Suami saya seorang yang suka berleter dan mengungkit nafkah yang diberikan kepada kami. Kononnya nak mengajar kami jadi baik tapi diri sendiri pun tak betul. Setiap tahun, dia lebih banyak tidak berpuasa daripada berpuasa dan mengajak pula anak lelaki saya untuk tidak berpuasa sama. Apa harus saya buat?

* Ina, Kuala Lumpur.

UKE: Puasa adalah  kewajiban ke atas umat Islam. Berdosa bagi si bapa yang tak berpuasa dan menggalakkan anak pula tidak berpuasa. Maka anda tidak perlu taat kepada perintah si suami jika perintahnya melanggar hukum syarak.
 Anda juga perlu mendidik anak supaya tidak terpengaruh dengan ajakan si bapa. Sila berikan ilmu agama yang secukupnya kepada anak anda. Kedua, suami atau bapa wajib memberi nafkah kepada keluarganya dan itu adalah hak isteri dan anak-anaknya. Maka tidaklah boleh si suami mengungkit pemberian nafkah sedangkan itu kewajibannya.
 Ketiga, kalau suami kuat berleter, maka anda kena cari jalan supaya tidak timbul isu yang membolehkan si suami berleter. Elakkan daripada menimbulkan perkara yang membawa pertelingkahan. 
Keempat, anda boleh mengadu ke pejabat agama di bahagian kaunseling dan membuat aduan jika si suami melarang anda dan keluarga beribadat kepada Allah SWT.

 

Puasa tapi tak solat

Apakah hukumnya berpuasa tapi tidak bersolat?

* Azem, Tapah.

UKE: Solat itu tiang agama. Sesiapa yang mendirikan solat bermakna dia mendirikan agama. Tetapi jika dia meninggalkan solat bermakna dia meruntuhkan agamanya. 
Apalah makna berpuasa jika solat tidak dikerjakan.  Di mana nak letak pahala puasa jika tiang agama tidak ada.

 

Anak sah taraf binti Abdullah

Anak saudara saya (tiga tahun) telah dibintikan Abdullah kerana arwah bapanya berpoligami dan bernikah di selatan Thai. Sijil lahirnya tidak mencatatkan maklumat bapa kerana tidak membuat pengesahan nikah di Mahkamah Syariah di Malaysia. 

Tetapi pernikahan itu disahkan benar oleh Konsulat Malaysia di Songkhla kerana pernikahan dilakukan di Majlis Agama Islam Yala (MAIY) yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga pernah membebaskan pasangan ibu bapa anak itu daripada kes khalwat apabila mereka mengemukakan sijil nikah dari MAIY.

Arwah bapa ada meninggalkan pusaka wang simpanan, namun abang tiri anak itu (dari isteri pertama arwah) enggan mengagihkan wang itu kepada anak saudara saya kerana mereka anggap dia bukan waris arwah berdasarkan sijil lahirnya.

Mohon ustaz jelaskan status anak saudara saya itu dari segi syarak, adakah dia anak luar nikah?

* Bapa saudara, Kuala Lumpur.

UKE: Pertama, itu bukan abang tiri, itu namanya adik-beradik sebapa. Kedua, perkara ini berkaitan perundangan. Saya tidak berani nak komen kerana hanya pihak mahkamah yang berhak menentukan status anak atau wasiat dan kelayakan penerimaan harta tersebut. 

Maka jika boleh biarlah mahkamah melihat dan membuat keputusan atas hal ini. Kalau sahih daripada pengakuan arwah ayahnya, ibunya atau saksi yang lain bahawa dia adalah anak kandung si mati walaupun berbinkan Abdullah maka saya syorkan kepada abang sebapa tadi berilah harta kepada anak tersebut. Itu lebih memuaskan hati.