Perolehan secara amnya adalah satu proses bagi mendapatkan sama ada bekalan barangan atau perkhidmatan atau kedua-duanya sekali yang biasanya akan melalui proses-proses tertentu (tender) dan dimeterai dengan persetujuan secara kontrak bertulis. Dalam beberapa dekad ini, negara ini seolah-olah dilanda krisis perolehan yang agak kronik dengan pendedahan skandal-skandal yang pelbagai skil dan kos, sama ada daripada perolehan ketenteraan hingga kepada perolehan projek mega dalam industri pembinaan.

Banyak isu yang timbul seperti soal ketelusan dan ketidakse­suaian jenis perolehan yang diguna pakai, pengaruh politik dan kronisme termasuklah masalah harga lebih tinggi, lewat disiapkan, projek terbengkalai dan sebagainya.

Hasil dapatan kajian dan juga input daripada pemain industri telah menyenaraikan masalah utama yang mendorong kepada berlakunya kelemahan dalam sistem perolehan kerajaan. Antaranya yang begitu ketara ialah bukti-bukti daripada hasil dapatan audit rasmi kerajaan; segala skandal yang terbongkar yang telah diambil tindakan di luar negara; sindrom praktik ‘kebiasaan’ termasuklah manipulasi kontrak dan sebagainya; pemberian kuasa politik keterlaluan termasuk salah guna kuasa, kronisme, nepotisme serta arahan ‘atas ke bawah’ dan kurang pengetahuan serta salah faham tentang prosedur perolehan eret projek kepada kelewatan.

Antara beberapa isu yang telah timbul adalah dalam perolehan mega aset angkatan bersenjata dan perolehan bagi projek pembinaan mega.

Perolehan angkatan bersenjata

Terbahagi kepada beberapa ka­tegori perolehan mengikut projek umpamanya perolehan bagi pembinaan infrastruktur, perumahan, berek, pejabat dan pelbagai fasilti bagi pangkalan tentera darat, laut dan udara serta perkhidmatan agensi penguatkuasaan lain; perolehan logistik bagi tujuan operasi, senggaraan aset dan peralatan ketenteraan adalah antara perbelanjaan yang memerlukan belanjawan besar; perolehan bagi pembelian aset dan peralatan ketenteraan adalah kos terbesar dalam belanjawan ketenteraan negara.

Kaedah pendekatan kepada ke­­tiga-tiga kategori perolehan ter­sebut sepatutnya berbeza memandangkan fungsi dan tujuan serta nature sektor juga berbeza. Antara pendekatan penambah­baikan yang dilakukan di negara maju ialah mewujudkan satu badan yang berkecuali bagi membuat pemeriksaan, audit dan memantau setiap aspek perolehan daripada jenis perolehan yang dipilih, prosedur sehinggalah kepada proses sebut harga/tawaran tender.

Tender yang dianggarkan melebihi RM10 juta umpamanya bagi tujuan pembelian aset atau peralatan khas ketenteraan juga memerlukan agensi khas se­perti yang dipraktikkan di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia yang dinamakan Agensi Perolehan Ketenteraan (Defence Procurement Agency) bagi memantau proses perolehan dari segi ke­perluan pembelian, latar belakang penender dan sebagainya.


Perolehan projek pembinaan mega

Projek pembinaan mega adalah pencetus kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui rantaian bekalan dalam industri pembinaan. Pendekatan perolehan yang sesuai mengikut garis panduan jenis dan kategori projek, klien, dana, kemampuan dan pengalaman kontraktor penting bagi menjamin kejayaan projek dari segi menepati tiga nilai utama iaitu kos, masa dan kualiti.

Di negara maju, walaupun cadangan meluluskan projek mega adalah di peringkat eksekutif atau kerajaan, namun reka bentuk, pe­rancangan dan implementasinya akan hanya melibatkan golongan profesional tanpa campur tangan politik yang ‘kebiasaannya’ akan mengatur ‘siapa dapat apa dan pada harga berapa’.

Penyusunan semula dan tadbir urus kontraktor

Fakta tentang ‘kebiasaan’ kontraktor juga merupakan ahli politik dan orang politik kebanyakannya mempengaruhi kontraktor, bukanlah rahsia lagi. Kontraktor yang rapat dengan ahli politik yang memegang kuasa kemudiannya akan menggunakan pengaruh dan kuasa politik si polan untuk mempengaruhi proses dan keputusan tender di jabatan dan agensi kerajaan pun bukan satu rahsia lagi.

Yang menariknya, statistik menunjukkan jumlah kontraktor di Malaysia adalah antara yang tertinggi atau terbanyak di dunia berbanding dengan negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, serta jauh lebih banyak daripada negara maju.

Sudah sampai masanya Malaysia memerlukan penyusunan semula besar-besaran tentang isu signifikan dan jumlah kontraktor yang relevan dan melihat dengan serius tentang kualiti bukan kuantiti kontraktor.

Menjadi harapan penulis agar pengajaran dapat dipelajari oleh kerajaan baharu. Istilah-istilah se­perti nilai untuk wang, pengurus­an terbaik, berasaskan prestasi dan produktiviti seharusnya dikete­ngahkan dan menjadi tunjang dalam proses perolehan serta mengemas kini dan menambah baik prosedur, proses dan implementasi perolehan kerajaan. Ini termasuklah mengehadkan kuasa dan campur tangan kuasa eksekutif dalam tadbir urus perolehan kerajaan.

Namun, perubahan yang per­lu dibuat kepada sesuatu sistem dan ‘kebiasaan’ yang telah lama bertapak bukanlah mudah ­memandangkan mungkin melibatkan anjakan paradigma yang lebih besar daripada perubahan biasa. Tetapi, setidak-tidaknya, ia boleh bermula dengan menge­luarkan langkah yang pertama atau way forward ke arah itu dengan memulakan penyelidikan khusus kepada permasalahan yang wujud dengan mengeluarkan geran penyelidikan khas kepada penyelidik-penyelidik tertentu daripada universiti di negara ini.

Ini adalah bagi mewujudkan satu gambaran dan rumusan yang jelas daripada dapatan penyelidikan itu kelak supaya segala pendekatan atau penambah­baikan yang akan diambil oleh pihak kerajaan nanti mempunyai asas dan alasan kukuh. Semoga pendekatan secara buat dulu, selidik kemudian yang ‘kebiasaannya’ kita dengar dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini akan hanya tinggal kenangan.

PROFESOR MADYA SR. DR. MOHAMMAD FADHIL MOHAMMAD ialah Pensyarah Kanan Ukur Bahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).