Dalam kesibukan lebih daripada 1.5 juta kenderaan menghala keluar menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), terdapat sekumpulan manusia yang sedang mencongak keuntungan mudah.

Kumpulan yang perasan kebal daripada panas api ne­raka ini tekun menyiapkan segala kelengkapan dan ­perancangan untuk ‘beraya’ sakan di kawasan-kawasan yang sudah dikenalpasti potensinya.

Rumah yang ditinggalkan tanpa penghuni dalam tempoh tertentu boleh menarik perhatian penjenayah untuk memecah masuk. Trend jenayah pecah rumah ketika Aidilfitri lazimnya berlaku dalam tempoh seminggu sebelum dan selepas hari raya. Mangsa biasanya menyedari rumah mereka terlibat hanya selepas kembali dari kampung.

Kenapa mudah dipecah masuk? Jawapan asas yang mudah adalah apabila semakin berkurangan tahap ke­selamatan, maka lebih tinggi kebarangkalian berlakunya jenayah harta benda. Contoh kaitan kepada realiti semasa adalah kawasan perumahan berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan 24 jam, risiko untuk dipecah masuk adalah berkurangan.

Bukannya langsung tiada, jika ada pun ia seperti kes terpencil dan kemungkinan besar berlaku hasil kerja khianat dalam kalangan ‘pegar’ sendiri. Penulis tertarik dengan inisiatif sebuah persatuan penduduk taman perumahan di Selangor.

Konsisten sejak beberapa tahun lalu, setiap kali cuti raya terdapat sekumpulan penduduk menawarkan diri secara sukarela membuat rondaan kawasan perumahan yang didiami mereka, semoga Allah membalas jasa baik mereka. Kawalan ala Rukun Tetangga itu adalah pelengkap kepada rondaan polis di kawasan perumahan mereka dan yang berhampiran.

Sebelum ini sewaktu permulaan taman itu didiami, terdapat pengawal yang menjaga, keluar dan masuk perlu melepasi palang. Sejumlah wang dikutip daripada penduduk yang sedikit itu bagi menanggung kos bayaran kawalan keselamatan, tiada masalah untuk semua pihak memberikan komitmen.

Lama kelamaan, penduduk semakin bertambah, rumah yang kosong sebelum ini sudah penuh, namun apa yang pelik perkhidmatan kawalan keselamatan terpaksa ditamatkan kerana difahamkan tidak mendapat sokongan ­daripada penduduk, khususnya untuk melunaskan bayaran bulanan.

Sejak itu berlaku beberapa kali kes pecah rumah, se­perti biasa, kecoh sekejap dengan pelbagai cadangan bagi mengatasinya. Umpama meriam buluh semasa musim perayaan, gema dentuman didengari melangkaui beberapa kampung tetapi yang berada di hadapan muncungnya langsung tidak tercedera!.

Selepas itu terdapat cadangan untuk memagar sekeliling taman berkenaan, Alhamdulillah ia diterima dan menjadi realiti tetapi hanya bahagian depan sahaja yang berjaya dipasang pagar, bahagian tepi kekal ‘bogel’. De­ngar-dengar katanya ada sedikit masalah, difahamkan ada yang tidak bayar, bayar separuh dan bayar sikit!

Minggu lepas ada sebuah rumah cuba dimasuki pada siang hari oleh suku-sakat yang perasan ‘kebal’ daripada azab Allah. Bagaimanapun kerja jahat mereka tidak berjaya kerana disedari oleh penghuninya yang menjerit meminta tolong, sekali gus menarik perhatian jiran-jiran berhampiran. Penjenayah itu berjaya melarikan diri.

Ikhlas cakap, meskipun rumah masing-masing masih belum dipecah masuk penjenayah, janganlah lokek untuk melabur sedikit demi keselamatan dan kesejahteraan diri sendiri dan jiran. Amat tidak elok jika beranggapan bahawa selagi rumah aku ‘tidak kena’, maka kenapa perlu aku bersusah payah membayar perkhidmatan yang diberikan.

Juga tidak sewajarnya kita culas daripada membayar­nya dengan mengharapkan penduduk lain yang menanggung ‘bahagian’ kita. Jika tidak setuju daripada peringkat awal, nyata dan pertahankan pendirian semasa mesyua­rat agung persatuan penduduk. Bukannya mengelak daripada membayarnya setelah keputusan majoriti diperoleh. Hormatilah adab berjemaah.

Kepada penjenayah yang ‘bekerja lebih masa’ semasa tuan rumah sedang sibuk beraya di kampung, takutlah azab Allah. Kita semua boleh mati pada bila-bila masa, langsung tidak diawalkan atau dilewatkan walaupun sesaat. Jika ditakdirkan semasa merompak itu anda mati dan tidak sempat bertaubat, rasa-rasanya kelak bakal masuk syurga atau neraka?