Semua premis makanan telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 bermula 1 Januari 2019.

Sebelum ini, arahan tersebut hanya melibatkan restoran berhawa dingin. Kali ini, arahan tersebut diperluaskan ke restoran tidak berhawa dingin, restoran dan warung berkonsep terbuka, trak makanan yang menyediakan meja dan kerusi serta restoran yang berada di atas kapal dan kereta api.

Pewartaan ini adalah komitmen kerajaan Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC).

Langkah ini merupakan inisiatif kementerian bagi memperluaskan lagi kawasan larangan merokok dan membuda­yakan amalan tidak merokok serta melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.

Pelbagai reaksi dapat kita lihat sejak pengumuman cada­ngan mengisytihar semua premis makanan sebagai kawasan larangan merokok. Tidak dapat dinafikan timbul bantahan daripada golongan perokok.

Ada juga segelintir pemilik restoran yang turut sama membantah arahan tersebut.

Antara alasan utama tindakan penguatkuasaan ini bakal menjejas perniagaan mereka.

Tambahan pula, tujuh individu telah memfailkan semakan kehakiman di mahkamah untuk mencabar penguatkuasaan larangan merokok di semua premis makanan dan baru-baru ini mereka memperoleh kebenaran untuk mencabar larangan itu.

Namun begitu, Kementerian Kesihatan sama sekali tidak perlu tunduk kepada desakan sedemikian. Kini sebulan telah berlalu. Syabas kementerian kerana tidak menangguhperaturan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan.

Penglibatan secara holistik di mana kerjasama di antara pihak berkuasa serta agensi berkaitan, pemilik premis makanan, masyarakat setempat dan golongan perokok sendiri amat perlu untuk memastikan kejayaan pelaksanaan larangan tersebut.

Selain aktiviti penguatkuasaan, pemilik premis makanan memainkan peranan penting untuk memastikan pematuhan penuh kepada usaha-usaha bebas asap rokok.

Pemasangan papan tanda larangan merokok mengikut spesifikasi di tempat strategik serta melupuskan penggunaan bekas abu rokok adalah tindakan asas yang perlu dilaksanakan. Jika ada pelanggan yang merokok, pemilik premis harus tegas menghalang perbuatan tersebut.

Persekitaran bebas asap rokok sama sekali tidak merugikan pemilik restoran dan gerai makanan. Pelanggan akan tetap mengunjungi premis makanan kerana makan adalah keperluan asas kehidupan.

Bahkan keluarga bersama anak-anak kecil pasti memilih premis yang bebas daripada asap rokok. Perluasan kawasan larangan merokok merupakan salah satu daripada strategi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sihat dan bebas daripada amalan merokok.

Tindakan bersepadu daripada pelbagai kementerian, agensi, masyarakat dan individu perlu untuk merealisasikan agenda itu. Ia harus dipacu di semua peringkat secara proaktif dan berterusan.

DR. AHMAD FARID NAZMI ABDUL HALIM ialah Ketua Unit Kawalan Rokok & Vape, Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik).