Sebelumnya, naluri keinsanan kita tercabar oleh keganasan yang diperbaharui atas etnik Muslim Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar sejak 25 Ogos lepas. Lebih 10,000 nyawa terkorban. Lebih 400,000 pula menjadi pelarian dan keselamatan nyawa mereka juga tidak terjamin.

Telah banyak diperkatakan ten­­tang kedua-duanya dalam se­genap wahana dan wacana. Demikian juga banyaknya penga­jaran yang diperoleh terutama tragedi kebakaran yang melibatkan pusat tahfiz berkenaan.

Antara pengajaran terpen­ting adalah tanggungjawab besar mempertahankan kemuliaan nyawa. Al-Quran menegaskan ba­­hawa sesiapa yang membunuh seseorang tanpa alasan yang benar atau melakukan kerosakan, ia se­olah-olah membunuh seluruh manusia.

Sebaliknya, bagi individu yang berusaha memelihara keselamatan hidup seseorang, ia dianggap seperti memelihara keselamatan nyawa semua manusia. Oleh sebab keselamatan nyawa begitu dipentingkan, maka syarak me­netapkan hukuman berat bagi perbuatan mencederakan apatah lagi membunuh.

Dalam kes pembunuhan seca­ra sengaja, seandainya keluarga mangsa memberikan kemaafan dan hukuman qisas tidak dilaksanakan, keluarga tersebut berhak menerima diyat daripada keluarga (‘aqilah) penjenayah.

Diyat adalah sejumlah wang yang dibayar kepada mangsa atau warisnya disebabkan jenayah yang dilakukan terhadap diri atau nya­wa. Kadar diyat (ganti rugi) ialah 100 ekor unta bagi mangsa lelaki dan 50 ekor unta bagi wanita.

Jika emas atau perak digunakan, nilainya menyamai 1,000 dinar atau 12,000 dirham. Nilai dinar atau dirham ini seterusnya boleh ditentukan berasaskan nilai emas atau perak semasa. Ganti rugi ini amat bermakna terutama bagi keluarga yang kehilangan anggota yang menyara kehidupan mereka.

Oleh sebab kepentingan nyawa sedemikian besar, maka beratlah juga tanggungjawab mempertahankan kelangsungannya. Lantas pihak-pihak yang bertanggungjawab secara langsung dalam perkara berkenaan perlu memberikan sepenuh komitmen bagi me­laksanakan amanah yang dipikul.

Dalam hubungan ini, persediaan terperinci perlulah dirangka bagi memastikan keselamatan nyawa sentiasa terjamin terutama dalam situasi kritikal seperti perbuatan khianat atau kemalangan.

Semuanya ini berkaitan persoalan urus tadbir yang bukan sahaja terhad pada institusi pendidikan agama tetapi juga institusi-institusi lain termasuk rawatan dan perubatan iaitu hospital.

Data Pusat Maklumat dan Perpustakaan Berita Bernama (BLIS) misalnya menunjukkan tujuh kebakaran besar melibatkan hospital sejak 1993. Ada antaranya mengakibatkan korban jiwa, sebagaimana yang berlaku tahun lalu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Pengajaran seterusnya adalah berkaitan polemik salah menyalah yang lazimnya timbul apabila sesuatu kemalangan besar berlaku, termasuk susulan tragedi pada 14 September lalu.

Hakikatnya, perbuatan me­nyalahkan orang lain sememang­nya jauh lebih mudah daripada me­ngambil tanggungjawab, me­ngakui kesilapan dan bersedia melakukan penambahbaikan. Ki­ta benar-benar berharap agar pan­dangan bernas pelbagai pihak diambil perhatian Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.

Pengajaran selanjutnya yang cukup mengesankan jiwa adalah pelaku dan motif pembakaran pusat tahfiz tersebut. Dalam tempoh dua hari selepas kejadian, negara sekali lagi digemparkan dengan penglibatan sekumpulan tujuh remaja berusia antara 11 hingga 18 tahun yang keciciran sekolah dalam tragedi tragis itu.

Lebih mengejutkan, enam daripada mereka didapati positif ganja dan dua orang memiliki rekod jenayah lampau. Apa pun juga bentuk tindak balas kita adalah terkejut, sedih, marah atau kecewa namun yang pasti segala-galanya perlu diserahkan kepada pihak berkuasa.

Justeru, undang-undang sedia ada perlu dipatuhi sepenuhnya. Namun jelas penyebaran maklumat siasatan dan identiti terma­suk gambar suspek terus berlaku sebagaimana sebelumnya iaitu yang membabitkan gambar-gambar mangsa kebakaran.

Sama ada sedar atau tidak, perbuatan menyebarkan maklumat suspek jelas bertentangan Akta Kanak-Kanak 2001. Pelakunya boleh didakwa dan didenda. Akta Kanak-Kanak 2001 diluluskan untuk memelihara kepentingan kanak-kanak termasuk yang me­lakukan jenayah atau salah laku iaitu untuk menjalani proses pemulihan.

Tragedi yang menyedihkan ini sekali lagi menyedarkan kita bahawa permasalahan akhlak remaja tidak ubah seperti bom jangka. Sebaik sahaja tiba masanya, letupannya bukan sahaja mengakibatkan kejutan tidak terkawal malah kemusnahannya di luar jangkauan fikiran. Demikianlah yang dikatakan orang cerdik pandai - betapa orang kecil, tidak seharusnya di­perkecil kesan perbuatannya.

Penglibatan tujuh remaja ber­kenaan dalam tragedi kebakaran itu turut menimbulkan persoalan tentang peranan keluarga. Sebagaimana dinyatakan dalam mukadimah Akta Kanak-Kanak 2001, keluarga berperanan menyediakan suasana semula jadi bagi pembesaran dan kebajikan, khususnya kanak-kanak.

Dengan mengambil kira ke­ti­dakupayaan sesetengah keluar­ga menunaikan tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka, maka sewajarnyalah anggota ma­syarakat duduk semeja dan mencari penyelesaian bagi permasalahan yang berat ini.

Bantuan yang dihulurkan se­kali gus menyempurnakan hak sebagai saudara seagama, - “Orang Islam adalah saudara kepada Muslim yang lain, ia tidak boleh menzalimi atau menyerahkannya kepada orang yang zalim”. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, nescaya Allah memenuhi hajatnya. Sesiapa yang membantu melepaskan satu bentuk kesulitan daripada seorang Muslim, Allah akan melepaskan salah satu kesulitan pada hari kiamat...” (Muttafaq ‘Alaih)

PENULIS ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).