Dalam mengotakan ikrar sulung selaku Perdana Menteri yang keenam, beliau mengetuai delegasi mengembangkan peluang dan ruang perniagaan Malaysia di luar negara. Malaysia bakal menerima pelaburan ke dalam negara bernilai hampir RM150 bilion. India antara ekonomi yang semakin meningkat.

Sebelum ke negara Asia Selatan itu, Perdana Menteri telah berada di China, satu lagi negara yang menjadi perhatian dunia. Dalam ucapan sulungnya pada 3 April 2009, Najib menekankan yang berikut: “Memang saya tersentuh dan terpanggil untuk meneruskan agenda besar kerajaan untuk membasmi kemiskinan, menstrukturkan semula masyarakat Malaysia, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua, serta meniupkan semangat sebuah generasi baru untuk menumpah khidmat kepada Malaysia.”

“Justeru itulah, sepanjang khidmat awam saya, pentingnya aspek keberhasilan sentiasa ditekankan. Sama ada melalui kemudahan yang lebih selesa bagi para pendidik, meningkatkan kualiti hidup para perwira tanah air, mahupun dalam memperkasa ekonomi bagi memelihara kesejahteraan di saat berhadapan cabaran ekonomi global.”

Ucapan sulung itu juga menekankan, rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. Beliau berikrar “kita akan rapatkan hubungan rakyat dan kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik.”

Malah Najib juga berkata, dalam hal ini, potensi golongan anak muda akan dibangunkan setinggi-tingginya. “Kita percaya merekalah generasi pewaris bakal pendidik, doktor, peguam, akauntan, saintis, tokoh perniagaan, cerdik pandai dan saf pemimpin masa depan.”

Beliau memperkenalkan pembaharuan demi pembaharuan. Bermula dengan program transformasi kerajaan, ekonomi, sosial dan politik. Perbincangan terbuka atas pendekatan inklusif diamalkan. Yang terbaharu TN50 atau program transformasi 30 tahun merentasi 2050. Sesi percambahan minda melibatkan kumpulan sasaran yang pelbagai dengan peringkat awal memberi tumpuan ke atas generasi muda telah dilancarkan Januari lalu.

Najib juga memulakan perjalanan sebagai Perdana Menteri dengan berkata, “Pada hari yang bersejarah ini (3 April) saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat.”

Beliau juga mengumumkan pihak kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi dua surat khabar serta membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuat kuasa serta-merta. Proses kajian semula terhadap Akta ISA juga dimulakan.

Ketika itu Najib menekankan bahawa beliau sedar sudah tepat masanya kita mengambil langkah-langkah demikian untuk mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib atas soal keselamatan negara serta mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman-ancaman yang dianggap berbahaya dan munasabah.

Selari dengan itu, Najib juga memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman 2012, yang mencerminkan keterbukaan beliau. Landskap dunia berubah. Persekitaran berubah, di mana ia membawa kepada cabaran dan dugaan baharu. Keselamatan dan ketenteraman awam juga perlu diutamakan.

Maka, beliau menggubal Akta POCA dan Akta SOSMA, tetapi ia lebih baik berbanding ISA. Bermakna sebagai perdana menteri, beliau memberi pertimbangan atas kebaikan dan kebajikan rakyat keseluruhan.

Pembaharuan politik tidak berhenti di peringkat nasional. Di peringkat kepimpinan UMNO, Najib berjaya membawa pembaharuan dengan pindaan Perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan secara langsung yang lebih bersifat demokratik berbanding kepimpinan sebelum itu. Ini langkah berani beliau. Memperlihatkan kematangan dan pemikiran jauh seorang pemimpin.

Dalam menjaga kepentingan setiap anggota rakyat negara ini ada dasar dan program dapat diterima dengan baik, dan ada yang dibantah atau tidak dipersetujui. Tiada yang lengkap. Tiada dasar yang akan menerima sokongan padu. Ini lumrah di setiap negara.

Iltizam

Najib juga memperlihatkan semangat keterbukaan dengan menghulurkan tangan persahabatan kepada Pas, parti yang pernah memusuhi UMNO dan BN lebih empat dekad. Di bawah kepimpinan Najib, Pas berpeluang membentangkan rang undang-undang persendirian, yang berkaitan dengan pemerkasaan Mahkamah Syariah. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah politik di negara ini.

Semasa memulakan langkah sebagai Perdana Menteri, Najib juga pernah berkata yang beliau menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga. “Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita. Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia.”

Najib mengambil alih ketika negara berdepan dengan cabaran yang pelbagai - politik, ekonomi dan sosial. Setahun selepas Pilihan Raya Umum 2008, yang menyaksikan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. Persekitaran sosial yang dilihat rapuh. Situasi yang tidak pernah disaksikan selepas akhir 1960-an dan awal 1970-an.

Beliau bergerak dengan melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat, “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Perubahan yang dipaparkan ini hanya beberapa contoh daripada sejumlah banyak lagi pembaharuan yang dibawa dalam waktu singkat sejak 2009.

Baru-baru ini, Najib meminta rakyat Malaysia terus yakin terhadap usaha kerajaan kerana keyakinan itu merupakan suntikan semangat untuk kerajaan terus memperteguh ekonomi negara. Najib menegaskan kerajaan akan berusaha agar ekonomi negara terus berkembang dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat jelata.

Beliau berkata kemantapan ekonomi sesebuah negara boleh diukur melalui banyak aspek, antaranya melalui pelaburan langsung asing kerana ia menunjukkan keyakinan pelabur luar terhadap ekonomi negara.

“Bukan mudah untuk menarik pelabur asing kerana ia menjadi rebutan antara negara di seluruh dunia,” kata Perdana Menteri.

Data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan pelaburan asing pada 2016 meningkat 63.4 peratus berbanding pada 2015.

Malaysia berjaya meraih RM59 bilion melalui pelaburan asing pada tahun lepas berbanding RM36 bilion pada 2015. Ini menjadikan jumlah pelaburan pada tahun lepas sebanyak RM207.9 bilion. Peningkatan yang mengagumkan ini menunjukkan keyakinan para pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia. Sekiranya pelabur luar yakin terhadap ekonomi Malaysia, adakah kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai alasan lain untuk menidakkan fakta ini?

Malah, kata Perdana Menteri, keyakinan pelabur ini menunjukkan dasar-dasar kerajaan dalam menentukan hala tuju ekonomi negara berada pada landasan yang betul.

Najib tidak terlepas daripada kritikan-kritikan yang tidak berasas. Bukan sahaja daripada pembangkang tetapi beberapa bekas pemimpin yang pernah berada dalam UMNO-BN. Hasil pembaharuan dan perubahan yang dilaksanakan membuktikan kritikan yang dibuat tidak berasas.

“Secara tidak langsung, dakwaan kononnya negara Malaysia akan bankrap ataupun Malaysia merupakan sebuah negara yang gagal, merupakan fitnah dan tuduhan yang sangat berniat jahat,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan I.

Najib juga berpuas hati dengan pertumbuhan ekonomi negara yang memperlihatkan pertumbuhan amat memberangsangkan. Ini terutamanya melibatkan sektor perdagangan dan eksport, dengan nilai eksport negara melebihi RM70 bilion untuk bulan keempat berturut-turut sejak November 2016.

Sejarah adalah saksi dan telah banyak kali membuktikan tiada pemimpin yang sempurna dan lengkap sebulat-bulatnya. Bukan sahaja di negara-negara lain, tidak kira maju atau sebaliknya, malah di bumi kita. Setiap Perdana Menteri yang Malaysia telah perolehi sepanjang enam dekad lalu ada kelebihan mereka yang tersendiri.

Begitu juga kekurangan dan kelemahan di sana sini. Tetapi mereka telah diberi peluang dan sokongan secara kental. Dalam kes hari ini, Najib wajar diberi peluang untuk membuktikan kebolehan beliau dalam memimpin Malaysia.

Pencapaian-pencapaian positif lagi membina, yang ketara tanpa mengira wilayah – Semenanjung, Sabah dan Sarawak – menunjukkan lebih banyak perubahan dapat disaksikan jika kepimpinan Najib terus diberi peluang.

Saya antara suara muda yang diberi peluang bertapak dalam bidang politik, dan memikul sebahagian kecil beban beliau membantu rakyat. Saya yakin kepimpinan Najib akan terus memberi lebih banyak ruang bagi generasi. TN50, saya pasti akan merealisasikan kehendak dan hasrat itu.

PENULIS ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor.