Namun begitu tampuk pemerintahan Bashar masih mampu bertahan kerana mempunyai ‘talian nyawa’ yang bergantung kepada kuasa veto dari China dan Rusia yang masih memberi sokongan kepadanya.

Sebelum ini, campur tangan Liga Arab dan pihak antarabangsa menemui jalan buntu, begitu juga dengan pelaksanaan beberapa resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang gagal melemahkan kepimpinan Bashar.

Beliau dilihat masih cuba menggunakan kekuatan tenteranya untuk menamatkan krisis berdarah itu yang telah mengorbankan lebih 4,000 nyawa sejak demonstrasi bermula.

Bagaimanapun, ramai askar Syria juga didakwa mula berpaling tadah menyokong kumpulan pemberontak, keadaan yang mungkin boleh mencetuskan perang saudara di bumi Syria yang boleh memberi impak kepada negara-negara jirannya.

Ini termasuk tindakan komander kanan tentera Syria, Jeneral Mostafa Ahmad al-Sheikh yang berpaling tadah sejak pemberontakan meletus dan menyertai Tentera Pembebasan Syria yang diketuai oleh Kolonel Riad al-Asaad.

Menurut Mostafa, kira-kira 20,000 hingga 40,000 askar dilaporkan telah berpaling tadah dan bersedia untuk dikerah menentang tentera Bashar yang mempunyai kekuatan seramai 280,000 anggota dan 342,500 tentera simpanan.

Terbaru, empat lagi pegawai tentera berpangkat Jeneral Brigadier dilaporkan belot, menjadikan tujuh pegawai tentera berpangkat tinggi telah berpaling tadah untuk menyertai pemberontakan menentang pemerintahan Bashar.

Jurucakap Tentera Pembebasan Syria, Leftenan Khaled al-Hamoud berkata, keempat-empat pegawai berpangkat Jeneral Brigadier itu melarikan diri pada minggu lalu ke kem pemberontak di selatan Turki.

Melihat kepada senario yang berlaku di Asia Barat, tidak mustahil Bashar boleh digulingkan seperti yang berlaku kepada pemimpin Mesir, Hosni Mubarak dan Libya, Muammar Gaddafi yang tewas di tangan kumpulan pemberontak yang menerima sokongan dari pihak Barat.

Sokongan yang diperoleh oleh kumpulan tentera terbabit semakin kuat di kalangan rakyat Syria yang antikerajaan, sekali gus boleh membawa kepada perang saudara yang berlarutan di Syria.

Jika perang saudara berlaku, yang rugi ialah rakyat Syria sendiri, seperti yang berlaku di Mesir dan Libya, pasca kejatuhan Mubarak dan kematian Gaddafi, keamanan dan kestabilan di negara itu masih belum dapat dikecapi ekoran pertelingkahan yang meletus antara beberapa kumpulan di negara itu.

Pastinya, Bashar tidak mahu menerima nasib yang sama seperti Gaddafi, menyebabkan beliau cuba mencari penyelesaian terbaik untuk mengadakan rundingan dengan pihak pembangkang walaupun setakat ini tiada keputusan positif dicapai.

Persoalannya, adakah tuntutan rakyat dapat dipenuhi sepenuhnya sekiranya Bashar digulingkan dan apakah keamanan akan dapat dikembalikan setelah beribu nyawa menjadi korban dalam perang saudara yang tercetus.

Jika berlaku, perang saudara di Syria juga boleh berlanjutan untuk masa yang lama berbanding di Libya kerana kumpulan pemberontak di Syria tidak menerima sokongan luar dan berdepan kekuatan tentera kerajaan yang besar bilangannya.

Angka korban akibat perang saudara di Syria juga mungkin jauh lebih tinggi berbanding di Libya kerana Bashar mampu mengerahkan semua kekuatan tenteranya termasuk kereta kebal, pesawat dan kapal perang untuk menghapuskan kumpulan pemberontak, sekali gus meletakkan nyawa penduduk awam menjadi mangsa perang.

Perang saudara mungkin sukar untuk dielakkan dengan kedegilan Bashar dan bilangan mereka yang menyertai kumpulan pemberontak yang semakin bertambah.

Pihak kerajaan dan pemberontak perlu menjadikan meja rundingan sebagai jalan penyelesaian terbaik untuk menamatkan krisis itu.

Setidak-tidaknya, bagi menyelamatkan lebih ramai nyawa tidak bersalah, Bashar wajar mencontohi langkah rakan sejawatnya di Yemen, Presiden Ali Abdullah Saleh yang melepaskan jawatan serta mengadakan pilihan raya Presiden supaya rakyat dapat memilih sendiri pemimpin mereka.

Penduduk Islam di seluruh dunia pastinya tidak mahu melihat bumi tersimpan dengan pelbagai sejarah perutusan para Nabi dan Rasul ini terus bergolak dan berharap konflik di Syria dapat ditamatkan secepat mungkin bagi mengelakkan lebih ramai yang menjadi korban.