Masyarakat luar kagum dengan suasana kehijauan dan sering memuji keindahan alam di negara ini. Luas kawasan hutan sahaja hampir lima juta hektar berbanding luas Semenanjung Malaysia iaitu 13.18 juta hektar.

Begitupun, kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat prihatin masih tidak berpuas hati dengan kedudukan pemuliharaan hutan dan kemerosotan kualiti alam sekitar negara. Pembukaan dan pembalakan hutan yang berleluasa menyebabkan kepelbagaian biologi terancam, sungai utama tercemar dan kes bencana banjir dan tanah runtuh terus meningkat.

Organisasi yang mengurus hal ehwal kehijauan negara adalah Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pertanian. Kedua-dua jabatan ini diwujudkan sejak zaman sebelum merdeka dan diberikan mandat untuk mengurus hasil hutan dan pertanian sebagai bahan komoditi yang berupaya menjana pendapatan negara.

Pengurusan hutan adalah berpandukan kepada Akta Perhutanan Negara 1984, dan dikemas kini beberapa kali selepas itu. Prinsip kepada pengurusan hutan adalah mengurus hutan simpan kekal yang sebahagian besarnya dikelaskan sebagai hutan pengeluaran atau hutan boleh dibalak. Pada masa ini, hanya 1.93 juta hektar hutan dilindungi berbanding 2.99 juta hektar hutan pengeluaran.

Pertembungan pegangan an­ta­ra pegawai mengurus hutan dan NGO yang memperjuangkan kepentingan alam sekitar adalah bagaimana untuk mengimbangi tuntutan pengeluaran hasil hutan secara lestari, mengekalkan perkhidmatan ekosistem hutan untuk kehidupan dan kepentingan memulihara kepelbagaian biologi sebagai warisan alam sejagat. Perbincangan untuk mencari titik pertemuan berlangsung beberapa dekad lamanya, kami merasakan inilah masanya, sempena wawasan Malaysia Baharu, kita mencari satu jalan penyelesaian jangka panjang bagi menyahut maksud sebenar pembangunan lestari.

Sebetulnya, Akta Perhutanan yang melahirkan entiti hutan simpan kekal adalah penyelamat guna tanah hutan di Semenanjung Malaysia, jika tidak, lebih banyak kawasan hutan telah ditukar menjadi kawasan pertanian, penempatan dan pembangunan industri. Begitupun, sebahagian besar daripada hutan telah dan sedang dibalak mengakibatkan ia bertukar menjadi hutan sekunder, kehilangan kepelbagaian biologi, meningkatkan kadar hakisan tanah dan tanah runtuh, dan mencemar ekosistem sungai. Sungguhpun terdapat peraturan dan sistem pengeluaran yang bersifat lestari, pada hakikatnya, aktiviti pembalakan semasa merosak ekosistem hutan dan mencemar alam sekitar.

Secara prinsipnya, ekosistem hutan mempunyai tiga fungsi utama iaitu mengekalkan fungsi habitat asli (alam sekitar); memulihara warisan kepelbagaian biologi; dan menghasilkan sumber hutan. Pengurusan hutan semasa yang memberikan penekanan berlebihan kepada pengeluaran sumber hutan (pembalakan) telah menimbulkan banyak masalah alam sekitar, semakin kurang relevan dan perlu dinilai semula.

Fungsi hutan terpenting adalah menyediakan perkhidmatan alam sekitar. Hutan tadahan hujan berperanan membekalkan sumber air bersih, di kawasan perbukitan dan pergunungan hutan mengawal hakisan tanah dan bencana alam, di kawasan pinggir bandar hutan penting untuk mengawal suhu dan menyediakan air bersih. Hutan yang mengandungi air terjun dan jeram atau landskap berpandangan indah perlu dipelihara sebagai kawasan rekreasi. Hutan perkhidmatan alam sekitar ini perlu dikenal pasti dan dipetakan semula bagi tujuan pemuliharaan. Hutan ini perlu dikelaskan sebagai hutan bukan pengeluaran.

Warisan alam, khususnya kepelbagaian biologi unik perlu dikenalpasti dan diurus daripada perspektif khazanah negara (warisan budaya). Pada masa ini, masyarakat hanya mengenali barisan budaya daripada perspektif tinggalan sejarah tamadun bangsa meliputi tapak arkeologi, sejarah, bangunan lama dan objek berkaitan budaya dan tradisi sahaja. Kepelbagaian biologi istimewa masih dianggap sebagai sumber asli. Kajian yang mendalam diperlukan untuk mengenalpasti spesies, habitat dan ekosistem unik mewakili warisan alam (budaya) dan komponen ini perlu dipelihara daripada perspektif tapak terpelihara, biotapak dan taman negeri dan negara.

Hutan sebagai sumber asli penting sebagai sumber ekonomi kerajaan negeri. Usaha ini masih perlu diteruskan dan kelemahan semasa, terutamanya degradasi alam sekitar perlu ditangani. Kita boleh belajar daripada negara maju, iaitu berganjak daripada pengurusan hutan pengeluaran kepada wawasan hutan pertanian. Secara beransur-ansur dan berasaskan kesesuaian, sebahagian daripada hutan pengeluaran boleh dijadikan hutan pertanian, sama seperti konsep jelapang padi, kawasan tanaman getah dan kelapa sawit.

Saya tertarik dengan pengalaman lawatan ke Slovenia beberapa tahun lalu. Kebanyakan daripada wakil rakyat, terutamanya Datuk Bandar dan pemimpin daerah yang dilantik oleh rakyat terdiri daripada golongan petani. Mereka ialah golongan masyarakat berada dan berpengaruh, bukan seperti di negara kita, petani adalah komuniti termiskin. Apabila melawat salah satu ladang, saya terkejut kerana ia adalah kawasan hutan yang diurus rapi. Mereka hanya mengeluarkan beberapa batang pokok hutan setiap tahun berasaskan peraturan ketat dan permintaan.

Kerajaan Malaysia Baharu masih belum mencalonkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar­nya. Saya berharap bakal menteri boleh memberikan pertimbangan kepada pandangan ini dan berikan perhatian kepada reformasi yang berfaedah kepada masyarakat. Sumber hutan dan pendekatan pengurusan lestari mungkin formula terbaik untuk kesejahteraan golongan petani, meningkatkan pendapatan negara.

PROF. EMERITUS DATUK DR. IBRAHIM KOMOO ialah Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Penyandang Kursi Iskandar Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).