Ini antara kenyataan beliau yang masih segar dalam minda kebanyakan daripada kita. Sehingga ramai menanti siapa yang bakal ditahan, disiasat atau didakwa seterusnya - pada hari esok, minggu depan atau bulan depan.

Perkembangan itu telah mewujudkan suatu perasaan gerun dalam kalangan rakyat khususnya mereka yang terlibat dalam jenayah rasuah. Mereka mula bertanya diri mereka - apakah giliran mereka dicekup SPRM selepas ini?

Menurut Dzulkifli, SPRM ada senarai kes penyelewe­ngan kuasa dan rasuah yang akan disiasat atau dituduh di mahkamah setiap minggu. Beliau berkata, mereka ber­kenaan hanya menunggu masa untuk diambil tindakan.

Terbukti beliau serius dengan apa yang dikatakan dan dijanjikan. Malah menurut Dzulkifli: “Setakat ini saya belum putus asa atau gagal melaksanakan janji saya itu. Kalau dilihat kepada perkembangan semasa sekarang ini, bukan satu kes seminggu tetapi dua, tiga kes kita siasat dan buat pertuduhan di mahkamah.”

Dalam satu rencana yang disiarkan Utusan Malaysia dua tahun lalu, saya telah melahirkan harapan agar rasuah diperangi habis-habisan. Apa yang diharapkan itu, saya melihat sudah menjadi kenyataan dengan ke­pimpinan yang diperlihatkan oleh Dzulkifli selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM. Liputan media sejak September lalu menunjukkan pendekatan yang diambil beliau sungguh berkesan.

Ini yang rakyat mahu. Jangan berlembut dengan mereka yang merosakkan negara.

Mengambil kira perkembangan mutakhir, selaku ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), saya yakin SPRM akan bertindak without fear or favour demi me­merangi penjenayah rasuah. JKMR mengulangi akan sentiasa menyokong apa jua tindakan yang diambil oleh SPRM berlandaskan peraturan dan undang-undang negara.

Dalam kenyataan pertama, Dzulkifli berharap semua pihak dapat memberi kerjasama dan sokongan dalam membanteras rasuah.

Beliau berkata, pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ­merupakan peluang baginya untuk meneruskan khidmat dan berbakti kepada negara.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, dan melaksanakan usaha pencegahan rasuah di Malaysia secara amanah, tegas dan adil.

“Saya turut sedar akan cabaran getir dan harapan tinggi yang diletakkan kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di awal pelantikan beliau.

Semua sedia maklum SPRM dipantau oleh lima badan bebas.

Kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini diteruskan oleh Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri telah mengambil langkah membina dengan mewujudkan SPRM. Usaha itu menjadikan SPRM sebuah badan bebas, selain diperkasakan dengan menyediakan Akta SPRM 2009.

Sejak penubuhannya pada 2009, SPRM dengan dipantau kelima-lima badan bebas, melaksanakan fungsi sebagai agensi utama membanteras rasuah di Malaysia.

SPRM sebagai entiti baharu pencegahan rasuah yang bebas telah mengambil langkah berani ‘membenarkan’ lima badan pengawasan bebas memantau dan menasihatkannya. Selain JKMR, empat badan yang lain adalah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

Kita juga tahu bahawa kewujudan dan fungsi panel bebas juga telah diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa se­perti Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Awal minggu lalu, Dzulkifli sambil bergurau menegaskan pada bulan-bulan mendatang keadaan bakal menjadi lebih ‘panas’. “Kita akan ambil tindakan ke atas peng­khianat,” ujar beliau.

Dipetik Dzulkifli berkata, semasa Ramadan lalu SPRM kelihatan kurang menonjol manakala selepas bulan puasa berakhir orang ramai banyak mengadakan majlis hari raya. “Makan lemang banyak, jadi slow sedikit,” katanya.

Namun kata Dzulkifli keadaan mula panas sedikit demi sedikit, seperti tindakan SPRM membuka semula kes membabitkan Felda sebelum ini. “Insya-Allah pada Ogos dan September ini keadaan akan jadi lebih panas,” katanya.

JKMR mengucapkan tahniah dan syabas kepada Dzulkifli atas rekod dan pencapaian SPRM sejak beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Kepimpinan beliau telah melahirkan sebuah suruhanjaya membasmi rasuah yang disegani pada hari ini.

Sepanjang tempoh satu tahun yang lalu beliau telah mempamerkan rekod karisma kepimpinan yang sungguh cemerlang dalam membanteras jenayah rasuah di Malaysia. Beliau telah mengotakan apa yang dijanjikan kepada rakyat semasa mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya pada Ogos 2016, bahawa rasuah akan diperangi habis-habisan.

Bukan sahaja ia dibuktikan menerusi pendekatan siasatan dan pendakwaan, tetapi juga pencegahan di mana beliau memperkenalkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Meskipun masih ada pihak yang sangsi dengan SPRM, JKMR menghargai kesungguhan dan iltizam beliau yang mahu menaikkan imej negara dengan membasmi rasuah habis-habisan. Saya yakin dengan kata-kata beliau yang mahu membanteras rasuah di kalangan anggota perkhidmatan dalam tempoh tiga tahun.

Saya yakin JKMR, sebagai salah satu badan pengawasan perjalanan SPRM, akan terus memberi sokongan padu kepada SPRM dan Dzulkifli selaku Ketua Pesuruhjaya.

Syabas SPRM. Jadikan SPRM lebih digeruni.

DATUK SERI DR. IRMOHIZAM IBRAHIM ialah Ahli Jawatankuasa Parlimen Menangani Rasuah (JKMR), SPRM merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor.