UTUSAN: Benarkah golongan muda menyokong kerajaan menandatangani konvensyen ini?

RAZALI: Berdasarkan perjumpaan Suhakam dengan golongan muda Malaysia khususnya di bandar-bandar, majoriti dalam kalangan mereka mahu perkara ini dibuat.

Mereka tidak mahu negara kita terpisah daripada masyarakat antarabangsa yang telah berbuat demikian. Kenapakah kita mahu membuat ‘parit’ (kubu) di sekeliling Malaysia dengan menyatakan tidak mahu itu dan ini?

Bagaimanapun, semua pihak perlu membezakan antara ratifikasi dan menandatangani konvensyen. Apa yang dinyatakan oleh Suhakam adalah untuk menandatanganinya dan bukannya ratifikasi. Ratifikasi bermaksud keenam-enam konvensyen akan menjadi undang-undang di peringkat domestik, ini tidak akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Apa yang kita syorkan hanya menandatangani keenam-enamnya yang tidak akan melibatkan sebarang pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Kalau boleh, kita mahu ia ditandatangani sebelum 2020. Tetapi Suhakam sedar bahawa Malaysia mungkin memerlukan tempoh yang lebih panjang kerana perlu mengambil kira situasi semasa negara dan komitmen kepemimpinan politik.

Kita tidak boleh membuat tuntutan tidak realistik kerana Suhakam sedar ada perkara-perkara sensitif dan prejudis melibatkan enam konvensyen ini yang tidak disenangi beberapa pihak, kita perlu juga mengambil kira mengenai perkara ini.

Walaupun saya menghabiskan banyak masa di luar negara, saya menyedari mengenai konteks Malaysia (perkara sensitif) yang juga perlu diambil kira. Tetapi janganlah faktor budaya, agama dan sejarah ini dijadikan alasan untuk kita tidak bergerak langsung.

Negara-negara Islam lain telah menandatangani lebih banyak konvensyen hak asasi manusia berbanding negara kita. Malaysia kini berada dalam kumpulan kecil yang sama dengan Korea Utara dan Myanmar kerana tidak berbuat demikian.

Apakah faktor yang menggalakkan kita untuk menandatanganinya?

Antaranya perubahan yang besar di pihak kerajaan sendiri yang telah menunjukkan komitmen untuk memperjuang hak asasi manusia. Misalnya, sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 pada Sabtu ini adalah lebih meriah dan boleh disifatkan bertaraf kebangsaan apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri telah bersetuju untuk melancarkannya.

Sambutan kali ini adalah bermatlamat untuk berterima kasih kerana negara ini mampu melaksanakan hak asasi manusia walaupun bukan semuanya dilaksanakan tapi kita berada di jalan yang betul. Antara pencapaian ini adalah dengan menolak rasuah dan mementingkan ketelusan pentadbiran kerajaan. Elemen accountability (kebertanggugjawapan) kerajaan adalah termasuk dalam hak asasi manusia.

Sebelum ini, sambutan dibuat secara kecil-kecilan dan tidak melibatkan pemimpin kanan kerajaan. Kesudian Dr. Mahathir untuk melancarkan sambutan berkenaan tidak pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin dunia lain.

Boleh komen perhimpunan meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang akan turut diadakan pada Sabtu ini?

Kerajaan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengadakan dialog dengan pihak yang menentang ICERD, tetapi akhirnya membuat keputusan ia tidak boleh dilaksanakan.

Suhakam memang kecewa, tetapi ini bukan bermakna ia tidak boleh ditandatangani pada masa depan. Kita masih mempunyai harapan Malaysia akan menerimanya, walaupun ada tentangan.

Sebenarnya kumpulan yang menentang ICERD semakin kecil dan tidak akan menjadi bertambah besar. Semakin kuat bunyi bising menentangnya, bermaksud kumpulan yang tidak menyokong ICERD semakin sedikit, sebab itu mereka terpaksa berteriak lebih kuat supaya orang dapat mendengarnya.

Pihak yang menentang ICERD harus sedar hanya tiga atau empat sahaja negara Islam yang masih tidak menandatangani konvensyen ini, malah Arab Saudi pun telah berbuat demikian.

Antara faktor orang Melayu menolak ICERD dan konvensyen hak asasi manusia lain kerana bimbang Malaysia akan menjadi semakin liberal?

Mereka yang bercakap mengenai hak asasi manusia selalunya akan dikaitkan sebagai liberal. Sebenarnya golongan itu hanya mahukan perubahan khususnya diberikan hak kepada semua orang bersuara.

Perubahan ini tidak boleh dielakkan, kerana dari segi ilmu biologi pun spesies perlu berubah jika tidak mahu pupus.

Perubahan adalah satu-satunya harapan yang kita ada untuk menjadi lebih baik. Mereka yang tidak mahu berubah adalah seperti orang yang mahu menghentikan pergerakan waktu. Perkara ini sudah tentu tidak boleh dibuat.

Menjadi liberal bukanlah buruk kerana ia membawa maksud untuk melihat sesuatu perkara secara progresif dan tidak konservatif. Bagi saya ungkapan liberal menjadi buruk kerana sengaja dimomokkan oleh sesetengah ahli politik dan pihak lain sebagai tidak baik.

Ada ahli politik yang sengaja mengambil peluang dengan membuat dakwaan bagi menaikkan emosi dengan menuduh orang liberal mahu membuang Yang di-Pertuan Agong dan Islam sebagai agama Persekutuan. Hanya orang Malaysia yang gila sahaja yang mahu berbuat demikian.

Menjadi liberal, bukan bermakna kita menentang Islam atau agama-agama lain. Islam sendiri mempunyai maqasid syariah yang cukup liberal dari segi pendekatannya.


Dulu kami ‘barang perhiasan, bola politik’

Setelah hampir tiga tahun sebagai Pengerusi Suhakam, apakah kekecewaan terbesar Tan Sri?

Saya sebenarnya tidak kecewa cuma apa yang saya ingin nyatakan adalah mengenai kerajaan yang dahulu itu, yang nampaknya tidak mahu melayan isu-isu mengenai hak asasi manusia. Komitmen yang diberikan juga tidak sepenuhnya.

Suhakam pula telah dijadikan seperti barang perhiasan atau ‘bola politik’ sahaja yang akan ditunjukkan kepada pemimpin negara-negara asing yang datang melawat negara ini bahawa Malaysia juga mempunyai badan yang memperjuangkan dan memantau hak asasi manusia.

Betulkah terdapat cadangan untuk meminda Akta Suhakam 1999?

Sebenarnya Suhakam bukan sahaja menjadi barang perhiasan, malah juga seperti harimau yang tidak bergigi.

Suhakam kini hanya berperanan mendidik masyarakat dan tiada kuasa untuk membolehkan sesuatu isu berkaitan hak asasi manusia dilaksanakan.

Kita berharap akan ada perubahan dengan pindaan ini termasuk meningkatkan peranan pesuruhjaya Suhakam tetapi kuasa yang diminta tidaklah bertujuan menjadikan Suhakam seperti polis kerana itu bukan tujuan sebenar badan ini ditubuhkan.