Mujahid Yusof Rawa
Dr. Mujahid Yusof Rawa

Saya mewakili lebih 500,000 waris kepada Anak Tidak Sah Taraf (ATST) yang telah diberi status Anak Luar Nikah (ALN) oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ingin menggesa pihak Datuk menyemak semula perkara ini. Ketika ini Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) meng­arahkan JPN memberi status ATST (ALN) kepada semua bayi yang dilahirkan daripada pasangan yang bernikah di selatan Thailand walaupun pernikahan itu disahkan 'benar' oleh Kerajaan Malaysia (melalui semakan dan pendaftaran di Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla).

Bayi tersebut tetap diberi ATST (ALN) jika pasangan itu tidak mendaftarkan semula perkahwinan mereka di Mahkamah Syariah di Malaysia, seolah-olah Jakim mampu menjadikan anak yang dilahirkan luar nikah (haram) kepada anak dilahirkan dalam nikah (halal) dengan menggunakan kuasa wang denda.

Jakim tidak mempertimbangkan hal ini berlandaskan Hukum Syarak sebaliknya mengggunakan hukum politik dan hukum administratif dengan alasan untuk membendung pernikahan di selatan Thailand.

Akibatnya, ratusan ribu ATST/ALN telah 'terhasil' kerana ramai pasangan yang enggan untuk mendaftar semula perkahwinan mereka di Malaysia kerana tidak mampu berhadapan kos guaman, denda dan prosedur panjang di Mahkamah Syariah. Secara tidak langsung, Jakim telah menuduh pasangan itu berzina sedangkan hukum syarak telah secara jelas dan tegas menyatakan bahawa menuduh orang lain berzina adalah satu dosa besar (status ALN tanpa 'bin/binti' yang diletakkan oleh JPN di dalam Sijil Kelahiran).

Berdasarkan statistik yang pernah dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini, dianggarkan terdapat 500,000 ATST dengan purata 2,000 pasangan Islam bernikah di selatan Thailand setiap tahun. Secara lojiknya, jika ibu bapa yang membuat kesalahan (bernikah di selatan Thailand), kenapa pu­la bayi yang tidak berdosa menerima hukuman? Anak itu akan menanggung ke­san psikologi sepanjang hayatnya akibat nama tanpa bin/binti dalam Sijil Kelahiran mereka.

Adakah Islam meng­­ajar sedemikian? Atau adakah ini ama­lan Islam versi Jakim?

Sebelum pilihan­ raya umum baru-ba­ru ini, ada sebu­ah kerajaan negeri di utara yang ber­sem­padan dengan Thailand, menawarkan pemutihan kepada 30,000 ATST di negeri itu dengan rasional untuk menjamin masa depan anak negeri itu. Malangnya ia hanya gimik politik pilihan­ raya semata-mata. Yang dilaksana bukanlah penarafan semula ATST/ALN terbabit, sebaliknya mengejar hasil ke­wangan dengan tawa­ran diskaun denda RM300 kepada ibu bapa yang terbabit.

Oleh itu, saya memohon pihak Datuk menghapuskan penarafan ATST /ALN kepada anak pasangan yang bernikah secara sah sama ada di selatan Thailand atau di mana-mana negara sekalipun asalkan ia mematuhi hukum syarak. Jika tidak disegerakan perubahan ini, tidak mustahil angka 500,000 yang ada ketika ini akan melahirkan generasi jutaan 'umat Islam Malaysia luar nikah' di masa depan.


Sekian, terima kasih.

 

SHAMSUDIN AHMAD


Seri Kembangan