Ia bersempena projek penyiasatan merentasi sempadan melibatkan Kumpulan Utusan dan dua media utama Australia bagi mengupas isu eksploitasi terhadap buruh haram di ladang-ladang.

Laporan mengenai isu yang berlarutan itu telah dibuat pelbagai media Australia sebelum ini namun projek kami jauh lebih istimewa kerana itulah kali pertama wartawan berjaya menyelinap dalam pasaran gelap buruh dengan menyamar sebagai pekerja ladang.

Memori hari pertama 'bekerja' masih segar dalam ingatan. Kebetulan pada pagi Jumaat itu, lokasi bertugas saya bersama kira-kira 70 buruh haram Malaysia betul-betul terletak di depan rumah ladang yang saya diami bersama 11 penghuni yang lain.

Australia
BEBERAPA penyelia memberi penerangan kepada sekumpulan pekerja dari Malaysia sebelum memulakan tugasan di ladang Cutri Fruit Swan Hill, Victoria, Australia.

Selama lapan hari saya menjalani kehidupan serba kekurangan di rumah itu. Dalam tempoh tersebut, empat hari saya membanting tulang empat kerat di ladang nektarin dan pic milik Cutri Fruit sambil mengumpul maklumat mengenai perhambaan dunia moden melibatkan rakyat Malaysia yang berlaku secara sistematik.

Pencapaian utama projek penyiasatan itu adalah rakaman 'pengakuan' seorang pengurus kanan Cutri Fruit yang secara tidak langsung menunjukkan beliau sebenarnya menyedari kontraktor pembekal pekerja yang dilantik menggunakan buruh haram.

Malah, geran rumah yang saya diami menunjukkan ia dimiliki oleh Cutri Fruit - pengeluar buah biji keras (stone fruit) utama di Australia dan membekalkannya kepada rangkaian tiga pasar raya terbesar negara itu.

Laporan mengenainya disiarkan secara serentak oleh Utusan Malaysia, beberapa akhbar utama yang bernaung di bawah Fairfax Media dan rancangan 7.30 Report, Australia Broadcasting Corporation (ABC). Bagaimanapun dalam reaksi segera, Cutri Fruit menafikan penglibatan mereka dengan buruh haram. Pendedahan itu menggem­parkan Australia dan turut dipetik oleh beberapa media antarabangsa.

Namun di Malaysia ia lebih banyak mengundang kecaman, makian dan cemuhan netizen selepas berita mengenainya tular di laman media sosial.

Serangan

Saya yakin serangan itu dimulakan oleh pihak-pihak berkepentingan dari Malaysia yang terjejas dengan pendedahan berkenaan. Saya dilabel sebagai pengkhianat dan menutup periuk nasi ribuan anak Malaysia yang mencari makan (secara haram) di ladang-ladang buah dan sayur di serata Australia.

Saiful Haizan ketika menyamar sebagai pekerja haram di Australia
Saiful Haizan ketika menyamar sebagai pekerja haram di Australia

Ini kerana pihak berkuasa telah menggempur Swan Hill dan kawasan lain serta menahan ratusan buruh haram dari Malaysia diikuti penghantaran balik ke tanah air. Bertali arus mesej cercaan dihantar melalui inbox Facebook. Ada yang ke peringkat ugutan bunuh dan ia sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan saya.

Dan kerana laporan itu jugalah saya kembali ke Melbourne semalam. Bukan sebagai buruh haram tetapi atas tiket saksi pakar pendengaran awam bagi merintis jalan ke arah penggubalan akta baharu iaitu Modern Slavery Act yang akan berlangsung di Alfred Deakin Centre, Mildura, esok.

Pendengaran itu dikendalikan oleh Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Luar Negara dan Bantuan Parlimen Australia yang dipengerusikan ahli Parlimen, Chris Crewther.

Pelbagai organisasi dan saksi pakar dipanggil untuk memberi keterangan serta cadangan. Salah satu slot selama 45 minit telah diberikan kepada Kumpulan Utusan.

Laporan Saiful Haizan turut dilaporkan oleh media Australia
Laporan Saiful Haizan turut dilaporkan oleh media Australia

Prosidingnya akan bermula dengan kenyataan pembukaan daripada saksi selama kira-kira lima minit diikuti sesi soal jawab bersama ahli jawatankuasa.

Dalam proses itu, saksi diminta mengemukakan pandangan dan cadangan untuk menangani masalah perhambaan dunia moden yang berlarutan di Australia. Dalam merintis jalan ke arah penggubalan Modern Slavery Act, Parlimen Australia meneliti beberapa terma rujukan, antaranya merangkumi penyelesaian muktamad melalui penggubalan Modern Slavery Act 2015

Secara ringkas, antara aspek yang diberi tumpuan ialah sifat dan tahap perhambaan moden (termasuk perhambaan, buruh paksa dan eksploitasi upah, perhambaan tanpa kerelaan, pemerdagangan manusia, 'mengikat' dengan hutang, perkahwinan paksa dan eksploitasi berbaur perhambaan yang lain) baik di Australia dan di peringkat global.

Turut diberi tumpuan ialah tahap amalan perhambaan moden di dalam rantaian bekalan domestik dan antarabangsa oleh syarikat, perniagaan dan organisasi yang beroperasi di Australia. Jawatankuasa itu juga mahu mengenal pasti amalan antarabangsa terbaik oleh kerajaan, syarikat, perniagaan dan organisasi dalam mengekang perhambaan dunia moden dengan tujuan mengetatkan perundangan Australia.

Lebih menarik, kebanyakan terma rujukan itu sudah banyak dijawab Utusan Malaysia dalam siri laporannya berhubung isu buruh haram setahun yang lalu.

Australia

Seorang pekerja Malaysia berehat di bawah pokok selepas hampir pitam akibat cuaca panas sewaktu bekerja di sebuah ladang di Swan Hill, Australia.

Dalam sesi pendengaran awam esok, Kumpulan Utusan akan membuat beberapa cadangan yang pastinya berpihak kepada kepentingan rakyat Malaysia.

Skop cadangan yang bakal dikemukakan bagaimanapun hanya menjurus kepada isu buruh haram di ladang. Bagi mengukuhkan hujah, Kumpulan Utusan akan dibantu secara pro-bono (percuma) oleh seorang peguam rakyat Malaysia yang menetap di Melbourne, T. Vicknaraj.

Semoga usaha ini membuahkan hasil yang positif iaitu kelulusan satu akta baharu yang amat tegas untuk menamatkan isu perhambaan dunia moden di Australia dan pada masa sama membawa khabar gembira buat rakyat Malaysia yang berhasrat bekerja di ladang secara sah.

Australia
Saiful Haizan mendapati berlaku perhambaan moden ke atas pekerja-pekerja haram di ladang-ladang Australia

Mempertahankan kepentingan rakyat bukanlah sesuatu yang asing buat Kumpulan Utusan. Pendedahan mengenai nasib pekerja ladang di Australia menterjemahkan ketabahan, keyakinan dan komitmen Kumpulan Utusan dalam mempertahankan kepentingan rakyat, di mana sahaja termasuk di luar negara.

Saya di atas kapasiti peribadi turut berharap pihak berkuasa Malaysia dapat mempercepatkan tindakan terhadap kumpulan yang terlibat dalam isu ini di dalam negara khasnya ejen-ejen yang menghantar buruh haram untuk bekerja di ladang-ladang di Australia kerana ia merupakan jenayah pemerdagangan manusia.

Namun saya harus realisitik dengan mengambil kira kemungkinan pihak berkuasa memerlukan lebih banyak masa lebih banyak masa untuk membuat siasatan rapi agar pihak yang terlibat tidak terlepas.