‘Mahram’ bermaksud pertalian yang diharamkan berkahwin disebabkan halangan nasab atau perkahwinan. Sumbang mahram merupakan perbuatan zina atau hubungan seks yang dilakukan oleh orang yang mempunyai pertalian darah atau keturunan. Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Selangor), 75.5 peratus jenayah melibatkan seks dilakukan oleh orang yang dikenali.

Berdasarkan kes-kes yang dilaporkan di media massa atau dibawa ke muka pengadilan, profil pelaku sumbang mahram terdiri daripada mereka yang hidup susah, rendah pendidikan dan lemah tahap keimanan. Pelaku sumbang mahram hidup tidak berkat kerana melakukan pengkhianatan dengan perbuatan terlaknat. Sudahlah hidup melarat, hina pula tertangkap kerana perbuatan yang terkutuk.

Mereka bukan sahaja tidak menjaga maruah diri malah menggadai maruah orang yang wajar dilindunginya. Kesan langsung kepada mangsa ialah kemurungan, rasa dikhianati, diri ternoda, hilang makna diri, dendam dan mangsa cenderung melindungi penjenayah kerana berada dalam dilema untuk melaporkan atau diugut supaya merahsiakannya.

Sumber pornografi

Sumbang mahram merupakan penganiayaan seksual yang menjejaskan biologi, kesihatan mental dan masa depan mangsa. Jika hamil anak hasil sumbang mahram tersebut, anak itu berhadapan risiko menjadi manusia yang tidak normal, mengalami kerencatan otak dan kecacatan anggota badan atau organ dalaman malah terdapat kes yang berkesudahan dengan kematian. Jika mereka hidup sempurna, mereka mengalami kekeliruan identiti dan gangguan psikologi sepanjang hidup.

Antara punca berleluasanya perlakuan terkutuk ini ialah pelaku di bawah pengaruh dadah, menjadi hamba nafsu, hilang pedoman hidup, mengabaikan undang-undang, kebanjiran sumber pornografi dan tata hubungan yang melampaui kewajaran. Bahan lucah dan gagal menjaga aurat serta kesempatan yang terbuka mempunyai hubungan langsung dengan maksiat ini. Akhirnya, berlaku zina secara rela atau paksa.

Dari ufuk falsafah maqāsid, syariat melaknat perbuatan terkutuk ini tidak lain kecuali kerana untuk memelihara nasab keturunan dan kehormatan manusiawi. Al-Quran melarang manusia agar tidak sekali-kali mendekatinya. Tafsiran larangan ‘mendekati’ ini menjadi lebih jelas apabila diteliti menerusi sebuah hadis, Rasulullah SAW menyebutkan peringkat zina ialah zina ‘ain (mata), melihat bahan pornografi atau aurat terlarang dengan bernafsu, zina lisan (lidah), suara mendesah dan ghairah, zina yadin (tangan), menyentuh dan merangsang, zina qalb (hati), membayangkan dan menginginkan kenikmatan seks seterusnya berlakulah zina.

Menurut Ibn Hajar al-Haitami (seorang fuqaha Mazhab Syafie, ahli kalam dan tasawuf dalam kitab Az-Zawajir ‘an Iqtirafi al-Kaba’ir) mengatakan bahawa zina yang paling keji adalah berzina dengan mahram sendiri. Penzina atau pelaku sumbang mahram tidak layak untuk tinggal di muka bumi Allah sebagaimana pencerahan seorang ahli sufi Ibrahim Adham apabila ditanya tentang maksiat, beliau memberikan beberapa syarat jika ingin terus melakukan maksiat iaitu: “Kalau kau mampu melaksanakan lima syarat ini, kau boleh melakukan dosa iaitu jangan makan rezeki Allah, jangan tinggal di bumi-Nya, carilah tempat yang tersembunyi daripada-Nya, sempatkan diri bertaubat saat malaikat maut mencabut nyawa dan akhir sekali, sedia mampu lari jika diseret ke neraka oleh malaikat Zabaniah.”

Rejam

Sebaliknya bagi mereka yang ingin bertaubat dari segala maksiat, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Semua anak Adam melakukan kesilapan dan sebaik-baik pesalah ialah mereka yang bertaubat” (h.r Ibn Majah). Taubat mampu membersihkan diri dari dosa kerana Allah Maha Pengampun. Mafhum firman Allah: “Kecuali orang yang bertaubat, memperbaiki diri dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan dengan tulus ikhlas menjalankan agama semata-mata kerana Allah. Maka mereka itu bersama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan pahala yang besar kepada orang yang beriman” (Al-Nisa’: 146).

Selain menjanjikan kebaikan kepada mereka yang ingin pulih dengan bertaubat, Islam juga mencegah kemungkaran dengan mengekang jalan-jalan menyampai kepadanya. Islam menetapkan hukuman sebat kepada penzina yang belum berkahwin dan rejam kepada yang berkahwin. Sumbang mahram boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 376A dan Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara dan sebatan.

Hukuman tegas terhadap pesalah sebenarnya menzahirkan ciri rahmatan lil ‘alamin kerana hukuman yang keras dapat mengekang orang tersebut mengulangi dan menimbulkan kegerunan kepada orang lain yang bercita-cita melakukannya. Sudah pasti kedua-dua situasi ini baik untuk pesalah dan masyarakat keseluruhannya.

Begitu juga laporan yang dibentangkan oleh Jabatan Penjara Malaysia yang melihat sendiri perubahan tingkah laku dan tahap pemulihan pesalah menjalani hukuman sebatan di samping mengikuti modul pemulihan akhlak di penjara. Tidak hairanlah pelopor perundangan Islam, Profesor Ahmad Ibrahim menyimpulkan bahawa undang-undang Jenayah Malaysia dianggarkan 65 peratus selari dengan hukuman Islam.

Kesimpulannya, jenayah dan maksiat kronik ini perlu ditangani dengan mengukuhkan kembali institusi keluarga, menjaga sempadan pergaulan, meningkatkan kecaman masyarakat terhadap sumber lucah di media serta memupuk iman dalam kalangan setiap kaum muslimin. Masyarakat jahiliah di Mekah yang dilanda krisis moral mampu dipulihkan dengan pemupukan iman yang haq (sebenar), kenapa kita tidak nampak dan yakin kepentingannya demi pembinaan peradaban manusia. Memahami Islam, membina peradaban.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).