AWANG SELAMAT dalam ruangan Analisis Mingguan dalam akhbar Mingguan Malaysia kelmarin meminta mana-mana pihak yang berhasrat untuk berhadapan dengan pakar perbandingan agama, Dr. Zakir Naik, sila lakukannya melalui pendekatan ilmiah dan bukannya secara sentimen liar serta ekstrem.
Penulis amat bersetuju dengan pandangan tersebut terutama dalam konteks menyuburkan perbincangan segala isu serta perkara berkaitan perbandingan agama secara akademik dan inilah yang menjadi kekuatan kepada Dr. Zakir.
Tidak dinafikan sebagai pendakwah, Dr. Zakir ketika ini sedang berhadapan dengan tentangan pihak tertentu termasuk di Malaysia berikutan kelebihan yang ada pada pakar perbandingan agama itu dalam mematahkan hujah-hujah pendukung-pendukung agama lain apabila berdebat dengannya.
Begitu juga dengan bentuk jawapan yang diberikan kepada masyarakat pelbagai agama yang rata-ratanya mahukan pencerahan dalam setiap siri syarahannya di seluruh dunia. Apa yang boleh dikatakan, daya ingatan dan kepetahan berbicara Dr. Zakir dalam menjawab setiap persoalan walaupun tahap paling sukar, amat mengagumkan.
Setiap soalan yang diajukan dikupas dengan baik. Sandaran utama Dr. Zakir adalah petikan ayat-ayat suci al-Quran. Lebih menarik lagi, jawapan yang diberikannya itu turut diselang seli dengan beberapa petikan dalam Bible (Kristian) serta Vedas (Hindu) termasuk teori-teori sains.
Bukan sahaja mampu menghafal bait-bait Bible dan Vedas secara literal malah Dr. Zakir berkebolehan mengupas kedua-duanya dengan cukup baik hinggakan kepakarannya turut diakui oleh penganut Kristian dan Hindu yang hadir mendengar syarahannya.
Ini yang menyebabkan dakwah Dr. Zakir melalui pendekatan perbandingan agama amat memberi kesan kepada orang ramai. Akhirnya dengan hidayah Allah SWT, terdapat beberapa orang bukan Islam terbuka hati mereka untuk memeluk agama wahyu ini secara sukarela dalam setiap siri syarahannya.
Sehubungan itu tidak hairanlah, jika ada pihak-pihak tertentu berusaha menghentikan dakwah yang ingin disampaikan oleh Dr. Zakir. Di Malaysia, Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) sejak awal-awal lagi mahu kerajaan menghalang tokoh pendakwah antarabangsa itu daripada memasuki negara ini atas faktor mengancam keselamatan negara.
Selain Hindraf, seorang peguam, Siti Kasim atau nama penuhnya Siti Zabedah Kasim serta Asiah Abdul Jalil juga berada dalam kelompok mereka yang mahu Dr. Zakir diusir dari negara ini atas alasan sama.
Diajak berdebat dengan Dr. Zakir, takut pula. Sebab itu penulis bersetuju dengan pandangan seorang rakan sepejabat dalam satu artikelnya sebelum ini yang mana beliau yakin Siti Kasim tidak mampu berhadapan dengan insan bernama Dr. Zakir untuk berdebat meskipun dia seorang peguam.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Zakir pernah mengakui dalam satu temu bualnya bersama Mingguan Malaysia pada 23 April tahun lalu iaitu sebagai seorang popular apatah lagi sebagai pendakwah pasti akan ada musuh. Situasi itu pernah dihadapi oleh Rasulullah SAW ketika baginda diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikan risalah Islam kepada bangsa Arab.
Justeru katanya dalam temubual tersebut, seorang pendakwah tidak boleh terlalu mengikut perasaan sebaliknya perlu bertenang setiap kali berhadapan dengan kecaman serta penghinaan.
Berbalik kepada isu berkaitan Dr. Zakir terutama tentang tuduhan mengancam keselamatan negara, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung perbahasan Bajet 2018 bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat, 8 November lalu telah memaklumkan bahawa tiada sebarang bukti yang mengesahkan Tokoh Maal Hijrah 1435H/2013M itu terlibat dalam aktiviti mempromosi keganasan atau penggubahan wang haram seperti didakwa pihak tertentu.
Pengesahan itu dibuat selepas pihak KDN meneliti ucapan, ceramah serta video Dr. Zakir dan mendapati tiada satu pun ucapan beliau yang menggalakkan keganasan.
Justeru, kepada pihak-pihak yang tidak habis-habis menuduh Dr. Zakir mengancam keselamatan negara, cukup-cukuplah. Hentikanlah perbuatan tersebut. Jika ada persoalan sama ada di pihak Hindraf mahupun Siti Kasim silalah bertemu dengan Dr. Zakir secara gentleman dan berhujahlah dengan beliau secara ilmiah seperti mana yang disyorkan oleh Awang Selamat.
Penulis yakin Dr. Zakir sedia bertemu dengan mereka dan menjawab setiap persoalan yang dikemukakan dengan tenang, tiada emosi serta sarat dengan ilmu. Cuma penulis ingin berpesan kepada mereka, sekiranya mahu bertemu dengan Dr. Zakir dan berhujah dengannya, jangan datang tangan ‘kosong’.
Sekurang-kurangnya bacalah dahulu kitab agama masing-masing atau apa-apa sahaja sumber rujukan sebagai persediaan.
Amalan bulan Syaaban