Menurut Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr. Wan Shamsudin Mohd. Yusof, fakta pertama baginda ialah sultan ketiga yang paling lama memerintah di ­negeri ini selepas Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II dan nenda baginda, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

“Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II yang adalah Sultan Ke-19 Kedah memerintah selama 68 tahun iaitu dari 1710 hingga 1778 manakala Sultan Abdul Hamid Halim Shah bertakhta selama 61 tahun bermula 1882 hingga 1943 selaku sultan ke-26.

“Tuanku Sultan Abdul Halim pula kini sudah memerintah selama 59 tahun setelah menaiki takhta sejak 1958. Maka tahun depan adalah masanya untuk negeri ini menyambut perayaan Jubli Intan pemerintahan tuanku yang saya fikir perlu diadakan secara besar-besaran sebagai tanda menjunjung kasih terhadap baginda,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pelantikan untuk tempoh lima tahun pada 13 Disember 2011, menjadikan baginda, sultan yang pertama menjadi Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua sekali gus mencatatkan satu sejarah yang menjadi kebanggaan rakyat negara ini dan institusi raja. Baginda diputerakan pada tanggal 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Tambah Wan Shamsudin, jika perayaan tersebut diadakan maka satu lagi sejarah akan tercipta iaitu baginda ialah satu-satunya daripada 28 sultan negeri ini yang ­menyambut perayaan Jubli Intan.

“Di zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah, baginda hanya sempat meraikan sambutan Jubli Emas dan perkara itu terbukti ­melalui penemuan peralatan digunakan serta surat sembah tahniah. Baginda dalam pada itu dikatakan pernah merancang untuk mengadakan sambutan jubli intan namun tidak sempat berbuat demikian apabila mangkat pada 1943.

“Disebabkan itu, jika ada majlis perayaan buat Tuanku Sultan Abdul Halim dirancang oleh kerajaan negeri tahun depan, maka acara itu ­pastinya menjadi sejarah tanda kasih kerajaan serta rakyat negeri ini kepada tuanku,” katanya.

Fakta seterusnya kata Wan Shamsudin, baginda ialah Sultan Kedah kedua yang mengikuti upaca­ra pertabalan secara rasmi bertempat di Balai Besar Negeri, Alor Setar pada 20 Februari 1959 selepas Sultan Ke-22, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah yang juga dikenali sebagai Almarhum Melaka berbuat demikian pada 1904.

“Berbanding sultan-sultan lain yang menaiki takhta tanpa ditabalkan, kedua-dua sultan ini mengikuti pertabalan rasmi yang dilengkapi dengan pelbagai adat istiadat serta acara sambutan. Itu adalah antara petanda betapa istimewa­nya Sultan Abdul Halim bagi negeri Kedah ini,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, sikap Tuanku Abdul Halim yang mengutamakan tugas da­-
lam memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini terpelihara seperti diwarisi daripada ayahanda baginda, Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah adalah antara faktor mengapa baginda amat disegani serta dihormati umum.

“Seperti ayahanda baginda, Sultan Abdul Halim tidak menjadikan istana persema­yaman baginda sebagai pe­jabat sebaliknya akan berangkat ke pejabat rasmi di Wisma Darul Aman untuk menjalankan tanggungjawab bagi meneliti perkara-perkara yang memerlukan perhatian baginda.

“Jadual baginda seperti mereka yang bekerja di pejabat juga. Berangkat ke pejabat di awal pagi dan berangkat pulang ke istana untuk berehat pada waktu tengah hari.

Selepas itu, baginda akan kembali ke pejabat dan berangkat pulang ke istana pada waktu petang,” katanya.

Tambahnya, Sultan Abdul Halim mengambil pendekatan itu bagi memudahkan baginda untuk bertemu dengan Menteri Besar atau mana-mana pegawai tertinggi kerajaan negeri bagi melicinkan kerja-kerja pentadbiran.

“Dengan berbuat demikian, baginda tidak perlu mengambil masa terlalu lama untuk menitahkan Menteri Besar, barisan exco atau mana-mana pegawai kerajaan negeri datang menghadap,” katanya.

Sementara itu, rakan sekolah Tuanku Abdul Halim di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Gurdial Singh Kartar Singh berkata, sebagaimana tuanku dikenali sebagai sultan berjiwa rakyat pada hari ini, begitu jualah sikap baginda ketika berada di alam persekolahan.

“Tiada langsung rasa sombong atau bermegah-megah pada tuanku. Semasa mula-mula masuk ke situ, semua orang tahu yang baginda ialah anakanda kepada Sultan Badlishah.

“Tetapi baginda tidak kekok berkawan dengan kami orang kebanyakan. Hendak lihat baginda bermasam muka, jauh sekali kerana baginda sememangnya suka bersahabat dengan sesiapa saja tanpa mengira latar belakang seseorang.

“Antara lain sifat tuanku yang perlu dipuji adalah sentiasa menjauhkan diri daripada perkara tidak elok. Segalanya seakan sempurna pada baginda yang saya sifatkan sebagai individu berdisiplin serta cerdik dalam pelajaran,” katanya yang turut menyertai Persatuan Geografi di sekolah tersebut bersama Tuanku Sultan Abdul Halim.

Mengulas mengenai minat ­tuanku terhadap bidang sukan, Gurdial yang ialah pesara polis berpangkat Superintenden memberitahu, perkara itu juga sememangnya sesuatu yang diketahui umum sejak dari zaman sekolah lagi.

“Setiap kali ada perlawanan bola sepak atau olahraga, kami akan bersama-sama turun ke padang memberi sokongan. Selain itu, baginda amat meminati sukan golf dan lumba perahu.

“Antara kenangan manis bersama tuanku adalah apabila baginda mengalungkan medal kemenangan sewaktu saya menguruskan pasukan lumba perahu polis yang berjaya mengatasi tentera pada 1978. Selaku kawan lama, baginda bergurau dan menepuk bahu saya ketika menyampaikan hadiah kemenangan itu,” katanya.