Buat pengetahuan ustaz, suami saya terlibat dengan bahan terlarang dan itu yang menyebabkan saya membuat keputusan ini. Apakah tindakan saya ini salah? Keluarga di sebelah suami memandang seolah-seolah saya bersalah dalam hal ini sedangkan saya sudah memberi banyak peluang kepada suami untuk berubah tetapi  semuanya tidak dihargai.

  • Isteri Teraniaya, Perak.

UKE: Apabila seseorang gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai suami maka isteri berhak mempertahankan haknya. Malah berhak berjuang untuk mendapatkan haknya. Apatah lagi jika suami mengambil barang terlarang yang sudah pasti akan merencatkan keharmonian rumah tangga dan pengabaian hak akan berlaku.

Maka jika puan melihat si suami sudah tidak mampu lagi memguruskan dirinya sendiri dan juga keluarga maka harus bagi puan menuntut sesuatu daripada dia walau fasakh sekalipun.

Tidak timbul salah menyalah daripada pihak keluarga si suami jika puan memang ada hak untuk menuntut fasakh.

Ibu imam solat 

Apakah hukum seorang ibu mengimamkan solat buat anak-anaknya ketika ketiadaan suami? 

Bolehkah suara dikuatkan sedikit agar anak-anak dapat mendengar bacaan semasa solat? Anak perempuan saya berusia 12 tahun manakala anak lelaki berusia 10 tahun dan kedua-duanya belum akil baligh.

  • Ibu Ingin Tahu, Pekan.

UKE: Solat merupakan salah satu hal yang penting dan perlu ditekankan sejak kecil. Kita ajar solat kepada anak-anak kita yang sudah boleh faham ketika diajak berinteraksi.

Tentunya sebelum mengajar anak-anak, kita sebagai ibu bapa harus menjadi contoh dulu untuk menjaga solat. Ini kerana ajaran ini akan ada pengaruh lebih dalam sebelum pengajaran itu sendiri.

Dalam perkara masalah imam dalam solat berjemaah anda dan anak-anak, seorang imam diharuskan memenuhi kriteria atau syarat tertentu antaranya dia diharuskan seorang laki-laki.

Jumhur ulama dalam kalangan mazhab Hanafi, Syafie dan Hambali membolehkan seorang perempuan menjadi imam solat hanya bagi jemaah perempuan sahaja.

Sebaik-baiknya anda didiklah anak lelaki anda untuk solat dengan sempurna sehinggalah dia boleh menjadi imam. Saya mencadangkan anda kena lebih memahami tanda-tanda baligh anak perempuan.

Rezeki kerja langgar undang-undang 

Kawan saya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan bulanan yang mencukupi. Tetapi dalam pekerjaan itu, dia buat kerja yang melanggar peraturan undang-undang iaitu membawa muatan lebih daripada yang dibenarkan. Dia juga sering bergaduh dengan pihak berkuasa apabila ditahan.

Soalan saya, apakah hukum dan bagaimanakah status rezeki yang dia perolehi daripada pekerjaan tersebut? Adakah dia dikira mencuri dalam mencari rezeki?

  • Abam Lori, Perak.

UKE: Mematuhi peraturan dan undang-undang negara termasuk dalam pengertian mentaati pemerintah. Allah SWT berfirman (maksudnya); 

“Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “ulil-amri” dari kalangan kamu.” (An-Nisa’: 59).

Ulil-amri dalam ayat tersebut bermaksud orang-orang yang bertanggungjawab mengurus urusan kaum muslimim. Mereka termasuk ulama dan pemerintah. Ulama bertanggungjawab tentang urusan agama dan pemerintah (umara) pula bertanggungjawab tentang urusan duniawi dan maslahah hidup rakyat. (Tafsir Ibnu Kathir).

Selama undang-undang yang digubal tidak menyalahi al-Quran dan al-Sunnah, wajiblah kita mematuhinya sama ada undang-undang itu berkait dengan percukaian, keselamatan, kekeluargaan, kontrak dan sebagainya.

Perkara yang wajib jika dilaksanakan akan diberi pahala dan jika dilanggar akan berdosa. Dalam hal kawan anda itu, maka hendaklah dia menghentikan aktivitinya yang menyalahi undang-undang jalan raya. Dibimbangi ada beberapa peratusan pendapatannya bercampur perkara syubhah dan bila dah bercampur sudah tidak cantik lagi perolehannya.