Ambil sahaja contoh yang sedang melanda tiga negara Eropah iaitu Belanda, Jerman dan Austria dengan jiran mereka iaitu Turki. Sehingga kini Belanda melarang beberapa menteri Kabinet dari Turki menjejaki wilayah negara itu kerana mereka ini telah diberi status sebagai individu yang tidak dikehendaki atau dalam bahasa diplomasi yang pada hari ini ramai rakyat Malaysia memahami apa yang dimaksudkan iaitu Persona Non Grata (PNG).

Kemelut yang melanda Belanda dan Turki ini dikatakan telah sampai ke peringkat yang membimbangkan apabila Ankara mengambil keputusan bukan sahaja untuk mengenakan beberapa sekatan tetapi juga menggantung buat sementara waktu hubungan diplomatik dengan Amsterdam.

Tidak dinafikan tindak tanduk Ankara dan Amsterdam dianggap agak keterlaluan dalam dunia diplomasi antarabangsa tetapi tekanan senario geopolitik semasa dan juga apabila dirasakan maruah dan kedaulatan telah tercabar, maka tindakan sedemikian rupa tidak menghairankan tercetus di antara dua negara. Tetapi agak mengejutkan juga apabila ia berlaku di antara dua negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi yang mana pengamalan dasar luarnya yang agak terbuka dan telus.

Tetapi apabila Malaysia menghadapi kemelut geopolitik yang serupa tetapi berhadapan dengan Korea Utara di mana pengamalan dasar luar yang dianggap sukar diramal dan lazim menongkah arus diplomasi antarabangsa, maka strategi yang digunakan memerlukan pendekatan yang agak luar biasa.

Setakat ini Kuala Lumpur dan Pyongyang tidak mengambil pendekatan Ankara-Amsterdam kerana saluran hubungan diplomasi masih terbuka luas demi mencari penyelesaian di mana maruah dan kedaulatan masing-masing tidak tercalar. Jika diandaikan kedua-dua negara Asia ini yang telah menjalin hubungan diplomatik sejak awal 1970-an lagi mengguna pakai pendekatan dua negara Eropah itu, maka sudah pasti rakyat Malaysia akan berada dalam keadaan resah gelisah pada ketika ini.

Seperti mana pertembungan Ankara-Amsterdam itu dipe­ngaruhi dengan keadaan isu geopolitik setempat, serupa juga dengan kemelut Kuala Lumpur-Pyongyang ia berlaku kerana turut menerima tempias geopolitik setempat atau lebih spesifik lagi senario kestabilan di Semenanjung Korea itu.

Turki yang akan mengadakan pungutan suara pada April akan datang, begitu agresif berkempen bukan sahaja dalam kalangan rakyatnya yang berada di Turki tetapi juga yang berada di beberapa negara Eropah termasuk Belanda, Jerman dan Austria yang dianggarkan berjumlah 3.5 juta ramainya. Sebahagian besar mereka ini walaupun berada di luar Turki layak mengambil bahagian dalam pungutan suara tersebut.

Senario menjadi lebih rumit apabila Belanda juga berhadapan dengan pilihan raya umum mereka sendiri yang dianggap kritikal pada Rabu lalu. Kehadiran rakyat Turki yang dikatakan mencapai sehingga 400,000 menjadi bahan kempen terutama sekali untuk parti politik berhaluan kanan pimpinan Geert Wilders yang menggunakan slogan untuk mengembalikan Belanda kepada rakyat Belanda iaitu kempen yang begitu antiimigran.

Kempen antiimigran Wilders seperti mana yang telah menjamin kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) beberapa bulan lalu telah memberi tekanan kepada parti pimpinan Mark Rutte yang juga Perdana Menteri Belanda sehingga beliau mengambil keputusan mengenakan dasar luar yang agak luar biasa terhadap Turki.

Sebab itu, sering ditekankan setiap kenyataan mengenai kemelut Kuala Lumpur-Pyongyang dianggap begitu sensitif kerana berkait rapat dengan ba­nyak faktor terutama sekali jika dikait­kan percaturan geopolitik Semenanjung Korea. Arahan mengenai kenyataan rasmi hanya boleh dikeluarkan sama ada Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri adalah bertepatan kerana jika tidak di­selaraskan akan membawa kepada keadaan salah tafsir tetapi lebih berbahaya lagi jika dipergunakan pula oleh pihak ketiga.

Sudah banyak kali terbukti Kuala Lumpur walaupun didefinisikan sebagai sebuah negara kecil telah mengamalkan dasar luar yang tidak berpihak kepada kepentingan kuasa besar. Walaupun sering menerima tekanan kuasa besar kerana lokasi strategik dua laluan kritikal iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan yang berkait rapat dengan kedudukan Malaysia, setiap keputusan yang membabitkan dasar luar negara digubal berasaskan kepentingan menjaga maruah dan kedaulatan negara.

Tidak kira apabila Kuala Lumpur berhadapan dengan isu kehilangan pesawat MH370 atau peristiwa pesawat milik Malaysia MH17 ditembak jatuh di ruang udara Ukraine, tekanan yang diterima adalah begitu hebat sekali seperti mana yang sedang dihadapi mengenai isu pembunuhan rakyat Korea Utara, Kim Jong-nam.

Paling kritikal adalah rakyat perlu memahami bukan sahaja dari segi pemahaman sisi dan luaran sesuatu isu tetapi perlu menghayati apa yang sering berlaku di sebalik tabir dunia geopolitik antarabangsa. Apabila penghayatan sepenuhnya dapat diselami, maka sudah agak pasti rakyat akan memahami betapa sukarnya mengurus dasar luar negara dan seterusnya menghargai dasar yang diamalkan oleh Kuala Lumpur selama ini.