Semalam, 1 April genap dua tahun pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan di Malaysia. Tidak siapa meraikannya. Hidup kita berjalan seperti biasa, dan bayar barangan atau perkhidmatan yang dikenakan GST. Mahu tak mahu terpaksa juga beli.

Pada mulanya memang ‘bising’ sana sini orang ramai merungut dan komplen tentang harga yang meningkat di sebalik kata-kata yang menjamin harga barangan dan perkhimatan akan turun ketika GST.

Sekarang pun bukan tidak ada ‘bising’, tapi semua sudah malas untuk memperkatakannya. Terimalah hakikat kita pun kena bantu kerajaan untuk mengumpul dana. Banyak atau sedikit kita kena bayar GST, bergantung berapa banyak kita keluarkan belanjanya. Kalau nak bayar GST sikit, jangan beli banyak. Itu sahaja. Kalau mahu barang lebih, kena bayar lebih.

Tak ada pula kita dengar selepas dua tahun GST dikenakan pada barangan dan perkhidmatan yang ditetapkan kena cukai, rakyat hidup sengsara, mati kebuluran. Kalau hidup merana tak cukup makan, ada pihak tampil hulur bantuan. Yang penting beritahu masalah dan di mana mereka yang hidup sengsara itu. Ada yang akan datang membantu.

Ada sesetengah orang politik menyebar cerita rakyat di semua peringkat sangat tertekan dalam menghadapi kehidupan seharian yang ‘dijerut’ dengan cukai ini. Pelaksanaan GST telah menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan naik mendadak dari semasa ke semasa terutama barangan keperluan harian.

Pada saya, harga barang keperluan harian memang naik berbanding dahulu tapi tentang kesengsaraan rakyat tidak begitu tepat. Masih ramai yang kita lihat boleh ke tempat hiburan, boleh bawa ahli keluarga makan di restoran mewah atau restoran makanan segera. Musim cuti sekolah boleh pandu kereta bawa keluarga bercuti atau balik kampung halaman.

Tak ada pula mereka mengeluh tentang GST. Sebenarnya masyarakat kita sudah serap GST dalam kehidupan seharian mereka.

Mahu buat macam mana, ke­na ikut kehendak pemerintah. Ha­kikatnya mana ada kerajaan yang mahu menyeksa rakyatnya hidup menderita.

Bila teringat akan GST dan har­­ga barang, nama bekas Tim­balan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan akan disebut-sebut. Memanglah kalau ikut teori harga barangan boleh tu­run dengan GST. Masalahnya, semua orang tahu bahawa para pengedar dan peniaga awal-awal sudah menaikkan harga barangan sebelum tarikh penguatkuasaan GST pada 1 April 2015.

Memang ada kelemahan, dan para peniaga bijak memanipulasi keadaan ini. Itu cerita dua tahun le­pas sebab pihak penguat kua­sa tidak memantau harga la­ma sebelum dan semasa GST di­kuat­kuasakan.

Menipu

Kalau kita sebagai pengguna rasa tertipu dengan kenyataan Ahmad Mazlan itu, kenapa kita tidak marahkan para pemborong dan peniaga yang tidak jujur ter­hadap harga barangan. Golongan kapitalis ini yang telah menipu kita semua. Tapi yang kena maki hamun ialah para pemimpin kerajaan.

Apa pun dalam keadaan ketidaktentuan situasi ekonomi dunia sejak dua tahun lalu, GST banyak membantu ekonomi kita. Walaupun banyak pihak peniaga yang cuba mengelat, pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya juga memungut hasil kutipan GST yang menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak RM27.012 bilion pada 2015 dan dianggarkan kerajaan memperoleh RM38.5 bilion pada 2016. Kalau semua peniaga jujur, mungkin lebih banyak kutipan boleh dikumpul.

Bayangkanlah dalam laporan akhbar pada Februari lalu mendedahkan 200,000 syarikat di seluruh negara dikesan menipu penyata GST – ini susulan audit Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Golongan peniaga jenis ini bukan sahaja memperdaya kerajaan tetapi juga kita semua sebagai pengguna. Mereka menggunakan alasan GST untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan tetapi tidak takut pula ‘mencuri’ duit cukai yang pengguna bayar.

Sebenarnya, sikap lari dan menipu daripada bayar cukai dalam kalangan peniaga ini yang menyebabkan GST diperkenalkan. Bila sudah dikuatkuasakan GST pun, mereka mahu menipu kita semua.

Golongan peniaga tamak yang mencuri wang GST itu patut didenda sebagaimana hukuman yang ditetapkan. Jangan diberi muka. Biar rakyat lihat dan menilai sendiri perbuatan para peniaga tamak itu.

Kita minta kepada ahli-ahli politik, jangan terpedaya dengan para peniaga yang menaja aktiviti politik mereka dengan menyemai pelbagai tohmahan dan kebencian terhadap kerajaan.

Oleh sebab perbuatan merekalah rakyat terpaksa membayar harga yang lebih mahal untuk GST sedangkan caj cukai sepatutnya sudah dikira sekali dalam harga barangan atau perkhidmatan.

Rakyat sudah diperdaya dua kali oleh peniaga tamak itu. Kali pertama bila pengguna bayar harga barangan atau perkhidmatan termasuk harga cukainya. Kali kedua bila wang GST yang dibayar tidak dimasukkan ke dana awam kerajaan. Semua wang itu dimasuk ke dalam guni peniaga yang tamak itu.

Inilah hakikat yang berlaku dalam tempoh dua tahun GST dikuatkuasakan. Penguatkuasaan peraturan dan undang-undang kenalah tegas. Jangan berlembut yang akhirnya rakyat akan salahkan kerajaan.

Pastikan 2017, kami tidak ditipu untuk tahun ketiga GST.