INSIDEN kemalangan paling buruk pernah menggemparkan negara yang meragut 37 nyawa apabila bas terjunam ke dalam gaung di Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur lima tahun lalu. UTUSAN

Kemalangan di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur lima tahun lalu misalnya telah menggemparkan negara apabila ia meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas.

Insiden pada 21 Ogos, 2013 itu berlaku apabila bas ulang-alik yang dinaiki seramai 53 orang itu terjunam sejauh 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara.

Kemalangan buruk lain yang turut berlaku di kawasan sama ialah pada Julai 1996 apabila 17 orang termasuk enam kanak-kanak terbunuh selepas bas yang dinaiki mereka terhumban kira-kira 100 meter ke dalam gaung ketika pulang daripada menyertai hari keluarga di Genting Highlands.

Insiden ngeri pada 2013 itu telah mendorong kerajaan untuk menubuhkan Panel Penasihat Bebas (PPB) kepada Kementerian Pengangkutan tidak lama kemudian di mana saya telah dilantik menjadi pengerusi.

PPB yang saya pengerusikan itu telah menyenaraikan 20 cadangan yang merangkumi 51 syor penambahbaikan  untuk memastikan kemalangan serupa tidak berulang sekali gus meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.

Daripada keseluruhan 51 syor tersebut, 20 adalah berkaitan dengan faktor keselamatan kenderaan; faktor keselamatan jalan raya (16); faktor keselamatan operasi serta amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (8); faktor tindakan kecemasan dan menyelamat (4); dan faktor memperkasakan penglibatan orang awam terhadap keselamatan jalan raya (3).

Bagi memantau status pelaksanaan 51 syor penambahbaikan tersebut, Panel Kaji Semula Syor atau RRP telah ditubuhkan dan diperkasakan dengan penambahan ahli baru selain pelantikan semula semua ahli panel terdahulu.

RRP ini dipengerusikan bersama oleh saya sebagai pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Bagaimanapun, satu daripada 51 syor yang dicadangkan itu telah digugurkan kerana ia berkaitan dengan syarikat pengendali bas Genting Highland Transport (GHT) yang telahpun ditamatkan perkhidmatannya.

Hasil pemantauan RRP, sejumlah 27 syor telah dilaksanakan sepenuhnya manakala 19 lagi telah dilaksanakan sebahagian daripadanya manakala empat syor masih belum dilaksanakan.

Daripada syor yang belum dilaksanakan sepenuhnya, beberapa syor telah dikenal pasti oleh pihak RRP untuk diambil tindakan segera oleh agensi yang terlibat termasuk penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB).

Difahamkan, Kementerian Pengangkutan sedang merangka draf Rang Undang-undang MTSB untuk dibentangkan di Parlimen awal tahun hadapan dan disusuli dengan penubuhan MTSB pada tahun yang sama.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewajibkan penggunaan Child Restraint System (CRS) pada 2020, kempen kesedaran terhadap kepenti­ngannya juga perlu dipertingkat­kan mulai tahun hadapan.

Pihak RRP juga mahu kesemua pengusaha bas di laluan tanah tinggi dilengkapi  brake retarder yang mampu memper­lahankan serta bertindak sebagai sistem brek sokongan di waktu kecemasan.

Bagi pemasangan speed limiter yang telah diwajibkan pada 2015 untuk bas baharu, syarikat pengendali bas perlu memastikan ia dipasang dan berfungsi dengan baik manakala aspek penguatkuasaan pula dipertingkatkan .

Kesemua bas ekspres, henti-henti dan persiaran juga perlu dilengkapi dengan sistem pemantauan CCTV di dalam kabin. Ia bagi membantu proses pemantauan keselamatan dalam kenderaan secara berterusan serta membantu pihak penguatkuasa menjalankan tugas dengan lebih efektif.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).