Terdapat beberapa lagi kelebihan yang dirasakan tiada di negara lain, antaranya, orang miskin dan anak yatim di negara ini hanya memerlukan bantuan untuk sebulan sahaja manakala baki 11 bulan lagi cukup dengan sekadar melontarkan rasa simpati sahaja. Dalam perkataan lain, seolah-olah golongan memerlukan itu amat hebat iaitu hanya perlu makan sebulan tapi mampu kenyang hingga 11 bulan.

Itulah yang berlaku kepada segelintir umat Islam di negara ini. Mungkin kerana ingin mengambil berkat kemuliaan Ramadan, maka berduyun-duyun dan berpusu-pusu pelbagai pihak sibuk menghulurkan segala jenis bantuan, tidak cukup dengan publisiti dalam akhbar turut dimaksimumkan segala platform media sosial termasuk siaran secara langsung.

Perlu diakui memang ada yang ikhlas dan konsisten menghulurkan bantuan sepanjang tahun namun pada masa sama ada juga yang cukup susah hati jika inisiatif mereka itu tidak diuar-uarkan kepada umum. Jika ada silau kamera, lagi hebat lakonannya. Keredaan siapa sebenarnya yang ditagih?

Hebatkan umat Islam di negara ini? Ramai daripada mereka seperti menangguhkan kerja-kerja berpalitkan dosa kerana kononnya menghormati Ramadan. Apabila berakhirnya bulan mulia itu, ia seperti lesen kepada segelintir untuk kembali melakukan perangai-perangai buruk dan dosa-dosa lama.

Jika bulan lalu solatnya lekat lima waktu, kini sudah jadi rongak. Kaki dedah aurat pula sudah mula menyimpan elok tudung dan baju-baju sopan dalam almari, hanya akan digunakan semula apabila ada kematian atau jika dipanjangkan umur, insya-Allah pada Ramadan tahun depan. Kumpulan yang sebelum ini amat rapi menutup mulut daripada mengumpat dan mengadu domba, mula mengaktifkan saluran rangkaian masing-masing.

Mereka ini amat hebat kerana mampu tawar-menawar dengan perintah Allah. Mungkin juga dianggapnya Allah dan perintah-Nya hanya berkuatkuasa pada bulan Ramadan sahaja, baki bulan-bulan lain diberikan pengecualian atau kelonggaran untuk membuat dosa.

Terdapat satu analogi mudah untuk direnungi bersama. Seorang jutawan yang memiliki kekayaan maha banyak (utara, selatan, timur barat semua miliknya) singgah selama sebulan di kampung kita. Setiap saat, masa dan hari diberikan pelbagai ganjaran yang tidak terperi banyaknya kepada setiap penduduk tanpa seorang pun dibezakan. Apa yang menguntungkan langsung tidak diminta sebarang balasan, hanya perlu tunduk menghormatinya sahaja.

Semua penduduk amat gembira, tambahan pula pada 10 hari terakhir di kampung berkenaan, jutawan itu berjanji akan memberikan bonus berlipat ganda kepada setiap penduduk yang istiqamah menghormatinya.

Apabila cukup masa sebulan, jutawan itu mula berangkat pergi dan rata-rata penduduk bersedih tetapi pada masa sama mengharapkan jutawan itu agar kembali lagi singgah di kampung mereka.

Secara logiknya pada perkiraan manusia yang normal pasti tidak mahukan jutawan itu meninggalkan kampung mereka. Jika ada yang langsung tidak menghargainya, apakah status pemikirannya, waras atau sebaliknya?

Maaf untuk diungkapkan, kadang-kadang terdapat umat Islam berfikiran sempit seperti segelintir penduduk kampung berkenaan yang tidak menghargai kedatangan jutawan itu. Mungkin bagi mereka kelibat dan keha­diran jutawan itu menyusahkan hidup mereka. Yang rugi adalah kita, jutawan itu atau nama penuhnya ‘Ramadan’ langsung tidak terjejas.

Baru-baru ini semasa memandu balik untuk meraikan Aidilfitri di kampung, penulis terkedu apabila mendengar reaksi spontan seorang selebriti apabila diminta memberikan ucapan sempena raya oleh penyiar sebuah rancangan radio.

“Yes, Ramadan akan habis, kita akan beraya setelah penat-penat berpuasa, letih tau tidak boleh makan minum ni.”

Alahai! Dangkalnya.