Bahasa mudah, bagaimana mungkin sesebuah bangunan itu akan sempurna jika sebahagian struktur utamanya tidak lengkap. Hakikat ini mempunyai sedikit kaitan de­ngan kehidupan kita, sama ada disedari atau sebaliknya.

Anda sedang membaca Dimensi kali ini? Alhamdulillah bermakna semua masih hidup. Kita semua wajib ­bersyukur kepada Allah kerana masih diberikan ke­sempatan untuk berada dalam bulan Ramadan.

Berapa ramai rakan dan kenalan yang dijemput lebih awal oleh Allah dan tidak sempat ‘menyentuh’ bulan mulia ini. Jadi, ja­ngan sesekali berlagak sombong, manfaatkan sepenuh­­n­ya Ramadan untuk mengumpul sebanyak mungkin bekalan untuk akhirat kelak.

Apabila memperkatakan mengenai Ramadan, terdapat satu ibadah yang cukup sinonim dengan bulan ini iaitu zakat fitrah. Rasanya umat Islam tiada masalah untuk membayarnya. Namun, apa yang menjadi masalah ialah apabila ada yang menganggap hidup sebagai orang Islam menjadi sempurna selepas melunaskan zakat fitrah pada Ramadan. Asas mereka ialah Rukun Islam - syahadat, solat, puasa, zakat dan haji.

Mereka terlupa selain zakat fitrah terdapat juga zakat pendapatan. Cuba semak diri masing-masing atau anak-anak, saudara mara, rakan satu pejabat, adakah zakat pendapatan dibayar?

Terdapat segelintir umat Islam yang menganggap zakat pendapatan tidak wajib ditunaikan melainkan mereka benar-benar kaya dan berstatus jutawan. Adakah betul-betul tidak tahu atau sengaja buat tidak tahu. Mereka amat salah jika malas ambil berat, pihak berkuasa zakat perlu jadikan­nya sebagai sumber inspirasi untuk lebih kerap turun padang. Ada menganggap rugi bayar zakat kerana bakal mengurangkan pendapatan, ia betul jika mengikut sifir mudah berdasarkan kepada rasional akal semata-mata. Memetik kata-kata Imam al-Ghazali, akal umpama penglihatan sempurna manakala al-Quran dan hadis pula um­pama matahari yang menyinari alam. Melalui kesemua­nya, seseorang itu memperoleh hidayah dan panduan.

Seseorang yang mengambil satu daripadanya, maka dia tergolong dalam kalangan yang rugi. Orang yang menolak akal iaitu berpegang hanya dengan al-Quran dan hadis sahaja adalah sama dengan mereka yang mendapat cahaya matahari tetapi menutup mata, maka dia tiada bezanya dengan orang buta.

Terdapat juga segelintir yang mengambil pendekatan mudah, iaitu jika ada pemulangan balik (refund) daripada pembayaran cukai pendapatan barulah ia digunakan untuk membayar zakat pendapatan. Rendahnya nilai zakat!

Malangnya, selepas melihat sejumlah wang (lebihan) dimasukkan ke dalam akaun, niat asal itu (bayar zakat) semuanya ‘ke laut’ akhirnya telefon canggih terkini atau sport rim pula yang menjadi pengganti.

Penulis bukannya ustaz untuk berkhutbah, tetapi ada sedikit maklumat untuk dikongsikan bersama. Individu yang liat membayar zakat khususnya zakat pendapatan bermakna mereka telah memakan harta orang lain! Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah:103, mafhumnya, bahawa: Dalam setiap harta yang dimiliki itu sebahagian daripadanya adalah milik asnaf.

Sebenarnya bahagian itu tidak banyak pun hanya 2.5 peratus daripada pendapatan setelah ditolak segala ­keperluan diri dan keluarga yang dibenarkan syarak. Formulanya senang, jika lebihan pen­dapatan RM10,000, ha­nya RM250 sahaja wajib dikeluarkan zakat.

Tanggapan keluarkan zakat sesuatu yang merugikan adalah salah kerana maksudnya dari segi bahasa ialah bersih, suci, subur, berkat dan berkembang, sekali gus membawa maksud tersirat membersihkan harta dan diri orang kaya daripada sifat bakhil.

Perintah zakat ini bukannya dikeluarkan oleh Sultan atau Perdana Menteri tetapi oleh Pemilik Alam Semesta. Malah jika manusia tidak bayar zakat ia langsung tidak menjejaskan kekayaan-Nya. Setiap rezeki yang diperoleh manusia adalah kurniaan mutlak Allah, jadi handal sa­ngatkah kita untuk melawan perintah Allah?