Sememangnya menyembelih binatang korban adalah ibadat yang menjadi keutamaan menjelang Hari Raya Haji. Tujuannya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dalil syariatnya sabit dengan al-Quran dalam surah al-Kauthar ayat 2 dan surah al-Hajj ayat 36. Adapun ­hukum melakukan ibadat korban adalah sunat yang sa­ngat dituntut (sunat muakkadah).

Syarat-syarat individu melakukan ibadah korban adalah seperti berikut:

(a) Seorang Islam yang masih hidup. Tidak boleh ­melakukan untuk si mati jika dia tidak meninggalkan wasiat.

(b) Seorang yang merdeka. Tidak dituntut ke atas hamba.

(c) Mencapai umur baligh dan berakal.

(d) Bermukim iaitu menetap di sesuatu kawasan.

(e) Mampu melaksanakan iaitu mereka yang mempunyai wang untuk berbelanja mendapatkan ternakan korban, yang melebihi keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya untuk hari raya dan hari-hari tasyrik.

Melihat kepada syarat-syarat tersebut, maka korban yang dilakukan atas nama syarikat atau NGO adalah tidak sah. Tidak sah bukan bermaksud haram dimakan. Cuma sembelihan itu tidak termasuk dalam ibadat korban ke­rana dilakukan bukan atas nama orang yang masih hidup.

Bagaimanapun, ada jalan keluar daripada masalah ini. Caranya, majikan atau NGO berkenaan hendaklah menamakan atau menghadiahkan bahagian korban tersebut kepada individu atau staf mereka. Paling baik, majikan itu mencari staf mereka yang kurang berkemampuan untuk dihadiahkan bahagian korban itu. Dengan demikian, bukan sahaja korban itu sah, bahkan menggembirakan staf berkenaan.

Dalam masa sama, kaedah ini juga boleh dijadikan satu bentuk ganjaran. Jika selama ini ada syarikat yang menaja program umrah untuk staf yang cemerlang, mengapa tidak mereka turut menaja ibadat korban untuk menghargai sumbangan staf masing-masing. Bukan sahaja kosnya jauh lebih murah tetapi memberi peluang mereka yang tidak berkemampuan melaksanakan ibadat yang sangat dituntut itu.

Adapun berkorban bagi pihak si mati, ia menjadi khilaf dalam kalangan ulama berdasarkan khilaf mereka tentang amalan si hidup adakah memberi manfaat kepada si mati. Pandangan yang paling tepat dalam mazhab Syafie adalah tidak harus dilakukan melainkan dengan wasiat si mati. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila matinya anak Adam terputuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu dari sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya”. (Riwayat Muslim)

Namun begitu, ia bukanlah jalan mati kepada seseorang anak yang ingin menyembelih korban bagi ibu bapanya yang sudah meninggal dunia. Mereka boleh melakukan korban atas nama sendiri dan berniat menyedekahkan pahala korban tersebut kepada orang tua. Para ulama sepakat bahawa sedekah seseorang kepada orang yang telah me­ninggal dunia akan sampai kepadanya.

Adapun perselisihan ulama adalah dalam bab ibadah badaniyah seperti solat, puasa, membaca al-Quran sama ada ia sampai kepada si mati atau tidak. Ini berdasarkan adanya riwayat Aisyah r.ha daripada Nabi SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang meninggal dan masih memiliki kewajipan puasa, maka hendaklah walinya berpuasa untuknya”. (Majmu’ Fatawa juz V hal 466, Maktabah Syamilah)

Apa pun yang lebih utama bukanlah banyak atau sedikit ternakan yang dikorbankan. Sebaliknya, niat suci dan benar-benar ikhlas melakukan ibadah kerana Allah SWT yang bakal diterima sebagai ibadah yang sempurna dan beroleh ganjaran takwa. (rujuk surah al-Hajj: 37)

Hayatilah sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada amalan yang paling disukai Allah pada hari raya korban melebihi daripada menyembelih korban. Binatang korban akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, kuku-kukunya dan bulu-bulunya”. (Sunan at-Tirmizi)