Mendengar kata-katanya itu membuatkan saya terus memandang kepada pinggan yang penuh dengan nasi, beberapa jenis lauk, kuih-muih dan beberapa gelas air - ada air panas, sejuk dan suam atas meja makan di depannya. Saya tersenyum. Melihat pandangan saya itu, dia tertawa. Mungkin faham apa yang saya sedang fikirkan.

Cakap pasal kurus ini juga mengingatkan saya tentang banyak post di laman sosial berkaitan ingin mengurangkan berat badan pada bulan Ramadan ini. Antara kata-kata yang popular - ‘tidurlah, mana tahu bangun esok kurus’. Memang ramai wanita berhajat untuk kurus semasa bulan puasa ini. Sebabnya, pada bulan ini kita kurang makan dan minum. Ini masa yang sesuai untuk menjadi kurus.

Tetapi mengurangkan berat badan bukan mengambil masa yang singkat. Perlu amalkan diet yang betul. Pada masa sama, ia juga memerlukan keazaman yang tinggi. Bukan setakat cakap-cakap di status laman sosial.

Ada kalanya, bila selalu mengulang cakap dan cerita yang sama hendak kurus di Facebook atau Instagram, ia bukan dipandang sebagai gurauan lagi oleh orang yang membacanya, kadang-kadang ada yang ‘rimas’. Carilah topik lain, kalau hendak buat lawak pun. Isu mahu kurus pun bukan isu mutlak wanita. Orang lelaki ramai juga yang gemuk. Tetapi mereka tidak bercakap mengenainya sangat. Mungkin bagi lelaki ada perkara atau isu lain yang lebih penting.

Namun begitu, pada saya, tidak boleh kurus, tidak apalah. Asalkan sihat. Jangan kurus pahala berpuasa dan kurus dompet kerana wang keluar seperti air untuk membeli segala persiapan menyambut Aidilfitri ini, sudahlah.

Kita ini bukan hanya mahu `hidup’ masa hari raya saja. Bulan-bulan seterusnya kebanyakan kita mempu­nyai komitmen membayar perkara-perkara wajib seperti ansuran kenderaan, rumah, bil elektrik, air, duit petrol, makan, duit persekolahan anak dan macam-macam lagi. Jika semuanya barang hendak ditukar baharu, ini membuatkan perbelanjaan rumah menjadi luar biasa.

Maka setiap kali menjelang hari raya banyak pihak sering mengingatkan, janganlah berhabis-habisan wang membuat persiapan raya. Berbelanjalah secara bersederhana. Ini memang biasa kita dengar. Tetapi ramai yang menganggapnya sebagai nasihat-nasihat biasa bila tiba­nya hari perayaan.

Dan ada juga memperlekehkan nasihat itu. Orang kaya, bolehlah beri nasihat. Yang tak berduit ini diminta berjimat cermat. Tetapi yang mengadu tidak berduit itulah juga boleh pula berbelanja besar.

Dan ramai juga menafikan mereka membazir. Masing-masing mempertahankan mereka berbelanja ala kadar, kononnya sedar tentang keadaan ekonomi negara yang tak berapa bagus. Tetapi dalam kata sedar itu, setiap minggu sepanjang bulan Ramadan, membeli-belah tidak habis-habis. Betulkah tidak membazir? Dalam erti kata lain, membeli hanya yang perlu sahaja.

Baru-baru ini saya mendengar di radio, seorang wanita menceritakan tentang persiapan rayanya. Katanya, dia sudah menyiapkan baju raya sejak awal lagi. Baju raya bagi setiap ahli keluarganya dari raya pertama dan kedua sudah dibeli. Yang belum lagi baju untuk hari raya sete­rusnya. Bukan setakat baju untuk menziarahi sanak-saudara, baju tidur pun kena baharu juga.

Memang betul, golongan wanita adalah orang yang paling sibuk menjelang hari raya ini. Merekalah yang menyediakan persiapan itu dan ini. Oleh itu, wanita mesti bijak dalam berbelanja dan mengawal perbelanjaan keluarga.

Orang kata, ukur baju di badan sendiri. Kalau mampu memang tiada salahnya. Tetapi yang sering kita de­ngar, bila tiba pertengahan bulan Syawal saja, ramai yang mengeluh duit sudah habis. Raya memang setahun sekali. Tetapi tidak perlulah kesan berhabis-habisan itu membawa kepada beberapa bulan atau makan tahun.

Maka di bulan Ramadan yang tinggal beberapa hari saja ini, apa yang sebenarnya sudah kurus? Dompet, susuk badan atau mungkin juga kesabaran?