Ibarat memasuki pusingan separuh akhir perlawanan bola sepak, sudah tentu pasukan yang layak mengambil bahagian semakin berkurangan. Begitu juga dengan jumlah pemain. Di peringkat separuh akhir dan seterusnya perlawanan akhir nanti, pemain semakin kurang tetapi jumlah penontonnya pula semakin meningkat. Stadium akan penuh sesak. Begitulah juga dengan pengisian bulan Ramadan ini di masjid dan surau. Di kebanyakan tempat, jumlah jemaah semakin berkurangan. Jika pada awal Ramadan, keadaan sesak di dalam dan luar masjid serta surau tetapi hari ini, keadaan sudah berubah. Kehadiran jemaah untuk me­nunaikan solat sunat tarawih dan witir pada malam-malam terakhir semakin susut. Dalam erti kata lain, ibarat pasukan yang mengambil bahagian, hanya di peringkat awal menampakkan penyertaan yang ramai tetapi apabila sampai ke peringkat final, hanya dua pasukan yang turun gelanggang. Diharapkan, kita meletakkan diri sebagai penonton yang akan tetap memenuhi stadium untuk perlawanan akhir nanti.

Cubalah menamatkan pusingan akhir Ramadan ini dengan terus mengimarahkan masjid dan surau seperti sebelum ini. Tidak dinafikan, ketika ini tempat yang sesak ialah pusat beli-belah dan kawasan yang dikhususkan untuk jualan sempena Hari Raya Aidilfitri. Orang ramai berpusu-pusu membuat persiapan hari raya hingga ke awal pagi. Contohnya KL Raya Fest 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang mengambil konsep jualan di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Bermula Sabtu lalu, festival ini menyediakan 500 gerai menjual pelbagai pakaian, aksesori, biskut raya dan barangan perhiasan rumah. Berakhir hari ini, festival selama 19 jam setiap hari itu bermula seawal pukul 10 pagi hingga 5 pagi. Khabarnya pada hari pertama sahaja, festival itu menerima keha­diran kira-kira 150,000 pengunjung. Begitulah kemeriahan menjelang hari raya ini. Keadaan yang sama juga dapat dilihat di pusat beli-belah sekitar ibu negara. Apakah kesimpulan yang boleh dibuat melihat kehadiran orang ramai membeli-belah itu? Lebih-lebih lagi kakitangan kerajaan yang sudah pun mendapat gaji untuk bulan Julai.

Dalam minggu ini juga, bermulalah ‘pesta’ balik kampung. Hari ini pun sudah ada yang bercuti untuk pulang ke kampung. Tradisi balik kampung tetap menjadi agenda utama walaupun kenaikan kos sara hidup me­nimbulkan keresahan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana. Seperti biasa, sejak awal Ramadan, ramai warga kota sudah berkira-kira mahu balik kampung untuk berhari raya bersama sanak saudara. Tidak kira soal perbelanjaan atau kesesakan di lebuh raya bertol, semua situasi itu ‘dirempuh’ juga, Biarlah terpaksa berbelanja lebih, asalkan matlamat bertemu keluarga tercapai. Dalam hal ini - balik kampung - berapa ramai yang menya­takan kesediaan untuk tidak pulang berhari raya di kampung walaupun sehari? Warga Indonesia di Malaysia berduyun-duyun pulang ke kampung sama ada menggunakan pesawat atau feri. Inikan pula rakyat Malaysia di Kuala Lumpur atau bandar-bandar utama lain. Di luar negara seperti di Indonesia dan Bangladesh, ada dalam kala­ngan warga mereka ‘bertarung nyawa’ untuk pulang ke kampung - bergayut di pintu kereta api atau duduk di atas bumbung dan memenuhi feri yang tidak pasti had muatan sebenarnya. Begitulah pesta balik kampung saban tahun.

Maknanya, biar apa pun ‘kesusahan’ yang dihadapi, balik kampung sudah menjadi tradisi warga kota dan satu kemestian. Adakah anda akan tergolong dalam golongan yang tidak balik kampung tahun ini walaupun bercuti? Adakah keputusan itu sebagai ‘protes’ kenaikan harga petrol, cukai barang dan perkhidmatan (GST) sekali gus akan membantu anda menjimatkan minyak, tol, perbelanjaan sampingan termasuk duit hari raya, sewa bilik hotel (bagi yang keluarga ramai). Anda setuju dengan cadangan itu? Mungkin bagi yang sudah tidak ada sesiapa di kampung terutama ibu bapa, boleh membuat keputusan drastik begini. Bagaimana pula yang masih ada ibu bapa dan orang yang masih disayangi di kampung? Ba­yangkan jika kita memberitahu ibu bapa di kampung, tahun ini tidak dapat pulang ke kampung disebabkan mahu menjimatkan belanja, bukannya kerana tidak dapat cuti. Agaknya apakah reaksi mereka? Mereka akan datang ke Kuala Lumpur untuk berhari raya bersama anda? Tentunya tidak. Lebih parah jika tiba-tiba ibu bapa bertanya: “Berapa belanja mi­nyak dan tol? Emak dan ayah akan masukkan duit dalam akaun kamu asalkan kamu pulang!’’ Tradisi balik kampung tidak mudah diubah ha­nya kerana untuk menjimatkan kos. Keluarga adalah segalanya. Kasih sayang tidak boleh ditukar dengan wang ringgit. Itu yang lebih penting. Mereka yang tidak balik kampung kemungkinan tidak ada kampung, tidak pernah kenal kampung kerana dilahir dan dibesarkan di kota.

Jangan pula ada yang akan berkata, kenaikan petrol, GST dan sebagainya tidak memberi kesan apabila lebuh raya sesak dengan kenderaan menjelang dan selepas hari raya, pesawat penuh, tiket bas ekspres habis walaupun kadar tambang naik dan kebanyakan tiket kereta api habis dijual. Menariknya kali ini, bagi mereka yang tinggal di utara berpeluang menikmati perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang mengambil masa yang kurang daripada lima jam bagi perjalanan Kuala Lumpur - Padang Besar. Sudah tentu perjalanan melalui ETS ini akan membantu mereka yang sudah serik dengan lebuh raya setiap kali musim perayaan. Khabarnya, sambutan terhadap ETS amat menggalakkan. Cuma di peringkat awal ini, hanya satu perjalanan pergi dan balik. Mungkin pada musim perayaan akan datang, perkhidmatan kereta api laju akan bertambah baik. Jelaslah, biar apa cara sekali pun, kampung tetap menjadi destinasi pada hari raya. Suka atau tidak, tradisi balik kampung tidak mampu disekat dengan kenaikan harga petrol, tol atau GST. Pusat beli-belah juga tidak ketinggalan mengimbau kenangan di kampung pada hari raya ini. Contohnya dekorasi di Mid Valley Megamall yang mencetuskan suasana di kampung. Dekorasi seumpama itu semakin menggamit warga kota untuk pulang ke kampung. Memang benar, di mana sahaja kita boleh berhari raya tetapi suasananya tidak sama. Balik kampung mungkin akan semakin pudar atau dilupakan selepas generasi akan datang tidak didedahkan lagi dengan saudara mara mereka di kampung. Dalam erti kata lain, mereka tidak pernah menjejakkan kaki di kampung selepas kelahiran di kota apatah lagi di kampung tidak ada sesiapa. Tidak ada lagi atuk, tokwan, nenek, opah, pak long/mak long, pak lang/mak lang, pak ngah/mak ngah, pak su/mak su, pak cik/mak cik dan sebagainya.

Akhirnya, satu pesanan, dalam keghairahan untuk pulang berhari raya di kampung, eloklah beringat semasa berbelanja lebih-lebih lagi bagi kakitangan awam yang sudah mendapat gaji bulan Julai lebih awal. Ini bermakna gaji berikutnya adalah pada 25 Ogos. Berjimatlah. Bagi yang memandu untuk pulang berhari raya, berhati-hatilah. Atur perjalanan sebaik mungkin. Menyelak semula perjalanan tahun lalu, sudah tentu ramai yang me­nempuh pengalaman pahit semasa pulang berhari raya dan sebaliknya. Perjalanan Kuala Lumpur ke Kota Bharu mengambil masa 16 jam dan Kuala Lumpur ke Alor Setar 11 jam. Bagaimana pula pada tahun ini? Kenderaan semakin bertambah, lebuh raya dan jalan raya semakin ‘sempit’. Semoga perjalanan kali ini lebih mudah dan selamat sampai ke destinasi. Diharapkan juga Ramadan ini memberi seribu satu pengajaran kepada kita. Teruskan amalan baik yang kita lakukan sepanjang Ramadan ini. Kekalkan semangat solat berjemaah, melakukan kebajikan dan membaca al-Quran. Semoga bertemu lagi pada Ramadan akan datang. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir batin.