Ini bukan kisah 'rojak' di tepi jalan, tetapi ini adalah kisah perjuangan membawa martabat bangsa melalui sukan sepak takraw. Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, menimang bola takraw dalam bulatan dengan menggunakan kaki atau kepala telah dimainkan.

Jika dikisahkan rentetannya selepas itu, dengan awalan Persatuan Sepak Raga Pulau Pinang yang menganjurkan persidangan wakil negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 1960 yang dihadiri wakil Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah dan Singapura maka tertubuhlah Persekutuan Sepak Raga Malaya/Malaysia pada masa itu.

Sejarahnya cukup hebat, apabila pada 2 Jun 1960, lahirlah Persekutuan Sepak Raga Malaya dengan nama besar seperti Khir Johari, Daud Meah, Hamid Mydin, Yusuf Latitf, Mohd. Said A Rahman, Zainal Abidin Mohd. Lati dan ramai lagi.

Mereka sepakat dan cukup bersatu hati dan pada 1962, bermulalah sejarah arena pertandingan sepak raga jaring antara negeri bagi merebut Piala Emas Khir Johari yang telah berlangsung di Stadium Negara Kuala Lumpur pada 27 dan 28 Disember.

Ketika itu Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang menyampaikan piala keagungan itu.

Masih jelas kata-kata Tunku Abdul Rahman; "Sepak raga bukanlah suatu permainan baharu di negeri kita ini bahkan ia telah dimainkan turun-temurun dari zaman datuk nenek kita. Kemenangan sahaja bukanlah menjadi tujuan dalam satu-satu pertandingan itu, kerana tujuan pertandingan itu diadakan ialah untuk membangkitkan kegemaran dan meninggikan darjah permainannya."

Mungkin sudah ramai yang terlupa, atas usaha gigih kepimpinan waktu itu, maka permainan ini pada julung kalinya dibawa ke peringkat antarabangsa melalui Sukan SEAP, di mana Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun 1965, sekali gus menyaksikan sepak raga jaring ditukar nama ke sepak takraw.

Tentulah ramai yang masih ingat, pasukan sepak takraw negara yang menyertai Sukan SEA di Jakarta pada 1979, berjaya merangkul pingat emas, sehingga meletakkan negara sebagai pasukan handalan Asia Tenggara.

Pada 1980, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada masa itu di bawah Tan Sri Samad Idris mengadakan pula siri pertunjukan di Republik Rakyat China, Korea Utara dan Hong Kong, sekali gus sukan ini menembusi minat dalam kalangan negara Asia itu.

Selepas itu, rentetan kejayaan bertambah, penaja semakin yakin dan Malaysia adalah pasukan yang amat digeruni dalam aksi peringkat antarabangsa. Ramai jaguh yang lahir, semangatnya tidak pernah pudar dan libasannya, jika direjam maka meledaklah lantai lawan.

Namun begitu kisah hebat ini ibarat cerita yang tersembunyi dalam sebuah buku sejarah. Ungkapannya tidak lagi diketahui ramai. Nyata, sepak takraw yang dibanggakan itu, diambil alih kuasa dan kehandalannya oleh anak yang pernah dididik suatu ketika dahulu.

Selepas dimalukan Korea Selatan pada Kejohanan Sepak Takraw Siri Super 1 Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di New Delhi, India, skuad negara diaibkan pula pada Sukan SEA 2013.

Kekalahan itu menyebabkan Malaysia hilang status sebagai satu 'kuasa besar' di rantau Asia Tenggara, sekali gus menghakis kedudukan di benua Asia.

Seperti mana kata Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan, Zamry Fareed Moh. Norden, suatu masa dahulu, musuh tradisi Malaysia hanyalah Thailand tetapi kini sudah mula dibayangi oleh kehebatan Indonesia, Myanmar dan Laos di Asia Tenggara.

"Malaysia semakin tercabar untuk mempertahankan statusnya sebagai satu kuasa besar di Asia selepas diancam hebat pendatang baharu, Korea Selatan, China dan Jepun.

"Sukan ini berada di landasan yang menyedihkan. Bila ada acara, tidak ramai lagi yang datang menonton seperti era 80-an dan 90-an. Pemain yang hebat semakin berkurangan. Pencapaian di peringkat antarabangsa pula tidak membanggakan," katanya di Seremban.

Kata Zamry Fareed, legasi dahulu sudah menghilang, sukan ini sebenarnya semakin menyepi, walaupun badan induknya menafikan dan mempertahankan dengan menegaskan sudah banyak program pembangunan dilakukan dalam melahirkan bakat dan pelapis mengisi barisan jaguh lampau.

"Badan induk perlu bertanggungjawab. Kurang kejohanan dan kurang publisiti, menjadikan sukan ini malap. Penaja besar 'lari' entah ke mana. Jika mahu melakukan transformasi, lakukan dalam persatuan dahulu. Kita tidak mahu, bila sudah hancur nanti, baru hendak melakukan perubahan," katanya.

Tegasnya, persatuan hendaklah melihat dalam konteks keseluruhannya, pembangunan serentak dan bukan hanya tumpukan kepada skuad elit semata-mata.

"Beberapa negeri sahaja yang aktif. Di sekolah sukan pula, pelajarnya tidak dipantau dengan baik. Selepas mereka tamat persekolahan, apa nasib dan masa hadapan mereka dalam sukan ini.

"Kejohanan peringkat kebangsaan juga kurang. Bagaimana pemain muda ini boleh mendapatkan pendedahan? Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada mereka yang lahir daripada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kerana pemainnya berusia 21 tahun ke bawah dan belum cukup pengalaman," ujarnya.

Bagi Zamry Fareed, kerja pentadbiran dan pemantauan yang dilakukan badan induk sepak takraw negara gagal dan yakin pentadbirnya akan menyalahkan persatuan negeri di atas kegagalan melahirkan pemain elit yang diperlukan negara.

Justeru katanya, amat perlu pada waktu ini, gerak kerja dalam badan induk sepak takraw diperbaharui dan mencerminkan sikap profesional, ikhlas dan jujur.

"Kita tidak nafikan wujud pusat latihan negeri dan daerah, malah struktur melahirkan bakat itu ada. Malangnya ia tidak dipantau dengan berkesan oleh badan induk ini. Jangan lepas pandang. Kita sudah cukup sedih melihat sukan ini tidak ada peningkatan.

"Kita mahukan penjenamaan semula, pembaharuan dalam pentadbiran dan pengurusan, kepimpinan berwajah baharu dan akhirnya, bersama-sama menggerakkan segalanya secara berpersatuan," tegasnya.

Kata Zamry Fareed lagi, sebagai badan induk sepak takraw, PSM juga dipertanggungjawabkan dalam apa sahaja yang berlaku dalam sukan ini kerana ia telah diberi mandat membawa nama baik negara di persada antarabangsa.

"Ini adalah amanah rakyat, jaga integriti dan perlu akauntabiliti. PSM perlu buat keputusan secara berpersatuan bukan secara berkelompok tertentu. Jalankan tugas yang diberi. Apa yang jelas, sukan sepak takraw tidak boleh menjadi mangsa disebabkan kecelaruan dalam pentadbirannya.

"Semangatnya perlu dipulihkan. Kita mahu lihat wajah baharu membawa hala tuju sukan ini kembali ke zaman kegemilangannya. Malu kita, ditewaskan oleh 'anak' yang pernah dididik dahulu. Malu kita, bila Malaysia diperkecilkan dalam sukan ini. Malu kita, sukan kebanggaan dirampas kuasanya oleh pihak lain," ujarnya.

Tegasnya lagi, dia amat menyokong hasrat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin supaya pemilihan PSM yang berlaku Sabtu ini dibuat dengan telus dan tanpa meragukan.

"Benar, selagi mana pemilihan itu dijalankan dengan tidak telus, selagi itulah usaha memulihkan sukan ini tidak akan kesampaian. Selagi itulah kelak akan ada suara yang mempertikaikannya.

"Hentikan kepentingan kelompok sebaliknya fikirkanlah kepentingan keseluruhan masa hadapan sukan berprestij ini. Cukuplah, nasib sepak takraw sudah lama ditangisi oleh peminatnya," kata Zamry Fareed.

PENULIS ialah bekas Pengarang Sukan Kosmo! yang juga Ketua Biro Utusan Malaysia Negeri Sembilan.