Zalim dalam bahasa orang berilmu iaitu meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Bila kita melabel seseorang atau kumpulan sebagai zalim tanpa hujah yang sahih dan benar, kezaliman itu dibimbangi akan kembali semula kepada kita. Seperti juga kita menuduh seseorang itu kafir sedangkan kekafiran itu tidak terhubung dengannya, kekafiran itu akan kembali kepada yang menuduh. Itu peringatan Rasulullah SAW.

Label zalim ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya terutama apabila seseorang itu mempunyai sifat dendam dan benci yang mendalam. Hasilnya kita tidak melakukan keadilan. Keadilan adalah kunci utama mendepani kezaliman. Untuk mencapai tahap adil, pertimbangan telus dan tulus harus menjadi sandaran.

Bila kita menerima suatu perkhabaran terutama dalam kalangan orang yang fasik lakukan pemeriksaan (tabayyun) supaya wujud kebertanggungjawaban terhadap maklumat dan berita berkaitan (al-Quran: Al Hujurat: 6). Akibat menerima dan menyebarkan berita tidak benar, ia boleh menyebabkan permusuhan, fitnah berlaku, ukhuwah hilang dan perpecahan sesama umat terjadi.

Kenangkan sejarah yang berlaku di zaman Andalusia, Uthmaniah, Umayyah dan Abbasiyyah yang menyebabkan kekuatan Islam akhirnya runtuh. Baghdad dikuasai tentera Mongol yang zalim dan kelompok Kristian me­lakukan kezaliman sama di Sepanyol terhadap orang Islam.

Kini Syria, Iraq, Libya, Palestin dan banyak lagi negara Islam sedang dizalimi berpunca daripada perpecahan berlaku dan kezaliman sesama sendiri yang terjadi. Akibatnya musibah serius mengambil tempat.

Terdapat pihak atau kumpulan yang mudah melabel orang lain zalim tanpa asas yang konkrit. Lalu timbul rasa kebencian mendalam dan dendam kesumat yang tidak berkesudahan. Ini menghasilkan permusuhan sesama Islam, ukhuwah yang menipis dan akhirnya umat menjadi lemah kerana jalan meleraikannya sukar dicari. Tidakkah perbuatan sebegini zalim namanya? Kezaliman yang dilontarkan kepada pihak lain tanpa asas yang kukuh kembali pula kepada pelontarnya.

Yang sangat penting dipertahankan ialah kebenaran. Al-Quran memberi pedoman watawa saubil haq, watawa saubissabr (Al Asr) menegakkan kebenaran mesti dilakukan dengan sabar. Menyerap kesabaran adalah suatu ka­edah terbaik dalam mencari kebenaran. Ia menuntut kecermatan dalam menilai sesuatu yang terjadi, menentukan salah benar berlaku, latar mengenai sesuatu kesangsian diteroka dan jawapan terhadap kemusykilan diperoleh secara berhemah.

Bila proses tabayyun tidak berlaku dan ia ditularkan kepada khalayak pula bermakna kita sudah terjebak de­ngan kezaliman. Bayangkan kita menuduh seseorang ke­rana kepentingan peribadi atau kepentingan tertentu dan mempengaruhi orang lain dengan tuduhan itu tanpa asas yang kukuh amat dibimbangi ia melakukan kezaliman dan berdosa.

Fikirkan berapa banyak dosa yang bakal ditanggung sekiranya ribuan warga maya (netizen) menerimanya dan mempercayainya pula. Inilah budaya fitnah yang sedang dianut walaupun syahadahnya merujuk kepada Allah dan Rasulullah SAW.

Sebagai umat Islam, jiwa takwa seharusnya dijiwai supaya rasa kegentaran terhadap balasan Allah dirasai. Orang yang bertakwa dipedoman fikir dan hatinya supaya berada di landasan benar. Apa yang difikir, apa yang dirasa, apa yang ditulis dan disebarkan sentiasa dalam pertimbangan Allah Maha Tahu akan segalanya sama ada ia benar atau sebaliknya.

Bayangkan jika yang difikir adalah perkara yang buruk, yang terbetik dalam hati akibat rasa dendam dan benci, yang dicakapkan sifatnya persepsi dan fitnah, yang ditulis terkandung maklumat yang palsu dan yang disebarkan hal-hal yang belum diyakini benarnya, ia meletakkan kita tidak berada dalam takwa dan terjebak de­ngan kezaliman.

Sebab itu, antara sifat mulia Rasulullah SAW ialah benar (siddiq) dan amanah. Sifat ini menyebabkan Rasulullah SAW menjadi contoh kepada manusia lain supaya ia dijadikan ikutan. Rasulullah SAW memiliki jiwa muttaqeen yang tinggi dan menyebabkan pekertinya terbentuk de­ngan sifat tabligh atau menyampaikan yang benar dan memperingatkan manusia jangan melakukan kezaliman.

Sebagai umat Nabi Muhammad apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sewajarnya menjadi ikutan dan ­teladan kerana itulah amalan Islam yang menjadi pedoman bagi orang yang beriman. Orang yang beriman memahami akan maksud dosa pahala, maaruf mungkar, zalim benar dan tulen palsu.

Dorongan nafsul amarah bissuk (nafsu yang jelik) boleh menyebabkan manusia terdorong melakukan kezaliman terhadap orang dan pihak lain hingga menyebabkan fitnah subur di tengah-tengah masyarakat.

Inilah penyakit akhir zaman yang mana kezaliman terhadap diri dan orang lain mudah berlaku, ukhuwah semakin hilang, permusuhan menjadi-jadi dan akhirnya umat Islam di mana-mana terjebak dengan budaya fitnah yang meratah sendi umat Islam itu sendiri.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).