TIDAK semua anggota ASEAN memandang sebak dan ringan tangan membantu umat Islam Rohingya.

Filipina selaku Pengerusi ASEAN pun pandang sebelah mata derita Rohingya. Apa lagi Kemboja, Thailand, Vietnam dan Laos yang buat tak tahu.

WIRATHU
WIRATHU

Jakarta pun tidaklah seprihatin Malaysia. Sebagai mewakili umat Islam terbesar di rantau ini dan dunia, Indonesia sepatutnya berkeras membela nasib Rohingya - bukannya seolah-olah ‘me­nerima’ penindasan yang berlaku.

Seorang menteri luar salah sebuah negara ASEAN pernah bercakap dengan rakan sejawatannya dari negara ini:

“Kenapa Myanmar tidak mahu terima mereka (Rohingya). Walaupun Rohingya mungkin berasal daripada orang kami (Bangladesh) tetapi keturunan mereka sudah berada 1,000 tahun lalu di Myanmar (Arakan). Macam mana mereka nak balik ke Bangladesh,” kata menteri itu.

Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan kekejaman junta tentera Myan­mar ke atas Rohingya sebagai pembersihan etnik, negara-negara anggota ASEAN kecuali Malaysia dan Indonesia masih buat tak tahu.

Tumpang lalu turut sebak setiap kali melayari grup WhatsApp memperjuangkan nasib Rohingya. Ada video memperlihatkan anak kecil yang dikerat ususnya. Ada wanita yang dikeluarkan a­nak yang dikandungnya, sebelum militia Buddha Myanmar mengerat tubuh bayi berkenaan.

Walaupun pemimpin utama Buddha, Dalai Lama mengingatkan, Buddha tidak akan membenarkan penganiayaan terhadap Rohingya namun dia hanya sekadar berpeluk tubuh. Tiada tindakan apa-apa atau sekurang-kurangnya Dalai Lama bercakap dengan ekstremis Buddha di Myan­mar, Wirathu segera menghentikan kekejaman di sana.

Syabas Kuala Lumpur dengan kenyataan tegas menerusi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang menolak kenyataan dikeluarkan Filipina bulan lalu mengutuk serangan ke atas pasukan keselamatan Myanmar dan menyatakan sokongan menteri-menteri luar ASEAN ke atas kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi.

Mendengar tohmahan, dakyah dan fitnah dilemparkan ketua-ketua Pakatan Harapan dikepalai DAP terhadap kerajaan di Padang Timur, Petaling Jaya Sabtu lepas, Tumpang lalu sekadar mampu menggeleng-gelengkan kepala.

Tak bersyukur langsung mereka dengan kestabilan politik dan keharmonian yang dikecap rak­yat Malaysia berbilang kaum ini.

Apa nak jadi dengan mereka ini.


Warga Korea Utara hanya simpan duit 
makan

KIM JONG-UN
KIM JONG-UN

TUMPANG lalu dimaklumkan di Sarawak terdapat kira-kira 200 warga Korea Utara mencari rezeki di negeri itu.

Apabila bekerja di seberang laut, mereka hanya dibenarkan menyimpan duit makan. Sebahagian besar 80 hingga 90 peratus duit gaji yang diterima dari majikan mereka, secara automatik diauto debit untuk kerajaannya.

Duit yang diperoleh rakyat hasil kerja keras mereka sendiri dirampas kerajaan dan diguna untuk memperhebatkan segala aspek berkaitan ketenteraan. Segala-galanya di Korea Utara milik kerajaan Pyongyang.

Tumpang lalu tak terkata apa apabila sering melihat dalam berita dunia gelagat pemimpin Korea U­tara, Kim Jong-un yang asyik berlegar di tapak ujian nuklear.


Pandang Syria, ingat tanah air ini

BASHAR AL-ASSAD
BASHAR AL-ASSAD

KALAU keharmonian tanah air ini tidak dijaga, Tumpang lalu fikir tidak mustahil negara ini boleh ditimpa musibah seperti mana negara-negara dilanda konflik termasuklah Syria.

Perang saudara di Syria sudah berlarutan enam tahun. Ini suatu konflik bersenjata antara tentera kerajaan dan pelbagai kumpulan pemberontak di sana.

Pemberontak mahu Presiden Bashar al-Assad berundur kerana keluarganya yang memerintah Syria sejak 1971 dituduh mengamalkan rasuah dan kroni.

Ramai penyokong Bashar adalah Syiah manakala majoriti pembangkang kerajaan adalah Sunni. Islam Sunni membentuk kira-kira 74 peratus daripada penduduk Syria manakala hanya 13 peratus penduduk Syria adalah Syiah.

Kerajaan Syria disokong oleh Rusia dan Iran, sementara Qatar dan Arab Saudi memberikan senjata kepada pihak pemberontak.

Negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Turki dan Jordan juga secara tidak langsung terlibat dalam konflik itu.

Selama bertahun-tahun, permusuhan yang berterusan telah menjadi suatu yang ‘normal’ untuk Syria. Kehidupan rakyat Syria benar-benar terganggu dek perang saudara ini.