Ini berkait rapat dengan latar belakang Syahril sebagai bekas wartawan yang mengutamakan pemeriksaan bersilang dan ketelitian jitu dalam membuat laporan. Ini elemen yang tidak wujud pada spesies ‘wartawan jadian’ yang berkiblatkan sensasi tanpa mempedulikan kemungkinan buruk baik akibatnya.

Topik-topik yang dipilihnya adalah kontemporari dan berani, serta paling penting, ia dilengkapi fakta dan hujah yang berdasarkan kajian, siasatan dan dokumen. Elemen ini dihargai para pembaca. Pantas dapat dibezakan Syahril dengan penulis lain yang lebih bersifat keyboard warrior atau cut & paste semata-mata.

Apatah lagi asal-usul Syahril sendiri cukup mantap. Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan pada tahun 2000. Pernah bertugas di Utusan Malaysia (jawatan terakhir Penolong Ketua Meja Jenayah); Ketua Bahagian Kandungan dan Editorial (syarikat produksi kerjasama dengan Astro); Ketua Meja Jenayah dan Laporan Khas (Sinar Harian); Editor Bilik Berita TV Al- Hijrah dan Penolong Ketua Pengarang (sebuah portal berita).

Paling luar biasa, beliau menjadi Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abd Karim, sebelum kembali menjadi konsultan bebas media serta penulis sepenuh masa sehingga sekarang.

Bab ini ketika diajukan soalan, Syahril memberitahu beliau menerima jawatan tersebut setelah ditawarkan. Lebih kepada ingin menambah pengetahuan dan pengalaman bertugas dengan anggota Jemaah Menteri.

Paling penting ingin belajar budaya dan cara kerja sektor pentadbiran awam setelah sekian lama berada di sektor swasta.

Pada masa yang sama ingin melihat sejauh mana pengalaman yang ada dapat digunakan untuk membantu Datuk Seri Rohani dalam menjalankan tugasan baik sebagai seorang menteri dan juga sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar di Sarawak.

Dan kenapa berhenti? Ketika itu, beliau merasakan sudah tiba masanya untuk mencabar diri sendiri dengan cuba berdikari tanpa begitu bergantung kepada gaji yang dapat pada setiap hujung bulan. Kebetulan minat untuk menulis buku dan bergiat aktif dalam kerja-kerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kerja-kerja kemasyarakatan semakin bercambah.

Syahril, 41, dilahirkan di Sandakan, Sabah tetapi dibesarkan di Pulau Pinang, Kerteh (Terengganu) dan Kuala Lumpur. Ini kerana arwah bapanya yang berasal dari Rembau, pernah bertugas sebagai Pegawai Waran 2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Petronas, manakala emak beliau pula berasal dari Tanjong Tokong, Pulau Pinang. Syahril adalah anak bongsu daripada 10 adik-beradik.

Setelah berusaha selama sebulan, Merrepak berjaya mengadakan sidang randau eksklusif dengan Syahril (walhal semasa bertugas bersama di Utusan Malaysia, sesi seumpamanya kami istilahkan ‘sidang lepak dan berasap’).

Sesuai dengan tema Merrepak, saya lontarkan soalan separa serius kepadanya:

Sebagai bekas wartawan dan kini penulis yang menggunakan Facebook sebagai wadah, bagaimana anda gambarkan fungsi diri anda?

Saya menganggap platform di media sosial sebagai kaedah terbaik untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan selama menjadi wartawan. Terlalu banyak persepsi negatif terhadap dunia kewartawanan dan saya rasa saya bertanggungjawab untuk membetulkan persepsi dan tuduhan liar terhadap profesion ini - dengan menggunakan kaedah yang santai dan bersahaja!

Ia ibarat serampang dua mata. Menyalurkan maklumat pada masa yang sama mendidik masyarakat supaya memahami tanggungjawab besar yang dipikul oleh pihak media khususnya bila berhadapan dengan cabaran ‘wartawan segera' yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan di medsos (media sosial).

Apakah lazimnya tumpuan penceritaan anda, yang diperhatikan berdiri antara garisan sensasi dengan realiti.

Memandangkan saya bekas wartawan jenayah, saya banyak menulis kisah jenayah berprofil tinggi yang saya terlibat secara langsung dalam melaporkannya. Saya gemar bercerita kisah ‘di sebalik tabir’ mengenai sesuatu kejadian itu yang tidak dilaporkan dalam artikel atas sebab-sebab tertentu. Ternyata pembaca sukakan kisah-kisah sebegini kerana secara tidak langsung ia memberi ‘persepsi baru' tentang kes-kes yang berlaku sekali gus menjawab segala hearsay yang sering berlegar-legar dalam masyarakat.

Ramai hairan bagaimana anda boleh dekat dengan ramai tokoh di negara ini. Apakah itu memang sifat semula jadi anda untuk berkomunikasi dengan mereka. Apa petua yang anda gunakan?

Pertama, saya suka mengamalkan sikap 'hasnudzon' atau berbaik sangka. Kedua saya lebih berminat untuk menulis berita yang berimbang, tidak mengambil cerita di sebelah pihak sahaja. Lama-kelamaan 'hormat’ dan 'kepercayaan’ itu datang dengan sendirinya.

Saya juga tidak mengamalkan kaedah touch n go, atau istilahnya hanya menghubungi mereka pada waktu saya mahu dapatkan cerita daripada mereka semata-mata. Acapkali saya berhubung dengan mereka, bertanya khabar, minum-minum bila ada kelapangan TANPA LANGSUNG melibatkan soal kerja.

Dan saya rasa ‘kunci’ kepada soalan itu adalah kesudian saya untuk menjadi ‘pendengar setia’ daripada mengambil kesempatan untuk mengorek maklumat bagi dijadikan bahan berita. Paling penting KERAHSIAAN. Saya cukup jaga tentang itu. Mungkin inilah jawapan paling tepat pada soalan tersebut. Wallahualam.

Dalam keriuhan dan meluasnya berita-berita palsu di media sosial hari ini, pada pandangan anda, apakah cara terbaik untuk netizen lakukan bagi membuat pengesahan? Misalnya, meneliti latar belakang penulis seperti anda?

Ia sesuatu yang subjektif. Lain orang lain cara. Kebanyakan netizen hanya mahu berita yang cepat dan pantas. Soal verify sudah tiada dalam kamus mereka. Bagi saya kepantasan untuk MENJAWAB BALIK segala isu yang timbul itu lebih penting daripada mengharapkan hanya netizen sahaja untuk mengubah corak pola dan pemikiran mereka. It takes two to tango!

Dalam anda berkarya, sebenarnya bila masa yang dikatakan cuti rehat dengan bekerja?

Bagi saya penulisan adalah darah daging saya. Tidak ada had tertentu. Selagi ada info, ada idea, saya kena tunaikan ‘tanggungjawab itu’.

Apakah anda berasa telah membuka satu segmen baharu dalam dunia penulisan negara ini, yang tidak terikat dengan mana-mana organisasi media?

Tidak. Dah ramai buat macam mana yang saya buat.