Baginya, Malaysia walaupun sebuah negara yang mempunyai latar belakang penduduk berbilang kaum dan perbezaan anutan agama, namun dapat diurus de­ngan baik dan berkesan sehingga menghasilkan suasana makmur dan stabil sejak berabad lalu.

Sementara itu, sekitar penghujung November lalu, telah diadakan pula satu seminar peringkat ASEAN yang dinamakan Khayr Ummah Conference 2017, juga bertempat di ibu negara Kuala Lumpur.

Seminar itu ditaja sepenuh­nya Kerajaan Arab Saudi melalui kelolaan Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan negara itu dengan kerjasama beberapa pihak di Malaysia termasuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Universiti Teknologi Mara (UiTM), pertubuhan Al-Khaadem dan pertubuhan ilmuwan Malaysia (iLMU).

Kerajaan Arab Saudi menaja pengelolaan seminar itu sebagai menyokong usaha Malaysia mempromosikan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan di rantau ASEAN bagi membina penyatuan ummah secara sihat dan saling memperoleh manfaat bersama. Dan khabarnya, negara itu akan terus mengadakan seminar seumpamanya, juga di Malaysia tahun depan.

Khabarnya juga, sekumpulan profesor dari Arab Saudi sedang membuat perancangan untuk mengadakan satu seminar yang bakal dinamakan Conference of Islamic Civilazation di Kuala Lumpur, dijadualkan sekitar April 2018.

Dalam masa sama, delegasi dari Malaysia juga sering dijemput menghadiri mana-mana se­minar mengenai hal ehwal Islam yang diadakan di Arab Saudi.

Terbaharu, Malaysia diajak berbincang bagi membantah keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Berkaitan hal itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini memaklumkan bahawa beliau telah dihubungi Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sendiri yang memintanya agar menghadiri persidangan khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul kerana suara Malaysia dianggap cukup penting dalam isu tersebut.

Najib berikrar akan membawa suara umat Islam seluruh Malaysia menolak sebarang cadangan menggadai dan menghina Tanah Suci ketiga umat Islam itu. Najib juga menyifatkan penerimaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap resolusi menangkis penyebaran fahaman ekstremisme dan radikalisasi sebagai satu kejayaan untuk Malaysia.

Resolusi itu yang merupakan inisiatif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) diterima dalam Sesi ke-72 Perhimpunan Agung PBB di New York, 8 Disember lalu.

Catatan di atas adalah sebahagian daripada banyak lagi petanda sokongan dan pengiktirafan dunia luar terhadap Malaysia yang dianggap sebagai sebuah negara Islam sederhana (moderate) tetapi progresif.

Malaysia maju, makmur dalam kepelbagaian agama, budaya dan keturunan. Malaysia mampu memaparkan kepada dunia Islam tentang cara dan bentuk urus tadbir yang berkonsepkan konsensus, sederhana, inklusif serta adil dan saksama.

Dan segala konsep atau pendekatan itu bertepatan pula dengan maqasid syariah, iaitu mementingkan pemeliharaan terhadap agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

Malaysia bersikap terbuka dan konsisten. Berkawan dengan siapa sahaja. Negara ini tidak terikat dengan mana-mana negara kuasa besar dalam jalinan kerjasama, baik dalam bidang ekonomi, sosial mahu pun politik.

Sesungguhnya Malaysia tidak mencari populariti, tetapi me­nelusuri anjuran Islam itu sendiri bahawa, ‘Islam itu bersaudara’ dan ‘bertolong-tolongan demi kebaikan sesama ummah’.

Pun begitu, Malaysia tidak pernah mengetepikan nilai dan kepentingan kemanusiaan seja­gat. Di mana ada keperluan, di situ dihantar bantuan. Malah, negara ini turut bersama dalam misi-misi keamanan di seluruh dunia.

Malaysia bersuara lantang dan tegas dalam isu Rohingya. Hasilnya, nasib masyarakat Islam yang parah ditekan di bumi Myan­mar itu setidak-tidaknya sudah ‘membuka mata’ masyarakat antarabangsa. Malaysia turut menghulur bantuan segera. Dibinanya hospital medan di tempat pelarian Rohingya di Bangladesh, selain sumbangan makanan dan pakaian.

Itu belum lagi disentuh tentang peranan Malaysia membantu dan mendamaikan isu masyarakat Islam di Selatan Thailand dan di Selatan Filipina.

Malaysia memiliki sistem pendidikan Islam lengkap dengan meliputi kewujudan institusi berkaitan agama itu di segenap peringkat. Dan Malaysia juga tidak kekurangan ilmuwan Islam bijak dan bertaraf profesional. Lalu, tidak janggal jika Malaysia dilihat mampu menerajui Dunia Islam.

Sepatutnya, perkara penting yang perlu diberi tumpuan ialah mencari dimensi baharu agar umat Islam turut menjadi pemimpin, bukan selamanya menjadi pengikut. Umat Islam perlu menjadi pencipta atau pengeluar, bukan selamanya menjadi pengguna dan kenapa tidak ‘suara Islam’ menjadi salah satu daripada ‘suara kuasa besar dunia’.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.