Duterte yang diselubungi oleh beberapa isu sensitif seperti strategi beliau memerangi gejala dadah dan juga keakraban de­ngan China diperhati dengan penuh minat ke arah mana ASEAN akan dibawa oleh Manila.

Tidak memeranjatkan apabila isu pertindihan sempadan ma­ritim Laut China Selatan yang melibatkan secara langsung empat ahli ASEAN termasuk Malaysia dibincangkan secara mendalam tetapi deklarasi mesyuarat yang dikeluarkan selepas itu agak mengecewakan kerana tidak me­nggambarkan kandungan per­bincangan.

Hal ini kerana tidak disentuh langsung isu penambakan dan penempatan aset ketenteraan yang sedang dilakukan oleh China terhadap beberapa terumbu dan beting yang dipertikaikan.

Ada yang berpendapat Mani­la sebagai pengerusi mesyuarat telah mengamalkan pendekatan tidak mahu menimbulkan kemarahan China. Berkemungkinan juga Manila yang telah memberi jaminan isu pelaksanaan Kod Tatacara (COC) Laut China Selatan yang telah tergendala lebih satu dekad lamanya akan diselesaikan hujung tahun ini, berpendapat pendekatan tanpa konfrontasi de­ngan China adalah jalan terbaik untuk memuktamadkan COC.

Seperti yang dijangkakan juga isu kemanusiaan yang menimpa rakyat Myanmar daripada etnik Rohingya tidak menjadi agenda mesyuarat kerana dianggap sebagai isu dalaman negara tersebut dan ASEAN sebagai sebuah organisasi berpegang kepada prinsip tidak mencampuri urusan dalaman negara ahli.

Tetapi tidak dapat dinafikan kehadiran Aung San Suu Kyi sebagai pemimpin defacto Myanmar menimbulkan sedikit keresahan dalam kalangan pemimpin ASEAN lain terutama sekali isu yang membabitkan etnik Rohingya. Da­lam pertemuan singkat antara Suu Kyi dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi telah memberi peringatan kepada Suu Kyi bahawa jika isu Rohingya tidak diselesaikan bakal menggugat kestabilan ASEAN sebagai sebuah organisasi.

Peringatan yang diluahkan oleh Jokowi itulah yang telah memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menongkah arus diplomasi ASEAN dan terpaksa campur tangan dalam mencari penyelesaian krisis Rohingya pada tahun lepas.

Oleh kerana Najib tidak ber­kesempatan berbincang de­ngan Suu Kyi di Manila tempoh hari maka pandangan Malaysia tidak dapat disampaikan secara langsung kepada pemimpin Myan­mar tersebut. Tetapi hakikatnya, peringatan Jokowi adalah manifestasi kebimbangan ASEAN terhadap isu ini.

Pada hari ini akan berlangsung pertemuan di antara Menteri-menteri Luar ASEAN dengan Se­tiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Rex Tillerson di Washington dan agenda utama yang akan di­bincangkan adalah berhubung si­tuasi genting Semenanjung Korea dan juga Laut China Selatan.

Tetapi agak menghairankan juga apabila Suu Kyi yang juga Menteri Luar Myanmar mengambil keputusan untuk tidak bersama-sama dengan sembilan Men­teri Luar ASEAN bertemu Tillerson dengan menggunakan alasan tarikh pertemuan bertembung dengan lawatan beliau ke beberapa negara Eropah.

Ada yang membuat andaian Suu Kyi mengambil keputusan untuk tidak hadir sebagai gambaran Myanmar sekarang sudah cuba berbaik-baik dengan China dan ditambah dengan kecelaruan dasar pentadbiran Presiden Do­nald Trump terhadap ASEAN, ramai yang beranggapan keputusan Suu Kyi itu tidak menghairankan.

Apabila Presiden Barack Obama menarik balik kebanyakan sekatan yang dikenakan terhadap Myanmar pada tahun lepas, Suu Kyi telah melakukan lawatan ke Washington dan telah diberi layanan istimewa oleh Obama. Tetapi selepas isu Rohingya menjadi bertambah buruk, Washington telah menegur sikap Suu Kyi lalu hubungan antara kedua-dua negara ini bertukar menjadi agak dingin.

Sebab itu juga dibuat andaian bahawa keputusan Suu Kyi untuk tidak hadir lebih menjerumus kepada kebimbangan beliau jika isu Rohingya ditimbulkan oleh Tillerson kerana hakikatnya adalah Trump jauh berbeza dengan Obama dari segi etika diplomasi.

Tetapi Suu Kyi tidak boleh lari dari isu Rohingya dengan cuba mengelak pertemuan de­ngan pemimpin dunia yang akan mengkritik beliau. Pertemuan Suu Kyi dan Jokowi di Manila adalah manifestasi yang jelas ke­rana walaupun Jokowi bertemu buat pertama kali dengan pe­mimpin Myanmar itu, beliau tetap me­nyuarakan kebimbangan bagi pihak ASEAN.

Begitu jua semasa sidang akhbar Suu Kyi dan Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU), Federica Mogherini, diplomat EU itu berterus-terang menegaskan bahawa EU menyokong Majlis Hak Asasi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) menubuhkan pasukan menyiasat perlanggaran hak asasi oleh tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya.

Kenyataan Mogherini itu me­rupakan satu tamparan hebat kepada Suu Kyi yang selama ini menafikan tuduhan masyarakat antarabangsa mengenai kekejam­an tentera Myanmar terhadap rakyat sendiri terutama sekali yang melibatkan Rohingya.

Tidak diketahui selama mana Suu Kyi mampu mengelak kecaman demi kecaman terutamanya daripada pemimpin ASEAN yang sebenarnya telah dicetuskan oleh Najib dan disambut pula oleh Jokowi di Manila.

Suu Kyi yang sebenarnya cuba mengelak daripada kritikan pentadbiran Trump dengan sekadar menghantar wakil ke mesyuarat di Washington tetapi terpaksa pula berhadapan dengan kenyata­an berbentuk celaan dari EU ketika melakukan lawatan rasmi ke beberapa negara Eropah.