Persoalan itu cukup kritikal yang mana MIC yang ditubuhkan pada 1974 perlu sedar dan keluar dari sindrom penafian bahawa parti itu bukan lagi mewakili masyarakat India di negara ini. Jangan bermimpi lagi!

Status itu sudah ‘tiada lagi’, MIC tidak boleh mendabik dada seperti mana dahulu bahawa merekalah ‘pejuang’, merekalah ‘bulan dan bintang’ untuk komuniti India.

Ingatlah masyarakat India di negara ini sudah memberikan isyarat, amaran yang jelas sejak PRU-12 pada 2008 dan PRU ke-13 pada 2013. Gelombang itu sudah mula seawal 2007 apabila suara makkal sakthi menggegarkan arena politik negara.

Malang sekali, MIC gagal membaca ‘bisikan hati’ masyarakat India.

Tidak dapat disangkal, pengiktirafan perlu diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah ‘menyelamatkan’ maruah politik parti itu dengan pelbagai pendekatan yang dilakukannya untuk membantu menangani permasalahan masyarakat India di negara ini sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2009.

Beliau bukan sahaja telah memberikan peruntukan yang besar, malah telah merencanakan satu pelan tindakan yang komprehensif termasuk penubuhan satu jabatan khas iaitu Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) untuk kaum itu di Jabatan Perdana Menteri yang diketuai oleh seorang Ketua Pengarah.

Tidak dinafikan peranan unit tersebut memang dihargai dan disokong namun peranannya terjejas di­sebabkan pengaruh parti politik yang ‘bermaharajalela’ di mana ‘permainan tangan’ di sebalik tabir bertopengkan parti politik telah menjejaskan reputasi badan tersebut.

Malah satu lagi kesilapan besar ialah Najib terlalu mengharapkan MIC untuk meraih sokongan masyarakat India manakala parti itu pula menjual namanya untuk meraih ‘modal politik’. MIC gagal menonjol dan menyerlah untuk meraih sokongan serta memikat hati masyarakat India atas ‘kapasiti sendiri’.

Kepemimpinan yang lemah turut meletakkan parti itu berada dalam ‘terumbang – ambing’ dan tidak menentu bagaikan hilang arah tuju.

Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang memimpin parti itu ketika itu gagal menyatupadukan parti yang di­pimpinnnya sendiri sebelum PRU-14 walaupun beliau boleh membaca ‘kisah benar’ senario politik dalaman parti itu termasuk juga harapan masyarakat India terhadap parti itu.

MIC hanya mampu memenangi dua kerusi Parlimen iaitu di Tapah dan Cameron Highlands, itupun dengan majoriti yang tipis. Subramaniam turut tersungkur di Parlimen Segamat .

Di peringkat Dewan Undangan Negeri pula parti itu hanya mampu pertahankan DUN Tenggaroh, Kahang di Johor manakala DUN Jeram Padang di Negeri Sembilan.

Sebelum PRU-14, Subramaniam ketika itu membuat pendedahan sokongan masyarakat India kepada BN te­lah meningkat sehingga tahap 65 peratus melalui kajian yang dilakukan oleh parti itu. Persoalannya, kajian apa yang dilakukan oleh MIC? Sekadar retorik ataupun sekadar mahu ‘menggembirakan hati’ Najib? Siapa tipu siapa dalam hal ini?

Kini ketika negara sedang menghampiri 100 hari selepas PRU-14, baru-baru ini salah seorang Naib Pre­siden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran yang juga merupakan Speaker Dewan Negara telah memenangi jawatan pre­siden parti itu tanpa bertanding selepas Subramaniam mengambil keputusan untuk tidak bertanding akibat kekalahan teruk parti itu.

Pemilihan Vigneswaran sebagai Presiden MIC yang ke–10 ketika parti itu dan BN berada dalam keadaan yang belum stabil lagi adalah satu tanggungjawab yang cukup berat dan mencabar - umpama berjalan di atas duri–duri yang penuh tajam bagi dirinya.

Sebagai bekas Ketua Pemuda parti itu, sudah tentu beliau dapat memahami dan menyelami apa yang sedang berlaku. Walaupun beliau pernah merentasi pelbagai sepak terajang dalam karier politiknya sebelum ini tetapi apa yang sedang berlaku ketika ini merupakan satu babak baharu dalam kancah politik negara.

Beliau perlu mereformasikan serta mentransformasikan MIC secara menyeluruh khususnya mencari pendekatan politik yang relevan yang dapat menyelamatkan survival politik parti itu.

Landskap politik negara sudah berubah secara drastik. Jumlah pengundi muda semakin meningkat, malah dalam tempoh lima tahun lagi untuk PRU-15 nanti, suara generasi mudalah bakal menentukan kuasa politik negara ini.

Maka, pemilihan MIC untuk siapa? Adakah sekadar mahu bertanding untuk meraih jawatan dalam parti untuk ‘syok sendiri’? Hentikanlah proses kitar semula dalam memilih pemimpin. Cukup-cukuplah dengan perangai permainan `politik kasta’ yang hanya akan membunuh masa depan parti itu.

Bentuklah satu pasukan yang berwibawa untuk mara ke depan. Bersihkanlah imej dan persepsi terhadap parti itu termasuk segala skandal yang dijadikan ‘kritikan’ terhadap parti.

DATUK ANBUMANI BALAN ialah Penganalisis Politik.