Orang ramai pastinya nak tengok siapa dalang itu, dedahkan namanya, seret ke mahkamah dan jatuhkan hukuman berat. Kena pantas, ini kes besar.

Akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu, lebih 5,000 mangsa mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk kesukaran bernafas dan ada yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Itu belum lagi murid dan pelajar 111 sekolah yang diarah tutup hingga mengganggu pelajaran mereka.

MOHD. NASARUDIN
MOHD. NASARUDIN 

Pada pandangan bekas pemeriksa senjata kimia di Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW), Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nasarudin Mohd. Yusof, pesalah terbabit sewajarnya dikenakan hukuman berat supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Hukuman itu juga kena setimpal dengan perbuatannya yang telah menyusahkan kerajaan dan orang ramai.

Beliau memberikan contoh di New Zealand (serangan pengganas di dua masjid). Keesokan harinya (pengganas) sudah ada di mahkamah, depan majistret. Baharu nampak kerajaan benar-benar serius.

“Bawa (pesalah buang toksik) ke depan. Tunjuk orang itu, ini dia, dia sudah dicaj di mahkamah. Dia patut dikenakan kompaun yang tinggi.

“Katakan kena kompaun RM10,000 misalnya, sikit punya kecewa tak? Itu apa maksudnya? Maksudnya kita cerita saja lebih, tapi apa kerajaan sudah buat?” katanya ketika ditemui di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Baginya, kejadian di Pasir Gudang itu walau bagaimanapun perlu dilihat dari sudut positif. Banyak pengajaran boleh diambil dari situ sama ada di pihak orang awam atau kerajaan.

GAS BERACUN

Berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat, terdapat gas berbahaya hidrogen sianida dikesan dalam udara di kawasan terlibat.

Pada istilah orang awam, mereka melihat hidrogen sianida dari sudut mudah mereka faham iaitu sangat berbahaya kerana digunakan oleh tentera sebagai senjata.

Walau bagaimanapun bagi OCPW, istilahnya lebih luas. Dalam kes di Sungai Kim Kim, hidrogen sianida yang dikesan tidak mencapai tahap konsentrasi berbahaya.

Kenapa Mohd. Nasarudin kata begitu? Berdasarkan laporan media, bacaan 4.5 partikel per sejuta (ppm) dikesan di Sungai Kim Kim pada 15 Mac lalu. Hari-hari berikutnya bacaan semakin menurun. Memanglah kita takut mendengarnya.

Namun untuk standard Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH), bacaan mencecah 10 ppm baharu dikira berbahaya atau istilah digunapakai permissible exposure limit (PEL).

Bagi agensi-agensi penyelamat pula, mereka berpandukan nilai bacaan immediate dangerous to life and health (IDLH).

IDLH membawa maksud apabila bacaan direkodkan pada 50 ppm, mereka mempunyai tempoh 30 minit untuk keluar dari kawasan tersebut.

Menurut Mohd. Nasarudin, walaupun hidrogen sianida dikategorikan sebagai senjata kimia dan pernah digunakan semasa Perang Dunia Pertama, namun ia tidak menjadi pilihan tentera kerana sifatnya yang terlalu tidak menentu (volatile).

Ia mencapai suhu didih pada 26 darjah Celsius, bermaksud pada suhu bilik pun gas berkenaan mampu diserap ke udara. Lagi pula ia lebih ringan berbanding udara. Hidrogen sianida lebih popular digunakan oleh pengganas sebagai kapsul untuk mereka membunuh diri sekiranya perlu.

“Tiada kesan sampingan kalau kita terhidu hidrogen sianida termasuk karsinogenik atau mengancam kandungan seperti yang tular dalam media sosial,” ujarnya.

Fakta itu sendiri diakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporannya, Concise International Chemical Assessment Document 61: Hydorgen Cyanide & Cyanide - Human Health Aspect, 2004.

Justeru, orang ramai khususnya penduduk Pasir Gudang tidak perlulah panik.

SOP

Inilah masa agensi-agensi berkaitan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) masing-masing untuk dibuat penambahbaikan.

Ini kerana jelas Mohd. Nasarudin, selama ini kita bina SOP berdasarkan ‘imaginasi’ dan kajian berpandukan insiden yang berlaku di negara-negara lain.

“Sekarang sudah berlaku (pencemaran toksik) di tempat sendiri, kita sendiri terlibat menguruskannya, bolehlah naik taraf SOP kita.

“Selama ini kita banyak bergantung kepada teori dalam bilik darjah. Kini kita benar-benar mempraktikkan pengetahuan yang kita pelajari, khususnya kepada yang terlibat secara langsung. Mereka memperoleh pengalaman yang tidak ternilai,” katanya.

Kementerian Kesihatan misalnya, jelasnya, mereka patut sudah bersedia untuk berdepan situasi menerima jumlah pesakit sangat besar dalam tempoh singkat.

Contohnya, serangan gas sarin ke atas tren bawah tanah oleh pengganas di Tokyo, Jepun pada 1995. Kira-kira 1,500 orang berpusu-pusu ke Hospital St. Luke, Tokyo dalam tempoh 30 minit pertama untuk mendapatkan rawatan walaupun mangsa sebenar tidak sampai 130 orang.

Limpahan pesakit yang membanjiri hospital untuk mendapatkan rawatan kini menjadi fenomena biasa ekoran insiden sebegini. Ia berlaku di mana-mana sahaja di seluruh dunia.

Ia adalah akibat simptom ketakutan melampau atau panik yang merasakan mereka telah menjadi mangsa kejadian berpandukan kepada simptom-simptom yang mereka alami.

Apatah lagi kecanggihan teknologi masa kini yang mana maklumat boleh dihantar menerusi hujung jari sahaja, pastinya lebih kelam-kabut keadaannya!

IKTIBAR

Mohd. Nasarudin berkata, apa yang berlaku di Sungai Kim Kim tempoh hari wajar dijadikan iktibar lebih-lebih lagi pemain-pemain industri seperti pekilang.

Merekalah yang bertanggungjawab untuk mengelak berlaku sebarang pencemaran bahan-bahan berbahaya seperti sisa toksik kepada alam sekitar.

Mereka perlu mempunyai tahap kesedaran tinggi terhadap keselamatan pekerja masing-masing dan orang awam. Pihak berkuasa dalam kes ini, antaranya Jabatan Kesihatan dan Pekerjaan serta Jabatan Alam Sekitar perlu bekerja lebih keras membuat pemantauan.

Selepas ini, orang ramai pastinya lebih senang mendengar dan melihat tindakan proaktif jabatan-jabatan berkenaan terhadap mereka yang bersalah (mencemari alam sekitar).

Tiba masanya juga masyarakat lebih celik untuk melihat sesuatu isu secara lebih cerdik, bukan membuta tuli menyebarkan sebarang maklumat diperoleh.