Bukan apa, yang buat saya sampai hendak tersedak air itu, sebab rasanya baru saja sebelum itu dia memuat naik status memaki hamun termasuk mencarut terhadap seorang bekas pemimpin negara ini.

Kalau baca status itu, dan status-status dia sebelum ini rasanya orang ramai yang tidak mengenali dirinya secara dekat pun boleh terus membuat kesimpulan sendiri bahawa dia ini orang yang tiada adab langsung. Dan apabila tiba-tiba pula dia memuat naik status sebegitu meminta orang lain beradab, sedangkan dia tidak, ia memang mengundang rasa terkejut dan agak kelakar sebenarnya.

Saya ini hanya suka jadi pemerhati. Tidak suka komen walaupun dalam kepala saya kadang-kadang ada macam-macam rasa tidak puas hati tentang isu yang dimuat naik oleh mana-mana rakan dalam Facebook. Tetapi saya tahankan diri saja. Fikir apa kesannya pada orang yang hendak dikomen dan kesannya kepada saya juga. Kalau tidak mendatangkan apa-apa faedah untuk kedua-dua pihak, pada saya lebih baik diam saja.

Tetapi itulah, kebiasaannya, ramai yang menulis ikut sesedap rasa tanpa memikirkan sensitiviti orang lain dan pada masa sama tidak menjaga adab tak kiralah kita mengulas sesuatu isu atau menegur. Mencarut misalnya, ia saya kira sudah amat keterlaluan.

Adakah diri akan rasa dihormati apabila berbuat begitu? Lainlah kalau tidak kisah, tidak dihormati pun tidak apa. Iyalah, apalah sangat untungnya daripada mendapat rasa hormat orang sekeliling, berbanding menunjukkan rasa taasub tentang sesuatu atau kepada seseorang. Itu lebih penting kan? Agaknya begitulah.

Setinggi mana pendidikan sehingga mencapai tahap Profesor Emeritus, Madya atau digelar cendekiawan ulung sekali pun, kalau menggunakan bahasa kesat atau lucah, sedikit sebanyak orang luar akan menilai diri kita yang kononnya hebat itu, seorang yang tidak beradab. Biar tinggi ilmu, jangan tinggi rasa riak dan kita pun sering mendengar orang berkata, biar kurang ilmu, jangan kurang ajar. Lihatlah macam mana orang lebih memuliakan orang yang kurang berilmu itu, berbanding orang kurang ajar.

Pada saya, kalau tidak bersetuju, kita boleh sahaja menegur secara baik, atau paling tidak bernada sinis, atau menulis dengan nada bersahaja dan selamba tetapi pedih membacanya, tak perlulah sampai memaki hamun atau mencarut. Malulah pada budak-budak.

Saya tetap percaya, sampai bila-bila pun orang akan memandang kepada budi bahasa. Biarpun kita berada dalam zaman teknologi serba baharu yang meletup-letup! Zaman orang mengagungkan dan mengangkat pencapaian akademik, pangkat, harta dan sebagainya, jika tiada budi bahasa, segala pencapaian yang besar-besar itu, bagaikan hanya hiasan yang tiada jiwa.

Pernah dengar peribahasa biar buruk kain dipakai, asal pandai mengambil hati? Atau daripada telaga yang keruh, tak akan mengalir air yang jernih? Kedua-duanya adalah tentang budi bahasa juga yang akhirnya dinilai orang. Sebenarnya, kita ada banyak peribahasa yang berkisar tentang budi bahasa. Boleh lihat dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Kenapa ada banyak pasal peribahasa berbudi bahasa ini? Tak akan saja-saja, tentu ia amat penting dalam kehidupan.

Kita selalu mengaku kitalah bangsa yang paling tinggi sopan santun dan kaya dengan budi bahasanya. Pada hal, kalau lihat dalam laman sosial, punyalah berapi-api kemarahan dan caci cerca lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu-isu politik. Semua orang selalu mahu orang lain menjaga adab dan budi bahasa, tetapi diri sendiri pun tersasar. Ini yang dikatakan, orang lain buat tak boleh, diri sendiri buat tak mengapa.

Pentingkah budi bahasa? Siapa kata tak penting? Siapa saja yang boleh duduk semeja dengan orang yang kurang budi bahasa atau tiada adab. Kalau saya, dalam keadaan terpaksa, mungkin kebal dalam tempoh seminit dua, lepas itu pasti angkat kaki. Buang masa layan.