Beliau menegaskan, semua transaksi mengenai tanah Persekutuan sepanjang 20 tahun lalu akan diaudit sepenuhnya. “Kita mahu tahu kenapa, kepada siapa dan harga yang dibayar apabila tanah itu diberi kepada pihak lain,” tegasnya.

Selain itu, kementeriannya juga sedang meneliti kandungan semua kontrak yang telah ditandatangani. Satu badan petugas ditubuh untuk maksud itu dan jika timbul apa-apa perkara yang dicurigai atau menimbulkan masalah, satu laporan akan diserahkan kepada jemaah menteri, katanya lagi.

Sementara itu, arahan telah pun dikeluarkan untuk menghentikan semua proses pemberian tanah kepada pihak-pihak lain, kecuali ada arahan berbuat demikian dikeluarkan oleh kerajaan.

Sekiranya pemberian tanah itu perlu dilakukan (sama ada dalam bentuk pindah milik atau pajakan), ia hendaklah berasaskan harga pasaran.

Penilaian akan dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Penilaian Harta (JPPH), bagi memastikan kepentingan awam sentiasa dipelihara dan aset kerajaan diagihkan kepada rakyat secara betul.

Xavier juga menyatakan, kementeriannya sedang meneliti potensi menghidupkan semula industri perlombongan bijih timah di negara ini.

Malaysia pada suatu ketika dahulu merupakan negara pengeluar bijih timah terbesar di dunia.

Walau bagaimanapun, industri itu dihentikan 35 tahun lalu apabila penurunan harga bijih timah di pasaran dunia tidak lagi menjadikannya satu industri yang menguntungkan negara.

Kini harga bijih timah kembali pulih dan kerajaan mahu menggalakkan pihak-pihak yang berminat menghidupkan semula industri ini.

Harga produk itu kini di sekitar AS$20,000 (RM82,650) satu tan. Lokasi deposit bijih tanah di seluruh negara telah pun dikenal pasti dan ditunjukkan dalam satu peta yang disediakan oleh Pejabat Tanah dan Galian.

AIR, GALIAN BAWAH TANAH

Selain mengenal pasti lokasi serta jenis-jenis galian bawah tanah, kementeriannya juga mengambil beberapa inisiatif baharu termasuk mengenal pasti (membuat pemetaan) lokasi air bawah tanah dan mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) untuk menyelesaikan masalah kebakaran hutan dan tanah gambut.

Xavier menegaskan lagi, negara kini ada jumlah air bawah tanah yang besar dan belum lagi kita manfaatkan. Apa yang telah kita gunakan selama ini adalah air di permukaan tanah iaitu setakat lima % sahaja.

Kejayaan menggunakan air bawah tanah ini akan dapat menyelesaikan kekurangan air di beberapa negeri termasuk Johor dan Kedah.

Menteri itu positif bahawa beberapa masalah lain mengenai air seperti mengurangkan pembaziran dan kehilangan air dirawat akan terus dapat diselesaikan pada masa depan.

Selain itu, kementeriannya akan memperkenal beberapa undang-undang baharu termasuklah Akta Pegawai Hutan, Akta Sumber Air dan Akta Perunding Tanah.

Seorang sahabat, Profesor Dr. Ismail Omar, pensyarah di sebuah universiti di Johor dan kini menyandang jawatan Presiden Persatuan Tanah Malaysia (Pertama) menyambut baik dan mengalu-alukan kenyataan menteri itu.

Katanya kepada saya baru-baru ini, beliau berharap pada suatu hari nanti akan wujud satu profesion baharu di negara ini bernama Konsultan Tanah Berdaftar yang sama tarafnya dengan ahli profesion lain seperti arkitek, perancang bandar dan jurutera, mampu menawar kepakaran dan kemahiran dalam bidang pengurusan dan pentadbiran tanah.

KERUGIAN BESAR

Kenyataan Xavier ini mengingatkan saya kepada satu dokumen bertajuk Review of the National Land Code: Consultation Paper (setebal 89 halaman) yang dikeluarkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Putrajaya pada 1 Februari 2012.

Di halaman 48 dokumen itu, JKPTG mencadangkan pembaharuan dilakukan kepada Kanun Tanah Negara dengan memasukkan satu peruntukan baharu, iaitu seksyen 8A “Penubuhan Lembaga Pentadbir Tanah” (Establishment of Land Administrators Board).

Walaupun cadangan yang baik ini disokong oleh pelbagai pihak, malangnya apabila Parlimen meluluskan Akta Kanun Tanah Negara (Pindaan) 2016 (ringkasnya Akta A1516), cadangan penubuhan Lembaga Pentadbir Tanah ini tidak termasuk di dalamnya.

Pada hemat saya, ia adalah satu kerugian (missed opportunity) yang amat besar.

Cadangan JKPTG memartabatkan Pentadbir Tanah dengan menubuhkan satu Lembaga khas untuk mereka (sekali gus memperkasa kedudukan, status serta kewibawaan mereka yang telah sekian lama diiktiraf oleh undang-undang tanah negara) dan cadangan PERTAMA mewujudkan satu profesion baru (Perunding Tanah Berdaftar) adalah sehaluan dan mahu mencapai maksud yang sama.

JKPTG mahu memartabat mereka yang sekarang berkhidmat dengan kerajaan, manakala Akta Perunding Tanah (yang disebut oleh Dr. Xavier dan disokong oleh PERTAMA) mahu memartabatkan mereka yang berkhidmat di luar kerajaan.

DIKAWAL, PANTAU

Saya pernah memberitahu Dr. Ismail bahawa apabila saya meninggalkan Jabatan Peguam Negara pada tahun 1975 untuk menceburi bidang kepeguaman, pada masa itu peguam bela dan peguam cara kita di negara ini belum ada lagi dikawal oleh apa-apa undang-undang khusus.

Undang-undang itu, iaitu Legal Profession Act, mula dikuatkuasakan hanya pada tahun 1976. Begitulah juga, pada masa ini ramai di luar sana yang kini menawarkan khidmat serta kepakaran mereka khusus dalam bidang pengurusan tanah kepada pelanggan mereka.

Kegiatan mereka ini perlu dikawal dan dipantau dan standard amalan serta etika mereka perlu juga diberi perhatian. Untuk itu, cadangan penggubalan Akta Perunding Tanah yang disebutkan oleh Dr Xavier itu amat dialu-alukan.

Sehubungan itu, saya berharap usaha reformasi KTN akan dapat diteruskan oleh pucuk pimpinan JKPTG sekarang dan di masa depan.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.