Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd . Akin berkata, tuduhan tersebut mungkin timbul kerana perbezaan pendekatan dalam melaksanakan agenda reformasi.

MINGGUAN: Meskipun pada luarannya, pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) nampak seolah-olah tidak ada apa-apa isu tetapi di dalam ada pelbagai cerita dan pergolakan. Apa komen Yang Berhormat (YB)?

SHAMSUL:
Saya rasa pemilihan kali ini begitu menarik dalam kalangan pimpinan dan anggota parti kerana PKR telah menjadi sebahagian komponen parti pemerintah. Sebab itu ramai anggota lama dan baharu menunjukkan kecenderungan serta keghairahan untuk berkhidmat dan menawarkan diri bertanding jawatan-jawatan penting di peringkat cabang dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Saya fikir ini peluang kepada pimpinan dan anggota untuk membuat keputusan ke mana arah parti ini dibawa selepas 20 tahun selesainya reformasi. Maknanya reformasi telah berjaya. Sekarang kita hendak tunjuk kepada rakyat bahawa demokrasi itu dilaksanakan, dan kita ada proses demokrasi matang dan peralihan kuasa yang aman.

Rakyat hendak tengok kerajaan baharu mampu melaksanakan tugas dengan baik. Keadilan sebagai satu komponen yang penting dalam PH, mestilah berperanan dengan begitu aktif. Pada saya, itu satu permulaan yang baik untuk perjuangan Reformasi 2.0.

Ada dakwaan oleh pihak tertentu dalam PKR bahawa agenda Reformasi selama 20 tahun telah ‘dirompak’. Kenapa perkara itu timbul?

SHAMSUL: Saya tidak fikir ada pihak yang diistilah merompak agenda reformasi. Kita melalui proses yang panjang. Kalau mengikut pujangga Inggeris, T.S Eliot, The journey not the arrival matters. Pengembaraan itu merupakan satu perkara yang amat penting. Sebab itu apabila dalam suasana kempen, apabila ada mendakwa merekalah sejak awal berjuang dan sebagainya, mungkin itu dianggap sebagai tindakan untuk hijack perjuangan reformasi.

Tapi bagi saya, calon Naib Presiden, dalam setiap kempen yang saya kemukakan, saya nyatakan kita ada founding atau guiding ideas iaitu Deklarasi Permatang Pauh. Yang pertama, keadilan untuk semua.

Kedua, berkaitan dengan pembersihan jentera kerajaan daripada rasuah dan penyelewengan. Ketiga, memastikan institusi kehakiman itu bebas. Keempat, kita hendak angkat martabat manusia, tidak ada yang dizalimi dan diaibkan. Kelima, kita hendak rapatkan jurang atau kesenjangan ekonomi antara yang miskin dan kaya. Keenam, kita hendak cerita tentang jati diri negara.

Ini adalah perkara-perkara yang menjadi founding ideas kepada perjuangan PKR itu. Setelah 20 tahun, kita bercakap dengan rakyat, inilah nadanya. Sebab itu bila PKR menang di Selangor, kita lakukan berdasarkan founding ideas.

Selepas 20 tahun perjuangan reformasi, PKR kini telah menjadi kerajaan. Bagaimana agenda reformasi ini hendak diteruskan pada masa hadapan?

SHAMSUL: Saya rasa itu soal pendekatan. Kita dalam kepimpinan, apa yang kita cuba elak adalah peperangan proksi. Sudah pasti apabila dalam suasana kempen, ada kecenderungan pengamal-politik atau pengamal media menjurus kepada dua kem misalnya.

Kalau diteliti kempen, apa yang dihujahkan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, itu lebih kepada mengisi kemenangan. Kerana Mohamed Azmin sebagai Timbalan Presiden, dia pernah menjadi antara Menteri Besar paling berjaya dalam menguruskan Selangor yang begitu rencam, maju, ada pelbagai masalah dan sebagainya.

Sekarang beliau menjadi Menteri Ekonomi. Sebab itu dalam kempen, berdasarkan kemenangan di Selangor, beliau telah mengisi kemenangan itu dengan agenda reformasi. Sebab itu, saya sebut, perjuangan reformasi bukan sekadar teriakan tetapi kita buat dalam bentuk polisi kerajaan.

Ini boleh dilihat dalam Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018. Perkara ini penting, hendak dirapatkan kesenjangan ekonomi antara orang Melayu dan bukan Melayu. Biar ada satu dasar yang inklusif supaya semua mendapat manfaat.

 

Ada dua isu ditimbulkan dalam pemilihan PKR kali ini, iaitu kumpulan yang buat tindakan membelakangi parti dan soal kesetiaan kepada Anwar. Kenapa perkara itu boleh timbul?

SHAMSUL: Saya pun kurang arif kenapa kempen beliau begitu. Saya lihat dalam hal ini, kalau mana-mana pihak memainkan isu kesetiaan, bagi saya itu memberikan kelebihan kepada Mohamed Azmin. Beliau bekerja dengan Anwar dan pada saat kritikal pada September 1998, beliau tidak lari meninggalkan bosnya. Beliau setia sehingga sampai ke peringkat sekarang.

Kalau kita masih ingat “Langkah Kajang”, pada pandangan kita, Langkah Kajang itu sebenarnya tidak perlu kerana kita ada Mohamed Azmin yang boleh diangkat menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Tapi akhirnya apabila diputuskan dalam mesyuarat pimpinan, beliau turun membantu berkempen.

Jadi hendak kata bahawa beliau memainkan peranan sebagai seorang yang tidak setia kepada perjuangan, pada saya itu akan menimbulkan satu pertanyaan cukup besar, dari sudut mana hilangnya kesetiaan Mohamed Azmin?

Sebab kita tak nampak sekarang ini. Dalam sidang akhbar Anwar untuk bertanding di Port Dickson, beliau hadir di sebelah Anwar. Saya tidak nampak sudut mana beliau tidak setia atau saya tidak setia.

Saya membesar dalam PKR dan setelah tamat belajar pada 1998, terus menerjunkan diri dalam gerakan Reformasi sehingga sekarang. Disuruh lawan Tan Sri Mohd. Ali Rustam, saya lawan walaupun sukar. Jadi, kena tanya kepada mereka yang berkempen dari sudut mana yang tidak setia?

Kedua, dalam PKR, aliran membuat keputusan itu jelas. Korum paling tinggi untuk membuat keputusan adalah Kongres. Sebab itu lahirnya jawatan Ketua Umum, tidak ada dalam mana-mana parti tapi jawatan Ketua Umum itu adalah keputusan tertinggi dalam Kongres. ROS iktiraf kerana itu dalam perlembagaan parti.

Kedua, hendak dikatakan bagaimana keputusan-keputusan itu dibelakangkan? Bagi saya selain Kongres kita ada MPP yang akan membuat keputusan dalam apa jua hal. Dalam pemilihan lepas, kita sentiasa bermesyuarat untuk memutuskan perkara-perkara mustahak termasuk menubuh PH.

Cuma yang menjadi sedikit cabaran kepada PKR waktu itu ialah berlaku perbezaan pendapat. Yang saya bimbang apabila perbezaan pendapat itu dianggap membelakangkan keputusan parti. Kalau itu, saya fikir kita ada masalah kerana saya sentiasa konsisten, demokrasi itu bising dan apabila bising, ia mesti diraikan.

Kalau ditetapkan tarikh Anwar menjadi Perdana Menteri Kelapan selepas Dr. Mahathir, mungkin tidak lagi timbul keraguan tentang kedudukan Anwar?

SHAMSUL: Rakyat sebenarnya mengharapkan the good old days Dr. Mahathir dan Anwar. Sekiranya Anwar menang di Port Dickson dan masuk ke dalam Parlimen dan ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, itu yang saya maksudkan sebagai the good old days.

Ini bukan sahaja boleh meyakinkan rakyat malah pelabur dan mereka yang terlibat dalam perniagaan serta pelbagai institusi masyarakat. Gandingan dua tokoh ini yang membuatkan Malaysia berada di persada yang cukup tinggi dahulu. Anwar telah berbincang dengan Perdana Menteri dan bersetuju Perdana Menteri akan menguruskan Kabinet dan negara.

Hal-hal eksekutif akan diuruskan Dr. Mahathir dan hal-hal Parlimen termasuk reformasi Parlimen akan diurus Anwar. Jadi tidak timbul isu berlaku pertembungan. Sebab ada dua divisyen tugasan. Soal beliau akan menjadi Perdana Menteri kelapan telah disepakati. Selepas selesai Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, Anwar akan jadi Perdana Menteri. Masa kita tidak tentukan.

Dari segi masa itu, Anwar tidak ada masalah sama ada hendak cepat atau lambat. Yang penting kita hendak wujudkan keharmonian antara mereka berdua.

Adakah YB sendiri yakin Anwar akan diangkat sebagai PM kelapan?

SHAMSUL: Saya yakin kerana itulah perjanjian dan kita menghormati perjanjian ini. Saya ingin tegaskan di sini, selepas menang pada 9 Mei, Datuk Seri Dr. Wan Azizah ditawarkan menjadi Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong tapi Dr. Wan Azizah kata kita sudah ada perjanjian dan kita mesti tunaikan perjanjian kita.

Sebab itu Dr. Mahathir angkat sumpah. Mengambil semangat itu menjadi asas untuk saya yakin perjanjian untuk Anwar menjadi Perdana Menteri kelapan akan ditunaikan.