Kemeriahan juga dapat dirasakan di masjid-masjid atau surau-surau yang memperhebatkan program pengisian Ramadan terutama untuk 10 malam terakhir. Masjid dan surau ‘hidup’ sepanjang malam dengan aktiviti berbuka puasa, solat tarawih hinggalah kepada program qiamullail yang diadakan pada dini hari.

Salah satu lagi keseronokan yang dapat dirasai setiap kali tiba musim hari raya ialah kemunculan banyak iklan komersial hari raya dalam media elektronik dan media sosial. Kalau dahulu terhad kepada iklan dalam kaca televisyen dan radio sahaja, zaman teknologi maklumat ini macam-macam video bertemakan hari raya dapat ditonton.

Syarikat-syarikat korporat sama ada yang besar atau kecil berlumba-lumba memuat naik klip video atau video pendek bertemakan sambutan hari raya masing-masing dalam Youtube, Facebook dan Instagram. Ada pelbagai tema diungkap seperti kemeriahan sambutan hari raya zaman dulu-dulu, kisah benar, kisah peribadi, kasih ibu dan ayah, kekeluargaan, pengorbanan, tradisi bermaaf-maafan serta kenangan manis atau sedih di hari lebaran. Di sebalik pelbagai tema yang mungkin lucu, mencuit hati atau ­menyedihkan itu dan sedikit sebanyak sudah tentu bersangkut paut dengan produk masing-masing, tersirat mesej yang begitu mendalam kesannya.

Untuk sambutan hari raya tahun ini kecenderungan syarikat-syarikat korporat menghasilkan iklan-iklan hari raya berterusan dan menjadi-jadi. Bukalah YouTube sebagai contoh ada berpuluh-puluh iklan raya dengan pelbagai tema. Ada yang berkualiti hebat, sederhana dan boleh tahan. Seperti biasa antara tema popular adalah yang berkisar kepada cerita sedih meruntun jiwa dan perasaan.

Tahun ini penulis tertarik dengan iklan hari raya TNB. Se­perti sambutan sebelum ini syarikat utiliti nasional ini tidak pernah menghampakan. Kali ini video pendek ini membawa tajuk ‘Rumah Epik Fantastik.’ Vi­deo ini menceritakan suasana persiapan menyambut Aidilfitri bagi sebuah keluarga besar di sebuah kampung. Kemeriahan suasana bermula apabila anak cucu dan saudara mara jauh dan dekat mula tiba untuk beraya. Laman rumah kampung yang luas itu dipenuhi dengan kenderaan dan suasana mula menjadi riuh rendah sepanjang hari siang dan malam.

Seorang rakan sekerja ketawa terkekek-kekek menonton video ini. Menurutnya dia sudah berpuluh kali mengulang tonton iklan tersebut. Katanya, iklan itu menjentik kenangan beraya di rumah orang tua di Pantai Timur.

Dia datang daripada sebuah keluarga besar, 10 adik beradik. Apa yang dipersembahkan dalam iklan TNB ini ialah realiti yang berlaku dalam keluarganya. Sesekali dia sebak bila mengenangkan keindahan satu keluarga besar menyambut hari lebaran de­ngan penuh meriah walaupun secara sederhana sahaja. Tradisi itu menurut rakan penulis masih berterusan sehingga ke hari ini.

Kepada sesiapa sahaja yang masih mempunyai orang tua di kampung, iklan ini sangat dekat di hati. Video ini menceritakan realiti yang berlaku. Suasana sibuk dan meriah kerana semua orang mengambil bahagian dalam membuat persiapan. Waima kanak-kanak dan anak kecil pun ada sahaja tugas dan peranan yang membolehkan mereka turut serta. Cuma yang berbeza sedikit sekarang ini, orang muda, kanak-kanak atau anak kecil lebih berminat menelaah gajet daripada bermain tembak-tembak, perang-perang atau melayan anak patung Ultraman!

Semuanya dilakukan dalam suasana gembira, ukhuwah, semangat kerjasama, toleransi dan kasih sayang. Persiapan menyambut raya menjadi begitu lancar dalam suasana sedemikian. Rumah yang tidak sebesar mana itu seolah-olah boleh memuatkan sesiapa sahaja dan riuh rendah de­ngan kegembiraan sepanjang hari.

Sampai bilakah suasana seperti yang digambarkan dalam video Rumah Epik Fantastik ini dapat dipertahankan, tidak dapat dipastikan. Perubahan zaman menyaksikan perubahan cara hidup lebih-lebih lagi apabila usia meningkat tua dan kampung halaman sudah ‘ditinggalkan’ kerana sudah tidak ada sesiapa lagi di sana. Kota dan bandar-bandar besar bertukar sudah menjadi ‘kampung halaman’ sebenar bagi anak-anak mereka yang lahir dan membesar di kota.

Kalaupun pulang, sebahagian lebih suka mengambil hotel atau menyewa inap desa daripada tidur di rumah orang tua. Bukan apa sesetengah daripada mereka mempunyai jumlah ahli keluarga yang besar, anak, menantu dan cucu. Rumah orang tua pula sudah tidak mampu menampung ahli keluarga yang ramai sehingga berpuluh-puluh orang apatah lagi ketika semua adik beradik lain pulang beraya serentak.

Bagaimanapun apa yang dipertontonkan dalam Rumah Epik Fantastik akan terus subur selagi setiap orang ada kemahuan untuk menghidupkan tradisi me­nyambut hari raya seperti yang dirasai oleh Arif dan neneknya.