Namun itu bukan bermaksud perhimpunan tersebut tidak akan mendapat perhatian arena politik tanah air dan rakyat sebaliknya pasti lebih menarik perhatian berbanding perhimpunan-perhimpunan sebelum ini.

Dalam tempoh seminggu ini, penulis membaca dan meneliti banyak tulisan, komen dan pendapat mengenai UMNO. Pelbagai pandangan dilontarkan khususnya keupayaan UMNO untuk bangkit semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Ada yang mengatakan orang Melayu sememangnya sudah lama bangkit apabila menolak kerajaan BN pada PRU-14 lalu dan ada pula mengatakan perjuangan UMNO yang berteraskan orang Melayu dan Islam sudah tidak relevan.

Pada masa sama, ada yang melihat, biarpun sudah empat bulan kehilangan kuasa memerintah UMNO masih belum hilang kebah dan teraba-raba untuk memposisikan kedudukan mereka di blok pembangkang. Malah ada yang mentafsirkan tindakan UMNO be­kerjasama dengan Pas disebabkan UMNO berasa sudah tiada kekuatan lagi untuk terus berjuang apabila BN sendiri disifatkan sebagai dalam keadaan porak peranda.

Itulah antara pandangan dan kritikan oleh pelbagai pihak sama ada melalui kenyataan media mahupun laman-laman sosial, tetapi soalnya bagaimanakah dengan pemimpin dan ahli UMNO sendiri? Apakah benar mereka ‘belum kebah’ daripada ‘pukulan’ akibat kekalahan dalam PRU lalu? Apakah betul demi untuk berkuasa semula perjuangan untuk orang Melayu dan Islam perlu ditinggalkan? Dan adakah mereka bersetuju kerjasama dengan Pas menunjukkan UMNO sudah lemah?

Memang benar UMNO tidak lagi berkuasa di peringkat pusat. Memang betul UMNO hanya bertahan di dua negeri sahaja iaitu Perlis dan Pahang tetapi UMNO adalah parti pembangkang pa­ling kuat di Dewan Rakyat. Dan fakta paling penting yang perlu difahami ialah lebih 40 peratus pengundi Melayu masih bersama UMNO manakala selebihnya masing-masing 30 peratus bersama Pas dan Pakatan Harapan. Dan statistik juga menunjukkan UMNO dan BN kehilangan kuasa disebabkan 79 peratus pengundi Cina dan 89 peratus pengundi India menyokong Pakatan Harapan.

Ini jelas membuktikan UMNO dan Pas masih mendapat sokongan sebahagian besar orang Melayu. Tetapi itu statistik PRU-14, soalnya adakah UMNO mahu mempertahankan sokongan setakat itu sahaja atau bangkit untuk menarik kembali sokongan orang Melayu yang meninggalkan parti tersebut?

Perlu diingat yang tidak menyokong UMNO atau lebih tepat lagi tidak mengundi UMNO ketika itu bukan orang atas pagar sahaja tetapi juga ada dalam kalangan mereka yang terdiri daripada ahli dan penyokong UMNO. Mereka bertindak demikian kerana bosan dengan pelbagai isu yang melumuri UMNO dan BN ketika itu.

Biarpun pahit mahu ditelan, tetapi fakta tetap fakta. UMNO perlu meninggalkan segala sikap buruk yang terpalit di tubuh parti itu sehingga mereka ditolak dalam PRU lalu. Tiada gunanya kita menyalahkan Pakatan Harapan yang berjaya mewujudkan persepsi dan mempengaruhi rakyat melalui kebijaksanaan memanipulasikan sesuatu isu. Yang salah tetap UMNO kerana gagal menangani situasi ketika itu, Pakatan Harapan hanya mengambil kesempatan. Itulah politik.

Namun ia boleh menjadi sejarah dan pengajaran cukup bermakna jika UMNO mahu bangkit semula. Semua yang terjadi perlu dianalisis dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan bagi menarik semula sokongan orang Melayu yang hilang.

Atas sebab itulah, biarpun perhimpunan hanya akan berlangsung kira-kira tiga minggu lagi, seharusnya dari sekarang, setiap UMNO bahagian perlu mengadakan brainstorming sesama mereka untuk memutuskan apa yang mahu diketengahkan dalam perhimpunan tersebut.

Perhimpunan ini adalah medan terbaik untuk UMNO memberi gambaran kepada rakyat khususnya orang Melayu bahawa parti itu sudah berubah, insaf dan berupaya bangkit semula. Oleh itu jadikanlah perhimpunan tersebut medan untuk bermuhasabah dan memperbaiki segala kepincangan tetapi bukan melalui maki hamun atau mahu menjatuhkan maruah sesiapa terutamanya pemimpin kanan.

Yang sudah, sudahlah. Perhimpunan UMNO bukan medan untuk melepaskan kemarahan kerana parti kalah dalam pilihan raya atau dijadikan gelanggang mempertikaikan calon yang menewaskan calon pilihan kita dalam pemilihan parti.

Orang Melayu mahu melihat UMNO membentangkan agenda bagi memperbaiki segala kelemahan manakala orang bukan Melayu ingin menyaksikan sejauh mana UMNO merangka strategi untuk memperkukuhkan kembali BN.

Sememangnya apa yang mahu dilakukan oleh UMNO ketika perhimpunan kali ini penting kerana ia akan memberikan isyarat bahawa UMNO mampu bangkit semula dalam PRU-15. Kalah kali pertama bukannya bermaksud dunia sudah berakhir apatah lagi dalam dunia politik.

UMNO belum mati, UMNO belum berkubur, UMNO hanya kalah dalam pilihan raya yang diadakan lima tahun sekali. Rakyat sudah membuktikan mereka mempunyai ‘kuasa keramat’ menentukan siapa yang mereka mahu menjadi kerajaan. Oleh itu tidak mustahil mereka boleh kembali semula kepada UMNO dan BN.

Pedulikan suara-suara sumbang yang terus memperlekeh UMNO. Jadikan ia azimat pencetus semangat dan bukan dilihat sebagai penyebab hilang semangat kerana UMNO perlu dibuktikan masih ada ‘keramat’.