Tidak cukup dengan itu, semasa memberikan ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini, Menteri Besar dengan nada perli turut memberitahu bahawa beliau lebih senior daripada penulis.

Sudah bertekad untuk menjadi pembangkang yang baik, sudah tentu BN Johor perlu memperjuang serta membangkitkan pelbagai perkara berkaitan rakyat Johor selain menjadi check and balance kepada kerajaan negeri.

Tetapi apa boleh buat sekiranya Menteri Besar tidak boleh mendengar dan menerima pendapat orang lain. Namun, BN Johor berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memutuskan untuk mengekalkan hampir ke­semua inisiatif baik yang dimulakan UMNO dan BN sebelum ini, biarpun ditukar nama program-program tersebut.

Selaku pembangkang yang baik, BN Johor akan bekerjasama dengan semua pihak, terma­suk ADUN daripada pihak kerajaan negeri, selagi kami percaya perkara yang dilakukan itu akan membuahkan kebaikan kepada rakyat Johor.

Bagaimanapun, Menteri Besar kini dilihat lebih memfokuskan masa dan tenaganya kepada usa­ha memburuk-burukkan UMNO dan BN. Terbaharu, membabitkan isu tanah kurniaan kepada UMNO yang menurutnya mempunyai tunggakan cukai dan tidak diba­ngunkan.

Cukup-cukuplah menunjukkan rasa tidak puas hati kepada parti yang pada satu ketika dahulu mengangkat YAB sebagai wakil rakyat, jalankanlah tanggungjawab sebagai Menteri Besar dengan tumpuan kepada usaha dan perkara pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat Johor.

Bagi isu membabitkan tanah kurniaan itu, UMNO Johor mempunyai pendirian yang jelas dalam perkara tersebut:

1. Sebagai parti politik yang menerajui kerajaan negeri sebelum ini, aset serta sumbangan kepada UMNO akan disalurkan untuk kemaslahatan dan manfaat masyarakat. Hasrat itu akan diterjemahkan dalam bentuk program serta penggunaan yang membawa faedah kepada rakyat, bukan sahaja memerlukan masa malah strategi serta pertimbangan sewajarnya.

2. UMNO Johor bukan sebuah gerakan kapitalis yang berasaskan keuntungan. Jadi sebarang pembangunan yang hendak dilakukan di atas tanah kurnia UMNO mesti dilakukan dengan cara terbaik demi manfaat masyarakat dan bukan dibuat dengan cara lepas tangan dan semberono.

3. Dalam konteks itu, tidak dinafikan dengan mempunyai pejabat dan pusat operasi yang baik serta mencukupi adalah perkara yang penting dan membantu UMNO/BN dalam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

4. Sumbangan dan tanah kurniaan kepada UMNO adalah atas dasar sukarela dan kemurahan hati para penyumbang. UMNO bukan parti yang meminta-meminta dalam memastikan kelangsungannya. Sebaliknya berpegang kepada aspirasi serta pendirian untuk memberi sebanyak-banyaknya kepada rakyat dan tanah air.

5. Sekiranya Menteri Besar berpendapat merampas kembali tanah kurniaan kepada UMNO Johor adalah tindakan wajar dan berasas, UMNO Johor tidak mempunyai sebarang masalah. Namun, kerajaan negeri perlu mempamerkan ketelusan dan keadilan dalam perkara itu dengan memastikan bukan hanya UMNO menjadi sasaran.

Dalam pada itu Menteri Besar juga perlu mengambil tindakan kepada semua pihak yang mempunyai tunggakan cukai serta gagal membangunkan tanah kurnia dengan sewajarnya. Barulah kerajaan negeri pimpinan beliau dilihat adil, telus serta profesio­nal dan bukan berniat membalas dendam kepada UMNO.

Selain itu penulis turut percaya kerajaan negeri dan Menteri Besar tidak mahu dilabel sebagai buruk siku dan dilihat suka me­ngungkit-ungkit serta tidak profesional. Yang pasti, biar apa pun keadaan dan pandangan kerajaan negeri, UMNO Johor akan terus berusaha mencari jalan terbaik untuk memberi khidmat kepada masyarakat Johor.

Terutama dalam keadaan yang memperlihatkan Menteri Besar Johor lebih berminat menjaga kepentingan Kerajaan Pusat dan Kuala Lumpur berbanding kepentingan Johor dan rakyatnya.

DATUK IR. HASNI MOHAMMAD ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor merangkap Ketua Pembangkang BN Johor.