Yang pasti, setiap daripada kita mempunyai kisah masing-masing sama ada menggembirakan atau sebaliknya. Cuma apa yang Kalam ingin sentuh minggu ini ialah pengalaman dua orang sahabat yang mereka anggap telah diberi peluang kedua oleh Allah untuk meneruskan kehidupan.

Usia kedua-dua sahabat Kalam ini boleh dikatakan muda. Seorang berusia 37 tahun manakala seorang lagi berumur 46 tahun. Persamaan kedua-dua sahabat Kalam ini, mereka secara tiba-tiba mendapat serangan jantung pada tahun lalu.

Bagi mereka, pengalaman di saat-saat menghadapi serangan itu amat menyakitkan seolah-olah nyawa mahu berpisah dengan badan. Ketika itu tiada apa yang mampu dilakukan kecuali pasrah. Bayangkan hendak bernafas pun tidak mampu apatah lagi hendak berjalan atau ­melakukan perkara-perkara lain.

Apa pun syukur pada Allah, kedua-dua sahabat Kalam ini akhirnya selamat menjalani pembedahan untuk tujuan pemasangan stent selepas doktor berjaya mengesan terdapat saluran jantung mereka yang tersumbat hingga menghalang pengaliran darah secara normal.

Sahabat yang berusia 37 tahun itu ketika menceritakan pengalamannya berkata, dia tidak sangka dalam usianya boleh dikategorikan muda, ditambah dengan rutin hariannya yang aktif boleh mendapat serangan jantung.

Bagaimanapun dia mengakui mungkin tabiat ­merokok sebelum ini menjadi salah satu faktor berlakunya serangan jantung tersebut di samping faktor makanan dan tekanan di tempat kerja. Sungguhpun begitu katanya, dia tetap bersyukur kerana Allah telah memberikannya peluang kedua untuk hidup. Allah telah mengejutkannya daripada lena dan kelalaian.

Sejujurnya dia berkata, disebabkan serangan itu dia menjadi semakin dekat dengan Allah. Dirinya pun kini semakin tenang. Paling mengejutkan dia mampu membuang tabiat merokok. Bahkan dia menjadi seorang yang amat menghargai kehidupan.

Jika diimbau corak kehidupannya sebelum ini mungkin ramai yang tidak sangka dengan perubahan yang berlaku. Pernah seorang rakan melihatnya solat berjemaah zohor di masjid, baru-baru ini. Sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Inilah yang dikatakan hidayah. Jika Allah mengkehendaki seseorang itu mendapat hidayah, pasti dia akan ­menerimanya. Inilah nikmat terbesar bagi seseorang apabila dipilih untuk menerima anugerah terindah itu. Cara mana atau bagaimana, semuanya ditentukan oleh Allah.

Kisah sahabat yang berusia 46 tahun ini pula lebih kepada corak pemakanannya yang boleh disifatkan sebagai tidak sihat. Katanya, kepada Kalam antara makanan ­kegemarannya ialah nasi lemak yang dibeli berdekatan dengan rumahnya. Dalam seminggu, dia makan nasi lemak sekurang-kurangnya tiga kali. Kebiasaannya, pada waktu malam dan selepas makan terus tidur.

Kalam tanya apa istimewa nasi lemak tersebut. Ujar­nya, nasi lemak mak cik ini berlemak dan sedap. Selain nasi lemak kadang-kadang dia makan nasi goreng kambing sebagai hidangan malam. Akhirnya dia mendapat serangan jantung kerana terdapat tiga saluran tersumbat. Katanya kepada Kalam ketika melawatnya di hospital baru-baru ini, dia perlu mengubah pemakanannya demi kesihatan dan keluarganya. Anak-anak masih kecil dan memerlukan belaian kasih sayang daripada seorang ayah.

Namun Kalam agak terkilan juga apabila terdapat sahabat-sahabat lain yang pernah dirawat bahkan dibedah akibat serangan jantung tidak serik-serik. Selepas sihat mereka masih merokok. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sebelum ini.

Kalau dinasihatkan, macam-macam alasan diberi. Terpulanglah, jangan nanti tiba-tiba mereka mendapat sera­ngan jantung sekali lagi, tiada apa yang boleh diselamatkan gara-gara kedegilan sendiri. Renung-renungkanlah.