Di antara dalil yang membolehkan seseorang itu solat dalam keadaan duduk sekiranya tidak mampu solat secara berdiri adalah sebuah riwayat daripada ‘Imran bin Husin r.a yang mengadu kepada Rasulullah bahawa dirinya mengalami penyakit buasir. Maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung (mengiring). (Riwayat al-Bukhari)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam mensyarahkan hadis ini berkata ia menunjukkan bahawa tidak boleh orang yang sakit itu berpindah kepada duduk (ketika solat) me­lainkan apabila dia tidak mampu berdiri.

Menurut kitab-kitab fiqh ulama terdahulu, terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu solat secara duduk, antaranya:

* Tidak mampu berdiri.

* Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.

* Seseorang yang berada di atas kapal, sampan ataupun perahu, yang takut akan tenggelam jika dia solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.

* Orang yang pening kepala atau sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.

* Solat di atas kapal terbang jika dikhuatiri jatuh apabila dikerjakan secara berdiri atau solat dalam kereta api seperti perkhidmatan keretapi berelektrik (ETS) dan seumpamanya.

* Orang yang mengalami penyakit salis al-baul, yang mana jika dia berdiri akan menyebabkan air kencingnya mengalir.

Namun demikian, orang yang mampu solat fardu berdiri hendaklah memulakan solat dalam keadaan berdiri ia­itu untuk takbiratul ihram dan membaca al-fatihah setakat kemampuannya. Jika sampai pada ayat ketiga al-fatihah, dia berasa tidak mampu lagi berdiri barulah boleh solat duduk. Itu pun keutamaan adalah solat duduk di lantai bukannya terus duduk di kerusi.

Ringkasnya, seseorang itu tidak boleh berterusan solat duduk (jika mampu berdiri). Jika kita mula solat dalam keadaan duduk, tetapi berasa mampu setelah itu (ketika masih di dalam solat), hendaklah kembali solat berdiri dan tidak boleh berterusan solat duduk.

Pesakit yang solat duduk dan mampu berdiri untuk rukuk seperti biasa hendaklah berdiri (untuk iktidal) sebelum rukuk.

Begitu juga jika seseorang itu yang solat secara duduk tetapi ketika membaca al-fatihah dia merasa mampu berdiri maka hendaklah dia bangun berdiri untuk menghabiskan bacaannya. Ini kerana kepayahan yang menghalangnya untuk berdiri sudah tidak ada lagi.

Imam Nawawi rahimahullah berkata: “Dan jikalau lemah seseorang itu (yakni musalli) daripada berdiri, maka (bolehlah) dia duduk seperti mana yang dia ingini.” Maksudnya, seseorang yang solat duduk dalam apa kaedah duduk pun maka solatnya sah. Yang berbeza hanyalah dari segi afdaliyyah (kelebihan). Berkata Imam al-Nawawi lagi: “Dan duduk secara iftirasy itu lebih afdal berban­ding duduk bersila menurut pendapat yang azhar dan dimakruhkan duduk al-Iq’a. (Rujuk Minhaj al-Thalibin, Imam al-Nawawi, hlm. 45).

Berdasarkan kepada kata-kata al-Nawawi di atas, apabila dikatakan yang seseorang itu boleh solat duduk dalam apa keadaan sekalipun maka ini termasuklah solat duduk di atas kerusi bagi yang mempunyai keuzuran. Solatnya dikira sebagai sah dan tidak batal.

Di dalam mazhab Imam al-Syafie, seseorang yang solat secara berdiri tetapi bersandar atau bergantung pada sesuatu seperti dinding, manusia atau tongkat, maka solatnya sah tetapi hukumnya makruh.

Ini jika tiada keuzuran yang membolehkan bersandar. Jika terdapat keuzuran maka tidak ada hukum makruh. (al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie), al-Zuhaili (1/243). Bagi yang solat di atas kerusi dicadangkan mengambil tempat di hujung saf dan bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah. Barulah tidak mengganggu jemaah lain.