Minggu ini saya paparkan kisah kiriman pembaca ruangan ini, yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Khaty untuk kita renung bersama dan mengambil iktibar daripadanya.

Ini kisah Puan Khaty

“Nama saya Khaty (bukan nama sebenar) berasal dari Selangor, masih bekerja, mempunyai tiga orang anak yang semua telah berumah tangga. Umur saya hampir mencecah 60an.

“Saya ditakdirkan berkahwin dengan rakan sama tempat bekerja. Suami orang pantai timur. Pada masa itu, era 80an keluarga sebelah mertua macam tidak gembira dapat ‘orang luar’ istilah orang sana sebagai menantu. Sebelum bertunang saya ada juga bertanyakan bakal suami, adakah keluarganya akan menerima saya yang bukan dalam kalangan mereka, suami cakap, tiada masalah ibu bapanya tak kisah.

“Apabila sudah bernikah barulah saya pulang ke kampung halaman suami, itulah pertama kali saya menjejakkan kaki ke kampung halamannya. Secara tidak langsung mengenali hati budi mereka. Setelah beberapa kali pulang ke kampung suami baru saya perasan mertua tidak sukakan saya.

“Sudahlah tidak cantik, hitam pula, badan pun gempal. Setiap hari dari pagi sampai malam mertua akan cakap pada anak anaknya yang lain “cukuplah sorang anak mak kahwin dengan orang luar”. Sengaja dia sindir saya dan melarang anak-anaknya yang lain cari calon suami orang luar.

“Layanan juga tidak sama dengan menantu lain, contohnya, baru saja saya dan suami sampai kerumahnya dari perjalanan jauh yang melelahkan, terus dapat arahan, pergi ke dapur buat air, padahal bukan tak ada anak perempuan dalam rumah itu.

“Begitu juga masak tengah hari dan malam, walau anak saya menjerit-jerit ketakutan baru jumpa keluarga sana…anak saya tetap di tarik dan didukung supaya saya boleh melakukan kerja-kerja dapur. Suami saya anak yang baik, takut jadi anak yang derhaka, jadi dia diam sahaja.

“Walaupun suami tidak memihak kepada saya secara terang tapi dia sangat penyayang, Cuma bila di depan ibunya dia tak sampai hati untuk menyebelahi saya, Sebenarnya saya jenis suka ketawa dan ramah mesra, buat macam mana saya terima sahaja, kalau sudah sesak sangat dada, saya lari masuk bilik menangis sepuas hati, selepas itu saya akan kembali ketawa, boleh bergurau.

“Perkara utama yang ingin saya kongsikan ialah bagaimana kita sebagai isteri dan sebagai seorang wanita tahu menghargai diri sendiri, menyayangi diri sendiri terlebih dahulu, baru menyayangi orang lain. Betul saya sangat menyayangi suami saya, ibu bapa saya dan keluarga…tapi ada perkara yang kita betul-betul kena faham iaitu hak kita sebagai seorang wanita.

“Mula-mula berkahwin memang kami sama-sama belanjakan duit gaji sampai semua habis, sebab baru memulakan hidup. Tapi apa yang saya perasan, suami siang siang bagitahu saya semua perbelanjaan kewangan saya perlu diberitahu kepada dia.

“Pernah adik saya datang ke rumah, saya hulur RM10, berhari hari dia mengamuk sebab tidak minta izin dia terlebih dahulu, sedangkan dia nampak saya beri duit kepada adik saya. Kami orang susah, adik beradik 10 orang, kesian tengok adik yang masih sekolah tiada duit. Sejak kahwin seposen pun tak dapat bagi mak yang susah di kampung, sedangkan sebelum kahwin saya hulur RM70 tiap bulan pada mak untuk bayar hutang belanja dapur di kedai . Mak tidak mahu susahkan anak-anak, dia memang tak pernah minta duit anak-anak walau sangat daif kehidupan dia.

“Nak dijadikan cerita satu hari suami terima surat dari adiknya di kampung beserta senarai barang-barang keperluan yang mereka perlukan, saya terjumpa resit penghantaran barang ke kampungnya. Saya tiba-tiba tersedar, duit saya di kawal setiap seposen yang dibelanjakan, tetapi dia tak cakap pun pada saya dia ada menghantar barang ke kampungnya. Bukan itu saja, saya pernah terserempak dengan suami yang sedang beratur di bank, keluarkan ASB RM400 untuk adik dia yang datang ke rumah kami.

“Yang paling menyayat hati satu hari kami sudah bersiap hendak pergi bercuti ke Genting Highland. Kami cadang hendak naik bas, sebab pada masa itu kami tidak mampu nak beli kereta buruk pun. Tiba-tiba adik dia suami isteri dari kampung singgah ke rumah kami untuk bercuti di Kuala Lumpur (KL). Suami batalkan program kami, sedangkan kami sudah bersiap berpakaian, seharian saya menangis dalam hati. Sedangkan tidak lama selepas itu, adik dia suami isteri bersuka ria jalan- jalan makan angin di KL. Kami memerap dalam rumah dengan rasa kecewa.

“Tiba-tiba saya mendapat kekuatan untuk berbincang balik bagaimana cara mengendalikan kewangan kami. Dia sebagai suami semestinya menyediakan makan minum asas keluarga, saya cuma sebagai pembantu sahaja. Selepas beberapa peristiwa itu kami sama=sama setuju, duit suami saya tidak akan ganggu, duit saya dia tak berhak usik, selagi saya tidak belanjakan kepada perkara maksiat, saya bebas nak buat apa saja dengan duit saya sendiri.

“Alhamdulillah hingga kini, kami tidak pernah bergaduh pasal duit, kalau betul dia perlukan duit, dia akan pinjam duit saya dan memulangkannya bila sudah ada duit. Saya juga akan meminjam duit suami bila memerlukan tetapi saya akan bayar balik. Setiap kali saya membasuh pakaian suami, semua wang suami saya tidak akan ambil, suami pun tak pernah takut kehilangan duit.

“Barang dalam rumah, kalau saya ada duit lebih saya yang akan beli, contoh…saya teringin beli peti ais yang besar, saya akan bayar guna duit saya, Bila saya teringin nak beli mesin basuh automatik, bila dah pilih, suami cakap ada RM600 sahaja, saya yang akan bayar RM1,000, jika harganya RM1,600. Kalau tak ada duit tidak payah beli. Bila saya teringin tukar langsir baharu, itu bukan keperluan pun…saja nak cantik, saya yang bayar semua. Suami dah bayar makanan asas dah cukup syukur bagi saya. Yang buat hati saya merasa lapang, tak ada orang yang kawal duit saya lagi, kami bebas nak beli apa saja, nak belanja apa saja yang kami inginkan.

“Macam pembelian rumah pula, rumah yang kami duduki sekarang kami bayar bersama, sama banyak bayar tiap bulan, nama kami berdua. Kereta juga sama, di sebabkan kereta nama dia, kami sama-sama yang nak guna kereta, kami bayar sama- sama cuma saya bayar kurang sikit daripada bayaran suami tiap bulan, minyak kereta untuk keperluan hari-hari suami yang bayar. Bila balik kampung pula, kalau ke kampung suami, dia yang akan bayar duit minyak dan tol, bila ke kampung saya pula, suami tak payah minta pada saya, saya yang berikan dia duit minyak dan tol…malah duit makan di jalan pun biasa saya yang cepat cepat pergi kaunter bayar.

“Bila keluarga saya datang berkunjung ke rumah saya, saya yang akan keluarkan belanja dapur, ikan sayur untuk keluarga saya, saya tidak mahu susahkan suami dengan kehadiran keluarga saya, walaupun jarang-jarang keluarga saya datang mengunjungi kami memandangkan adik beradik saya semua sibuk dengan aktiviti keluarga masing-masing.

“Kami juga berlaku adil pada giliran pulang beraya setiap tahun. Jika tahun ini Raya Aidilfitri di kampung suami, Raya Aidiladha di kampung saya, tahun depan tukar raya pula, Raya Aidilfitri di kampung saya pula. Alhamdulillah anak-anak juga mengikut giliran raya seperti kami walaupun saya tak pernah memaksa mereka….kepemimpinan melalui teladan.

“Saya percaya kepada keberkatan dalam rumah tangga, suami menghantar duit belanja pada ayah ibunya di kampung, begitu juga saya, berapa kami nak beri, tak payah nak buat laporan...alhamdulillah gaji pun semakin meningkat walaupun cuma berkerja sebagai pegawai sokongan kerajaan sahaja. Syukur juga kami telah dapat menunaikan Rukun Islam kelima.

“Saya kongsikan pengalaman saya ini dengan harapan berguna kepada pasangan yang baharu berkahwin khususnya, bagaimana cara pembahagian dan urusan kewangan. Bagi saya, urusan makan minum dan belanja anak-anak lebih afdal jika pihak suami yang keluarkan belanja, jika isteri nakkan belanja untuk mencantikkan rumah, seperti sofa baharu atau langsir baharu, boleh isteri yang keluarkan duit jika dia bekerja.

“Tentang harta pula, jika membeli rumah dan mahu meletakkan nama bersama, wajib bayar bersama juga. Contohnya saya ada membeli sebiji rumah kos rendah, nama saya sendiri, suami langsung tak keluarkan duit utk urusan pembelian atau urusan membaiki rumah tersebut, saya pun tak pernah minta bantuan kewangan suami untuk urusan rumah saya, walaupun satu hari nanti rumah itu pun akan diserah pada anak-anak juga nanti, bukan untuk di bawa ke dalam kubur .

“Saya bersyukur, setakat ini rumah tangga kami boleh dikatakan tiada masalah yang besar, suami pun ada asas pengetahuan agama, dia memahami Islam, senang sikit kalau nak berbincang terutama pasal kewangan, suami tidak boleh ambil duit isteri, saya sebagai isteri boleh ambil duit dia kalau perlu, tapi saya tak pernah ambil kesempatan itu. Syukur dengan apa yang Allah bagi. Mudah-mudahan Allah lindungi rumah tangga kami dan bahagiakan kami sampai jannah, “ kata Khaty menamatkan ceritanya.

Sejuk hati saya membaca kisah kiriman Puan Khaty. Ternyata puan Khaty seorang wanita dan isteri yang bijak menangani masalah rumah tangga. Saya kagum dan bangga dengan puan. Mudah-mudahan cara puan akan menjadi pengajaran kepada para isteri yang mungkin mengalami masalah yang sama dengan puan.

Salam