan Barat berse­belahan. Namun, apa yang menjadi masalah, tidak pula dibekalkan ‘wang’ kepada anak kecil yang semestinya tidak mempunyai sumber pendapatan sendiri itu.

Apabila pulang dengan tangan kosong, anak itu dimarahi, adilkah tindakan sedemikian kerana kononnya tidak taat kepada perintah?

Dimensi ingin mengulas sedikit mengenai perlunya ketaatan anak kepada ibu bapa, pesanan juga kepada ibu bapa bahawa tiada jalan pintas untuk mereka menum­pang kesolehan anak-anak, sedangkan mereka tidak pula cuba-cuba untuk menjadi soleh!

Cakap kasar, mana aci ibu bapa bersungguh-sungguh mengingatkan kepada si anak bahawa syurga itu di bawah tapak kaki mereka tetapi pada masa sama tidak pula me­nunjukkan teladan baik kriteria-kriteria sepatutnya dimiliki oleh penghuni syurga.

Sama seperti contoh di atas, minta dibelikan bermacam-macam tetapi tidak pula diberikan wang! Dibimbangi anak yang terdesak untuk mematuhi perintah terpaksa pula mencuri hanya kerana ingin memenuhi impian ibu bapa. Ingat, matlamat tidak akan sesekali menghalalkan cara.

Suruh anak solat, membaca al-Quran tetapi diri sendiri alergik dengan sejadah, pakai pula ketat-ketat dengan rambut pelbagai warna yang dibiarkan mengerbang - rambut percuma (ikut terjemahan terus daripada free hair). Kebanyakan masa lebih suka balut aurat bukannya menutup aurat.

Anak soleh bukannya terjadi dengan sendiri, sama se­perti pokok balak dalam hutan tebal yang tidak memerlukan siraman air daripada manusia untuk hidup subur, tetapi sebaliknya amanah Allah ini perlu ditarbiah, dididik dan ditadbir urus sebaik mungkin.

Memang betul syurga itu di bawah tapak kaki ibu tetapi macam mana pula kaedahnya untuk anak-anak yang tidak dididik sebaik mungkin untuk mencari keindahan syurga yang dimaksudkan itu jika ibu bapa tidak menunjukkan lorong yang sebenar.

Semua pihak perlu berlaku adil - anak dan ibu bapa. Kedua-duanya perlu saling lengkap melengkapi. Kitaran lengkap semua daripada kita amat berkait antara satu sama lain. Sebelum mendapat status ibu bapa, kita semua adalah anak-anak yang kecil. Ibu bapa amat mengharapkan anak-anak mendoakan kesejahteraan khususnya semasa berada dalam alam barzakh, tetapi pada masa sama ibu bapa itu yang secara langsung juga anak-anak kepada ibu bapa mereka tidak pula mendoakan kemakmuran hidup individu yang melahir dan membesarkan mereka.

Jaga kitaran ini, jangan sesekali rosakkannya kerana ia adalah talian ‘hidup’ semasa kita semua berada dalam alam barzakh nanti. Semua tidak terkecuali sama ada dalam kalangan parti pembangkang atau kerajaan yang memerintah.

Jika amalan kita, iaitu ibu bapa tidak mencapai KPI yang sepatutnya maka masih belum terlambat untuk belajar. Peluang untuk belajar dan berubah tiada tarikh tutup sehinggalah kita semua menghembuskan nafas terakhir.

Doa anak-anak soleh adalah aset terpenting, sama ada disedari atau tidak. Ia adalah antara tiga talian hayat kepada ibu bapa selepas menghadap Pencipta.

Ibu bapa sekurang-kurangnya mampu menghela nafas kelegaan jika semasa berada di dunia mempunyai bekalan sedekah jariah dan ilmu bermanfaat. Namun, sekiranya kedua-duanya itu sekadar ‘cukup makan’ pada masa inilah perlunya doa anak soleh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakannya.” - hadis riwayat Muslim.

Berdasarkan kepada pemahaman ini, ia sebenarnya memberi dimensi baharu iaitu selain daripada syurga itu berada di bawah tapak kaki ibu, destinasi akhir orang beriman dan bertakwa itu sebenarnya turut berada di bawah tapak kaki anak-anak!